Wahai menteri, kenapa perlu tunduk kepada CRC?

Gambar UL 270115 2

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta baru, menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 kini sudah berada dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara. Jika ia diluluskan selewat-lewatnya Julai depan, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan baru di Malaysia.

Walaupun KPWKM telah menjelaskan yang tidak semua rotan akan dikategorikan sebagai jenayah, tetapi setakat ini rakyat masih belum diberi penerangan sejauh mana merotan akan menjadi kesalahan.

Menurut Rohani, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Persoalannya, siapakah yang memaksa Malaysia menandatangani CRC? Apakah Malaysia “wajib” untuk menandatangani CRC? Apa jadi kalau Malaysia tidak menandatangani konvensyen PBB itu? Apakah penderaan yang berlaku ke atas kanak-kanak selama ini kerana kita tidak mematuhi CRC? Banyak lagi soalan lainnya yang boleh dipersoalkan berhubung CRC yang dijadikan alasan oleh menteri dalam menjustifikasikan kesalahan rotan yang terdapat dalam rang undang-undang kanak-kanak yang baru tersebut.

Lebih pelik, jika kita meneliti fakta bahawa CRC diluluskan oleh PBB pada 26/01/1990 dan diratifikasi oleh Malaysia pada 17/02/1995, kenapa hanya setelah 20 tahun ditandatangani baru undang-undang tentang kanak-kanak ingin diperbaharui kononnya dalam rangka mematuhi konvensyen tersebut? Bukankah ini sekali gus bermakna bahawa selama 20 tahun Malaysia tidak mematuhi CRC! Dan tidak ada “kemudaratan” apa pun ke atas Malaysia selama itu, kenapa sekarang seolah-olah “mesti” menggubal undang-undang baru atas alasan Malaysia telah menandatangani CRC?

Apa pun alasan yang diberikan menteri, inilah bukti hasil pemikiran sekular yang ada pada pemimpin. Sejak dulu, mereka memilih untuk tunduk dan patuh kepada undang-undang Barat dan mengenepikan undang-undang Islam, malah tidak keterlaluan jika dikatakan yang kamus undang-undang Islam itu tidak ada dalam kepala mereka. CRC dibuat oleh badan kufur PBB yang jelas haram bagi mana-mana negeri Islam untuk menjadi anggotanya, apatah lagi mematuhi segala ketetapannya. Ringkasnya, haram hukumnya untuk kita tunduk kepada CRC mahupun PBB, malangnya inilah yang dilakukan oleh pemimpin sekarang!

Rendah sangatkah pemikiran seorang menteri sehingga tidak tahu bahawa hak kanak-kanak telah lama wujud dan ditetapkan oleh Islam, jauh sebelum kewujudan PBB mahupun CRC? Sesungguhnya hukum-hakam Islam itu telah lengkap dan sempurna dan kita langsung tidak memerlukan undang-undang buatan manusia, apatah lagi yang datang dari badan kufur seperti PBB.

Apa yang perlu (dan wajib) dilakukan oleh kerajaan ialah mengkaji, memahami dan melaksanakan undang-undang Islam, itu sahaja. Islam membenarkan merotan kanak-kanak (10 tahun ke atas) untuk tujuan ta’dib (mendidik) dan Islam mengharamkan mendera kanak-kanak, malah Islam memperuntukkan hukum yang rinci dalam hal ini. Kenapa tidak dikaji dan dilaksanakan? Kenapa memilih CRC sebagai peraturan?

Ingatlah akan firman Allah,

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka, barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33):36].

Wahai menteri! Kenapa tidak tunduk kepada ketetapan Allah (hukum-hakam Islam) dan kenapa perlu tunduk kepada ketetapan CRC? Berhati-hatilah apabila membuat keputusan supaya tidak mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT.