Hukum Allah atau Hukum Stesen Televisyen?

Dilarang bersentuhan

KEKOK. Itu satu patah perkataan yang diluahkan oleh dramatis berpengalaman, Ezany Nizariff bagi menggambarkan betapa hebatnya impak daripada cabaran yang dihadapinya sepanjang berlakon drama terbaru terbitan stesen TV AlHijrah, Pak Su Man yang mula disiarkan pada pukul 8.30 malam ini.

Sebagai sebuah saluran TV yang berciri Islamik, mungkin ramai yang masih belum mengetahui bahawa TV AlHijrah sebenarnya mempunyai garis panduan yang agak ketat dan harus dipatuhi oleh syarikat penerbitan drama sebelum menghasilkan sesebuah drama untuk siaran saluran TV yang mula ke udara pada 7 Disember tahun lepas itu.

Antaranya, setiap pelakon wanita diwajibkan untuk memakai tudung tidak kira untuk sebarang watak yang dilakonkan.

Pelakon lelaki dan wanita pula tidak boleh bersentuhan meskipun berlakon sebagai pasangan suami isteri.

Dalam pada itu, drama Pak Su Man yang turut menampilkan beberapa pelakon baru seperti Fazren Rafi dan Ika Zulkifli itu menyaksikan Ezany bergandingan dengan Yatt Hamzah sebagai suami isteri.

Sememangnya saya berasa agak kekok apabila berlakon di samping Yatt sebagai suami isteri tetapi pada masa yang sama kami langsung tidak dibenarkan untuk saling bersentuhan antara satu sama lain,” akuinya.

Justeru, bagaimana caranya untuk Ezany menghidupkan karakter kemesraan antara pasangan suami isteri jika untuk saling bersentuhan tidak dibenarkan sama sekali?

Menurutnya, biarpun dia kekok pada awalnya, namun lama-kelamaan dia merasakan garis panduan TV AlHijrah itu sebenarnya adalah satu pendekatan yang cukup menarik.

Tidak dinafikan garis panduan yang ditetapkan TV Al Hijrah itu agak berat tetapi untuk melihat drama ini berjalan dengan baik, maka ia semua bergantung kepada kreativiti pengarah tentang bagaimana dia akan mencorakkan drama ini supaya kelihatan lebih menarik.

“Biarpun berasa sedikit kekok, tetapi saya tidak kisah dan tetap memberikan yang terbaik untuk drama Pak Su Man kerana saya sedar ia juga boleh menyampaikan mesej dakwah kepada penonton,” ujarnya.

Tambahnya, selepas ini juga dia tidak akan menolak sebarang tawaran berlakon sebarang drama yang akan disiarkan melalui saluran AlHijrah, meskipun terikat dengan garis panduan tersebut.
 
EZANY dan Yatt menerima secara positif garis panduan yang telah ditetap oleh TV AlHijrah.

Malah, selepas ini saya memang sangat berharap akan menerima lebih banyak lagi tawaran berlakon dalam drama-drama yang akan disiarkan menerusi saluran TV AlHijrah,” tuturnya yang turut mengakui semakin banyak mendapat tawaran yang memerlukan dirinya memakai tudung.

Sumber:   Kosmo Online


Hukum Allah Atau Hukum Stesen Televisyen?
Kekok dengan peraturan yang dikenakan stesen TV al Hijrah atau kekok dengan hukum Allah? Atas nama lakonan dan mengikut kehendak stesen TV semua peraturan dan garis panduan sanggup dituruti. Namun sejauh mana ketaatan dan keterikatan dengan hukum sebenar yang diturunkan Allah?  Idea pemisahan agama dari kehidupan (sekularisma) yang diagung-agungkan Barat kini telah menjadi prinsip hidup sebahagian besar umat Islam.

Pengakuan artis di atas dengan jelas menggambarkan sikap hipokrit mereka yang hanya menjaga aurat dan tidak bersentuhan sewaktu melakonkan watak tetapi dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya. Jelas peraturan yang dikenakan stesen TV al-Hijrah boleh mengelirukan umat Islam yang tidak memiliki kefahaman yang jelas tentang hukum pengaturan hubungan lelaki dan wanita. Hanya dengan mengenakan peraturan seperti wajib bertudung, dilarang bersentuhan ianya dilihat menggambarkan ciri-ciri keislaman yang ingin diterapkan oleh stesen TV terbabit.  Bagaimana pula jika bertudung tetapi mengenakan solekan yang tebal dan menarik perhatian umum? Dan bagaimana jika dilarang bersentuhan tetapi memandang dengan penuh syahwat dan melantun suara yang memberahikan?  Ini belum lagi mengambil kiranya kesannya pada seluruh anggota masyarakat yang menontonnya. Sudah pasti ianya meninggalkan kesan sementelah masyarakat itu adalah makhluk sosial yang mudah mempengaruhi dan dipengaruhi dengan apa yang dilihat dan disaksikannya.

Sedarlah wahai umat Islam. Janganlah mudah merelakan diri dipengaruhi dengan idea sekularisma yang dijaja Barat. Usah terpedaya dengan mereka yang menggunakan imej dan nama Islam untuk kepentingan tertentu. Kembalilah kepada Islam yang lengkap dan sempurna dengan segera mendalami dan memahaminya untuk diterapkan.  Dan bagi mereka yang merasa kekok dengan peraturan yang diturunkan Allah, biasa-biasakanlah  merenungi firman Allah ini.. “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasu-lNya, maka sungguh dia telah tersesat, dengan kesesatan yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33):36]Wallahu’alam.