Kenapa Perlu Restu Amerika?

AS tolak tawaran Iran

WASHINGTON 13 Dis. – Amerika Syarikat (AS) secara berterus terang menolak tawaran Iran berhubung pertukaran bagi mendapatkan bahan api nuklear, yang disifatkan oleh seorang pegawai kanan AS sebagai tidak konsisten dengan satu perjanjian yang membenarkan republik Islam itu mengelak daripada dikenakan sekatan lanjut.

“Saranan Iran hari ini dilihat tidak konsisten dengan draf perjanjian adil dan seimbang yang dicadangkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dirunding bersama AS, Rusia dan Perancis,” kata pegawai itu tanpa mendedahkan namanya.

Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki sebelum ini menyarankan supaya Teheran menukar 400 kilogram uranium peringkat rendahnya bagi mendapatkan bahan api nuklear dalam satu pertukaran yang akan dijalankan di pulau Kish, sebuah zon perdagangan bebas yang terletak dalam wilayah Iran, sebagai fasa pertama perjanjian dengan kuasa dunia.

Pegawai AS itu berkata, tawaran Iran ‘tidak mengandungi sesuatu yang baru’ dan mendesak republik Islam itu supaya menerima saranan sedia ada IAEA yang meminta Iran menghantar 1,200 kilogram uranium peringkat rendahnya ke Rusia.

“Kami kekal komited kepada perkara ini. Malangnya Iran enggan terlibat dengan rundingan lanjut berhubung program nuklearnya.

“Kami mendesak Iran supaya tidak mensia-siakan peluang ini,” katanya.

Pegawai tersebut berkata, perjanjian yang dikendalikan IAEA itu merupakan satu peluang untuk Iran mula membina keyakinan tentang program nuklear yang didakwanya untuk tujuan keamanan. -AFP

Sumber : Utusan Malaysia, 14/12/2009

Kenapa perlu restu Amerika?

Entah apa yang ada di benak pemikiran pemimpin umat Islam sekarang ini hinggakan dalam melaksanakan satu kewajiban pun, perlu meminta restu dari musuh Allah. Adakah memang sudah tiada secebis keimanan pun di hati mereka? Bukankah Allah telah menyatakan bahawa adalah haram bagi umat Islam menjadikan kaum kuffar sebagai hakim?

Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (mu) [TMQ Al-Imran (3) : 28]

Dari segi tanggungjawab pula, adalah menjadi satu kewajiban bagi kaum Muslimin menyediakan kelengkapan perang yang mampu  menggentarkan musuh termasuklah senjata nuklear. Ini berdasarkan perintah Allah:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu sanggup dan dan kuda-kuda yang ditambat (siap sedia) untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.” [TMQ Al Anfal(8): 60]

Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjadikan Al -Quran dan As- Sunnah sebagai pegangan serta panduan dalam membuat sesuatu keputusan. Pemimpin umat Islam sekarang  telah terlalu dijinakkan oleh kuffar Barat, sehinggakan sanggup melakukan kemungkaran dan pengkhianatan dengan tidak melaksanakan perintah Allah. Masih sanggupkah kita dipimpin oleh pemimpin sedemikian rupa?