Antara periuk nasi dan hukum Allah




PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia menyifatkan langkah mengharamkan persembahan penyanyi wanita di negeri Kedah sebagai tidak praktil.
 

Sehubungan itu, Presidennya, Freddie Fernandez berkata, persatuan tersebut berharap untuk bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi membincangkan isu berkenaan.

 

“Kami tengah berhubung dengan Datuk Seri Azizan supaya satu pertemuan antara persatuan dengan beliau dapat diadakan untuk membincangkan semula keputusan kerajaan negeri,” katanya.

 

Beliau berkata, pertemuan itu perlu untuk memberikan pandangan bagi pihak seniman kepada kerajaan negeri.

 

“Saya bagi pihak Karyawan tidak setuju dengan pengharaman itu kerana itu akan menjejaskan periuk nasi artis-artis kita,” ujar beliau.

 

Menurut Freddie, pengharaman bagi penyanyi perempuan untuk mengadakan persembahan itu adalah tidak adil untuk mereka.

 

“Ini tidak adil bagi mereka (penyanyi) yang bergantung kepada bidang ini, mereka sepatutnya bebas untuk membuat persembahan di mana-mana negeri,” katanya.

 

Beliau berharap Azizan akan menimbang semula keputusan untuk mengharamkan seratus peratus persembahan penyanyi perempuan di Kedah.

 

Kelmarin, exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh menyatakan tiada kelulusan permit hiburan akan diterima di negeri berkenaan.

 

Freddie bertambah kenyataan Dr Ismail adalah lebih ditujukan kepada orang Islam sahaja.

 

“Itu lebih kepada artis (yang beragama) Islam sahaja tetapi macam mana dengan artis yang bukan Islam? Diharamkan ke dibenarkan?”

 
“Sebelum ini, kami banyak membuat persembahan di Kedah jika diharamkan maka kami akan mengalami kerugian yang banyak,” ujarnya. 

 

Mengenai kenyataan PAS yang menyatakan persembahan hiburan akan memberikan kesan negatif golongan remaja adalah sangat subjektif, beliau berkata: ““Jangan copkan bidang hiburan dengan kegiatan negatif, ini adalah tidak adil”.

 

“Kami hanya mainkan muzik sahaja dan apa salah mendengar muzik dan menghayati orang menyanyi?”katanya.

Sementara itu, artis terkenal Ziana Zain telah melahirkan perasaan sedih dengan sekatan-sekatan terhadap artis-artis yang hanya berniat untuk mencari makan.

 

“Masing-masing (kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan pembangkang) mempunyai cara memerintah yang berlainan, tetapi apa yang kami harap adalah berikan kelonggaran bagi kami untuk mencari rezeki,” katanya.

 

Ziana tidak menafikan kebenaran kenyataan Dr Ismail yang menyatakan suara juga merupakan aurat untuk wanita tetapi sebagai artis, menyanyi merupakan kerjaya mereka jika terdapat banyak sekatan dikenakan adalah susah untuk mereka menyara hidup mereka.

 

“Itu (suara sebagai aurat) saya akui, tetapi itu adalah antara kita dengan Allah. Duit yang kita dapat kita boleh tolong orang yang susah dan hantar mak kami pergi mengerjakan Haji,” ujarnya.

 

Selain Ziana, Noryn Aziz yang juga merupakan salah seorang bintang terkenal di Malaysia juga berharap agar periuk nasi mereka sebagai artis tidak disekat.

 

“Saya rasa ini akan menyusahkan kami untuk mencari rezeki, ini (bidang hiburan) adalah periuk nasi kami,” katanya.

 

Sumber: Mstar Online 03/09/08

 

Ulasan:

 

Penerapan Islam itu memerlukan kekuatan, keberanian dan political will? Kuasa telah ada di tangan mereka yang telah dipilih oleh rakyat untuk berkuasa dan memerintah. Kelak anda akan ditanya oleh Allah SWT dengan kuasa yang anda miliki. Justeru itu tindakan kerajaan negeri Kedah mengharamkan artis wanita mengadakan konsert adalah suatu tindakan yang amat di alu-alukan. Kerana bidang nyanyian sekarang adalah suatu bentuk kemaksiatan kepada Allah SWT.

