Peningkatan Jenayah di Malaysia – Di Mana Silapnya?

‘Jenayah melonjak 20,000 kes dalam 60 hari’ – demikianlah tajuk berita yang terpapar dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Mac 2014 yang lalu. Akhbar tersebut memetik laporan sebagaimana yang didakwa oleh R. Sri Sanjeevan, Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) dalam sebuah forum anjuran NGO tersebut.1

Beliau turut mendakwa bahawa terdapat penglibatan daripada “sesetengah individu yang bergelar polis dalam kegiatan jenayah”, yang sekaligus menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini. Menurutnya lagi, penglibatan polis dalam kegiatan jenayah amat serius dan pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengheret mereka terbabit ke muka pengadilan. 2

Sungguhpun dakwaan Sanjeevan tersebut belum dapat dipastikan kesahihannya, namun kita tidak sewajarnya memandang remeh terhadap isu tersebut. Tanpa melihat kepada naik turunnya catatan statistik indeks jenayah di negara ini sekalipun, kita tetap dapat melihat betapa rakyat negara ini hidup dalam ketakutan saban hari lantaran meningkatnya kejadian-kejadian jenayah di sekeliling mereka.

Apakah punca sebenar yang menyebabkan permasalahan ini terus berlaku? Adakah kerana masyarakat semakin dibebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat semata-mata? Atau kurangnya perhatian oleh kerajaan dalam menangani permasalahan sosio-ekonomi yang menimpa rakyat? Atau, mungkinkah kerana terdapat segelintir pihak yang tergamak melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan?

Sedarlah bahawa akar kepada kemelut yang melanda kita pada hari ini adalah kerana umat telah meninggalkan kehidupan Islam dalam ertikata yang sebenarnya. Di peringkat individu, ketamakan dalam mengejar habuan duniawi menyebabkan sebilangan insan mengambil jalan pintas meskipun bercanggah dengan syariat Islam. Rasuah, ketirisan, rompakan dan sebagainya dilakukan untuk mendapat habuan lumayan melalui jalan yang pintas lagi kotor.

Pengabaian terhadap syariat Islam di peringkat masyarakat pula telah mencetuskan sikap mementingkan diri sehingga menyebabkan peranan amar makruf nahi mungkar tidak lagi menjadi keutamaan dalam hidup bermasyarakat. Lebih malang lagi, apabila negara-negara kaum Muslimin tidak menerapkan sistem Islam secara kaffah sehingga menyebabkan jenayah menjadi semakin berleluasa disebabkan ketiadaan sistem ‘uqubat (hukuman) misalnya, yang berperanan sebagai “zawajir” dan “jawabir” (pencegah dan penebus dosa).

Islam pada hari ini hanya dilihat sebagai sekadar amalan ritual yang tidak berperanan sebagai sebuah mabda’ (ideologi) dalam kehidupan. Demikianlah gambaran secara kasar yang menunjukkan natijah yang menimpa umat tatkala mereka meninggalkan kehidupan Islam dalam ertikata yang sebenarnya.
Justeru, dalam menangani kemelut ini, kita sewajarnya berusaha mengatasi permasalahan akar dan bukannya sekadar mencari penyelesaian yang bersifat simptomatik semata-mata. Ayuh, marilah kita bersama-sama meraih kemuliaan dengan berusaha mengembalikan kehidupan Islam melalui penerapan syariah dan mengembalikan Khilafah atas manhaj kenabian. Wallahua’lam.

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” [TMQ Ar-Ruum 30:41]

Sumber:
1.  Sinar Harian, 5/3/14

2.  Sinar Harian, 5/3/14
 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.