Mana silapnya dengan isu rotan?

Gambar UL 260115Peruntukan yang dicadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah. Sebaliknya, kementerian itu menjelaskan, apa yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu ialah memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak, dan ini termasuklah perlakuan merotan. Demikian jelas KPWKM, susulan kenyataan menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam isu merotan, yang menimbulkan kekeliruan sehingga mengundang kritikan daripada banyak pihak.

Berdasarkan penjelasan ini, ternyata nampaknya banyak pihak yang keliru apabila hanya memetik sebahagian daripada kenyataan menteri yang berkenaan, walaupun kenyataan tersebut dikeluarkan oleh akhbar arus perdana yang memihak kepada kerajaan juga. Kerana itulah, sikap adil dan profesional setiap wartawan sangat penting dalam memetik setiap kenyataan agar tidak mengundang salah faham dan perdebatan dalam masyarakat.

Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, kenapa begitu ramai yang sensitif dan terus memberi komen tentang isu ini? Tidak lain tidak bukan kerana istilah “merotan” yang digunakan itu ada kaitannya dengan hukum Islam. Umum mengetahui bahawa Islam membenarkan ibu bapa merotan anak dalam rangka ta’dib (mendidik). Jadi, apabila Menteri cuba “menjenayahkan” tindakan merotan, sudah semestinya mereka yang prihatin dengan hukum Islam mencemuh tindakan ini.

Walhal jika sahaja istilah yang digunakan ialah “mendera”, mungkin ramai yang akan setuju dan menyokong. Dengan kata lain, silap pilih istilah telah menyebabkan berlakunya silap faham dan penentangan. Baguslah apabila banyak pihak serta merta mempertikaikan hal ini yang sekurang-kurangnya menunjukkan kecintaan mereka kepada hukuman Islam dan menjernihkan lagi perbincangan tentang hukuman merotan anak dalam Islam.

Namun, sayangnya ramai yang tidak mempertikaikan banyak lagi perkara lainnya yang bertentangan dengan Islam dalam isu-isu seperti ini.

Rohani dalam kenyataannya menjelaskan bahawa, menjadikan hukuman rotan sebagai tindakan jenayah adalah selari dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Inilah yang cuba dicapai oleh pihak kementerian.

Inilah perkara yang perlu dipertikaikan terlebih dahulu sebenarnya. Kenapa kita perlu mematuhi CRC? Kenapa kita perlu CRC untuk menggubal atau meminda undang-undang di Malaysia? Tidak ada atau tidak cukupkah undang-undang (hukum-hakam) Islam perihal mendidik anak sehingga kita memerlukan CRC? Tidak ada atau tidak cukupkah undang-undang jinayat dalam Islam sehingga kita perlukan CRC untuk menjenayahkan sesuatu perbuatan?

Menerima pakai konvensyen (CRC) yang diluluskan oleh PBB untuk dijadikan sandaran kepada undang-undang di Malaysia jelas merupakan satu keharaman dan bertentangan dengan Islam. Sama haramnya jika menolak hukum Islam dalam mendidik anak-anak.

Kerana itulah, kita mesti kembali kepada Islam secara kaffah (menyeluruh), baik dalam perbuatan mahupun cara berfikir. Menilai benar-salahnya hukuman rotan dari sisi Islam adalah cara berfikir yang benar. Maka begitulah juga penilaian kita terhadap CRC, hendaklah dinilai dari perspektif Islam (halal-haram) semata-mata, barulah kita memiliki cara berfikir yang benar.

Jika tidak menjadikan Islam sebagai kayu ukur dalam berfikir dan bertindak, maka hal seperi ini tidak ubah seperti apa yang dilakukan oleh menteri-menteri yang ada, yang memisahkan antara agama dengan kehidupan (sekular). Agama hanya mengatur hubungan dengan Allah semata-mata (akidah dan ibadat), tetapi apabila melibatkan hubungan manusia sesama manusia (muamalat dan uqubat), maka yang dijadikan sandaran adalah akal (undang-undang manusia), bukan lagi wahyu. Inilah cara berfikir yang salah dan wajib dibetulkan. Wajib menjadikan cara berfikir (aqliyyah) dan cara bertindak (nafsiyyah) semuanya selaras dengan Islam semata-mata, bukannya selaras dengan CRC mahupun undang-undang buatan manusia yang lainnya. Wallahu a’lam.