Apa guna kerajaan yang bersih jika sistemnya kotor
Antara kempen yang dilaungkan di seluruh negara sekarang ini ialah kerajaan yang bersih. Terdapat pihak yang mendabik dada bahawa pemerintahan mereka sebelum ini adalah bersih di mana tidak ada seorang pun pemimpin yang diheret ke mahkamah akibat rasuah, penyelewengan, skandal, salah guna kuasa atau apa-apa kesalahan salah laku.
Atas dasar itu, mereka mengajak rakyat untuk mengundi mereka bagi mengekalkan kerajaan yang bersih, yang akan turut menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.
Siapa yang tidak mahukan kerajaan bersih? Siapa pun yang waras akalnya akan mendambakan sebuah kerajaan seperti ini.
Namun jika diperhalusi dan jika kita akui sekalipun wujudnya kerajaan seperti ini, cukupkah bagi kita untuk mempunyai sebuah kerajaan yang bersih, sedangkan sistem yang diterapkannya penuh dengan kekotoran?
Cukupkah untuk kita mempunyai seorang Perdana Menteri atau sebarisan jemaah menteri yang tidak pernah terlibat dalam rasuah atau penyelewengan, namun industri arak dan judi tetap dipertahankan oleh mereka?
Cukupkah untuk kita mempunyai seorang Perdana Menteri atau sebarisan jemaah menteri yang tidak pernah meninggalkan solat dan puasa, namun sistem perbankan ribawi tetap dipertahankan oleh mereka?
Cukupkah untuk kita mempunyai seorang Perdana Menteri atau sebarisan jemaah menteri yang sangat terpuji akhlak mereka, suka bersedekah dan menolong orang, namun kelab malam dan segala macam kelab joget dan disko tetap dipertahankan oleh mereka?
Cukupkah untuk kita mempunyai seorang Perdana Menteri atau sebarisan jemaah menteri yang tidak pernah menzalimi mana-mana rakyat, tetapi segala hasil-mahsul negara berupa minyak, gas asli, dan pelbagai galian dikaut ke dalam kantung mereka?
Cukupkah untuk kita mempunyai sebuah kerajaan yang bersih, namun menghukum penzina hanya dengan enam kali sebatan, menghukum pencuri hanya dengan penjara, menghukum orang yang murtad hanya dengan nasihat?
Cukupkah untuk kita mempunyai sebuah kerajaan yang bersih, namun Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya hanya sekadar menjadi bacaan dan kitab teori, manakala penerapan hukum dalam negara adalah berdasarkan kepada perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah?
Sesungguhnya umat Islam bukan sekadar memerlukan sebuah kerajaan yang bersih, tetapi sistemnya juga mesti bersih, dan satu-satunya sistem yang bersih sudah pasti yang datangnya daripada Allah dan Rasul-Nya.
Sistem apa lagi jika bukan sistem Khilafah, yang telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, yang telah membawa ketamadunan yang luar biasa kepada dunia, yang telah memberikan kekuatan dan kemuliaan kepada umat Islam, yang telah membawa rahmat ke seluruh alam dan menaungi dunia selama lebih 13 abad.
Wallahu a’lam.