 

Ya semakin jelas kepada kita bahawa kuasa politik itu adalah sesuatu yang perlu untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Justeru, janganlah hendaknya kita tunduk dengan desakan orang-orang yang mengikut hawa nafsunya yang hanya berfikir untuk memaksiati Allah. Firman Allah SWT,

 

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya, dan adalah keadaannya itu melampaui batas” [TMQ Al-Kahf (18):28].

 

Sebagai peringatan kepada pemimpin, kesan negatif yang muncul dari industri nyanyian ini bukan hanya datang dari penyanyi wanita, malah penyanyi lelaki juga, tidak ada beza di antara keduanya. Suara penyanyi wanita yang dikatakan aurat itu jauh lebih ‘ringan’ berbanding ‘body’ penyanyi wanita itu sendiri yang sering dipertontonkan dengan bangganya kepada umum. Pakaian yang ketat, menjolok mata, terdedah di sana-sini, make-up yang melampau-lampau, perbuatan melompat-lompat yang lebih hebat dari katak, goyang sana-sini yang lebih hebat lipas kudung dan sebagainya, inilah reaksi artis-artis ini bila mereka melalak di pentas. Jadi, janganlah hendaknya keharaman dilihat dari aspek aurat suaranya sahaja. Penyanyi lelaki juga tidak kurang hebatnya dengan berseluar ketat, koyak di sana-sini yang menampilkan aurat, melakukan aksi lucah dan menyanyi seperti orang yang kerasukan serta kehidupan dan pergaulan bebas yang melampaui batas, semuanya ini tidak pernah diajar oleh Islam dan menimbulkan kesan negatif yang amat membahayakan masyarakat.

 

Kita sudah muak dengan alasan ‘periuk nasi’ yang dilontarkan oleh artis-artis ini, seolah-olah ini sahajalah pintu rezeki yang ada untuk mereka! Demikianlah, selagi pemimpin yang ada masih ‘menghalalkan’ segala tindak-tanduk mereka, maka selagi itulah mereka akan terus mencari periuk nasi yang haram ini. Justeru, langkah sebaiknya dan bertepatan dengan Islam adalah, bukan sekadar mengharamkan mereka ini, bahkan mengenakan takzir yang berat jika mereka terus memaksiati Allah dengan perbuatan haram mereka ini. Dan kedua-dua jenis jantina yang melakukan maksiat ini mesti diharamkan keduanya.

 

Seperkara lagi, selain langkah mengharamkan kemaksiatan yang dilakukan oleh penyanyi ini, banyak lagi maksiat lainnya yang juga wajib dihapuskan. Seketika dahulu, Menteri Besar Kedah pernah memberikan tiket percuma bagi menyaksikan pertandingan bola sepak yang melibatkan pasukan Kedah, tanpa mengambil kira bahawa keseluruhan pemain sebenarnya telah memaksiati Allah dengan berseluar pendek. Sewajibnya, mereka di arahkan memakai seluar panjang dan menutup aurat dan meninggalkan segala bentuk permainan yang melalaikan. Namun hal ini ternyata tidak berlaku. Banyak lagi kemaksiatan lainnya yang wajib dihapuskan oleh mereka yang berkuasa. Firman Allah SWT,

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ Al-Baqarah(2):208]

 

Kepada pemimpin, rebutlah peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepada kalian untuk membuat sebanyak mungkin kebaikan yang membolehkan kalian meraih redha disisiNya. Dan tidak ada kebaikan yang lebih utama melainkan kalian sebagai pemerintah yang berkuasa agar menerapkan Islam secara kaffah di dalam kehidupan ini, bukan hanya kepada perkara-perkara yang terpilih sahaja. Islam adalah satu agama yang sempurna dari segenap aspek, agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur seluruh kehidupan manusia sama ada dalam persoalan hubungannya dengan Al-Khaliqnya (akidah dan ibadah), hubungan dengan dirinya sendiri (akhlak, makanan, pakaian) dan juga hubungan dirinya dengan manusia yang lain (‘uqubat dan mu’amalat). Wallahu a’lam.