Apa beza calon baru dan lama dalam PRU15?

Banyak parti sudah mengumumkan calon masing-masing bagi menghadapi PRU15 pada 19 November nanti. Hampir setiap hari berita di Malaysia hanya menyajikan pengumuman mengenai calon itu dan ini di sana dan di sini.

Seperti biasa, dalam setiap pemilihan calon oleh parti mana pun akan terdapat pertelagahan sesama sendiri kerana ada calon lama yang digugurkan, dipindahkan atau terdapat muka-muka baru yang ada sahaja yang tidak memuaskan hati sesama mereka.

Perbalahan biasanya boleh sampai ke tahap keluar daripada parti dan menyertai parti lain, atau bertanding atas tiket bebas. Setelah itu, hanya gara-gara tidak terpilih, maka segala kutukan akan keluar terhadap parti sendiri yang selama ini disanjung melangit.

Inilah realiti parti-parti politik yang akan berpesta pilihan raya di Malaysia tidak lama lagi, sebuah pesta yang sudah sebati dengan segala perbalahan, fitnah-memfitnah, caci-maki, penipuan, rasuah dan sebagainya.

Inilah rupa paras sistem demokrasi yang boleh disaksikan setiap kali menjelang pilihan raya, yang hakikatnya menjadi medan perpecahan umat Islam.

Dalam setiap pilihan raya, persoalan yang sentiasa bermain di minda rakyat khususnya para pengundi ialah, siapakah yang akan mereka pilih semasa hari mengundi nanti? Adakah mereka akan memilih parti atau memilih calon? Persoalan ini tidak pernah luput daripada para pengundi, dengan masing-masing mempunyai justifikasi masing-masing dalam hal ini – sama ada ingin memilih parti atau calon.

Ada para pengundi khususnya yang di atas pagar, lebih mementingkan parti daripada calon. Manakala ada pula yang lebih mementingkan calon daripada parti.

Kita tidak menafikan yang mungkin ada segelintir calon yang benar-benar akan membawa suara rakyat dan menjaga kepentingan rakyat, namun realiti secara umum dalam sistem demokrasi telah menunjukkan kepada kita bahawa rata-rata calon hanya membawa suara parti dan menjaga kepentingan parti.

Apa tidaknya, kerana partilah yang mendanai mereka dalam pilihan raya, dan mereka mempunyai ketua parti yang wajib ditaati segala perintah dan keputusannya. Malah “periuk nasi” mereka bergantung kepada parti.

Jadi, tidak kiralah calon baru atau calon lama yang akan diletak oleh mana-mana parti, sebenarnya tidak ada bezanya, kerana mereka sudah pastinya akan berkhidmat kepada parti, melebihi khidmatnya kepada rakyat. Ini kerana mereka datangnya dari parti, didanai oleh parti dan perjuangan mereka selama ini ialah untuk parti.

Jadi, jangan biarkan demokrasi, parti-parti politik dan ahli-ahli politik ini terus menipu kita. Fikirkanlah sama ada muka baru atau muka lama yang akan bertanding dalam PRU15 nanti,  adakah “wakil rakyat” benar-benar wujud atau tidak? Atau yang wujud hanyalah “wakil parti”?

Sesungguhnya pilihan ada di tangan kita, dan ingatlah bahawa “tidak memilih” juga merupakan satu pilihan. Ingatlah bahawa setiap pilihan itu bukan sahaja ada konsekuensinya di dunia, tetapi juga di akhirat.

Wallahu a’lam.