Apa pengajaran kita dapat daripada penunjuk perasaan Ves Kuning?

Bantahan daripada para penunjuk perasaan Ves Kuning di Perancis sejak pertengahan November lalu masih lagi berterusan. Setiap hari sabtu, sejak 17 November, bantahan secara besar-besaran berlangsung di bandar-bandar Perancis dan ratusan ribu penunjuk perasaan turun di jalanan yang menyebabkan puluhan ribu polis Perancis terpaksa dikerahkan untuk mengawal keadaan. Perancis yang merupakan sebuah negara kuasa besar hampir lumpuh akibat pergerakkan massa menentang dasar kerajaan Macron. Bantahan yang bermula dengan protes terhadap cukai bahan api hanyalah merupakan percikan api kemarahan rakyat terhadap keadaan ekonomi dan sosial rakyat yang semakin menjerut sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Sejak empat dekad yang lalu, rakyat Perancis sangat bimbang tentang jaminan perlindungan sosial yang semakin terhakis. Dasar-dasar penjimatan oleh Perancis telah mengabaikan kebajikan rakyatnya malah presiden-presiden mereka yang silih berganti setiap kali pilihan raya dilaksanakan tidak membawa banyak perubahan dalam memperbaiki kebajikan rakyat. Kebimbangan rakyat ini terutama pada golongan pertengahan dan pekerja lama kelamaan menjadikan mereka tidak lagi mempercayai kepada semua ahli politik sama ada baik di pihak kanan (nasionalis dan neoliberalis) mahupun di pihak kiri (sosialis). Hal ini demikian kerana, mereka percaya bahawa ahli-ahli politik elit ini hanyalah menjaga kepentingan orang-orang kaya (pemilik modal) dan tidak peduli langsung dengan kebajikan rakyat biasa.

Ketika itulah Emmanuel Macron, yang merupakan bekas menteri ekonomi Perancis datang dengan agenda reformasi dan mahu mengubah keadaan politik dan sosial Perancis. Macron bekerja keras untuk membezakan dirinya dengan parti dan politikus yang lain dalam kempen pilihan raya 2017. Dengan umur yang begitu muda dan penuh bertenaga, Macron menubuhkan sebuah parti politik baru, yang tidak bergabung dengan mana-mana parti kiri atau kanan lalu ia dilihat tidak membawa sebarang agenda kepentingan politik. Majoriti rakyat Perancis melihat Macron sebagai penyelamat dan tidak teragak-agak memberikan undi kepadanya. Akhirnya, Macron meraih undi majoriti terbanyak dengan mudah dan mengalahkan lawannya.

Tanpa menunggu waktu yang lama, rakyat Perancis mula sedar bahawa imej reformisnya tidak lebih daripada ilusi. Sejurus dipilih sebagai Presiden Perancis, Macron mula menampakkan belangnya. Beliau menggubal dasar-dasar yang menyebelahi kepentingan para kapitalis seperti mengurangkan cukai aset hartanah sehingga diberi jolokan “President of the rich” (Presiden bagi orang kaya).

Manakala terhadap rakyat miskin, Macron seolah-olah tidak mahu memahami keperitan hidup mereka. Beberapa video yang memaparkan sikapnya yang menyuruh orang-orang yang membuat bantahan dan marah terhadap dasar-dasarnya agar mencari kerja untuk menambahkan pendapatan bukan sebaliknya membuat kekacauan. Sikap yang buruk dan tanpa rasa simpati itu menyebabkan rakyat Perancis terutamanya golongan pekerja dan pertengahan sangat marah terhadap Macron. Akhirnya, dasarnya yang terbaru mengenai cukai bahan api yang menekan lagi rakyatnya menyebabkan kemarahan rakyat tidak dapat lagi dibendung lalu protes secara besar-besaran terus berlansung malah mendapat sokongan majoriti rakyat.

Sebagai umat Islam, kita perlu melihat dengan mendalam apa yang sedang berlaku di Perancis dan mengambil iktibar daripadanya. Perubahan yang diinginkan oleh rakyat Perancis agar kehidupan dan kebajikan mereka terjamin tidak berjaya diperoleh dengan sering kali menukar pemimpin melalui sistem demokrasi. Malah pemimpin yang kononnya dilihat reformis akhirnya membuat pusingan-U dan meneruskan dasar-dasar kapitalisme yang terus menekan rakyat. Inilah janji perubahan yang diberikan oleh sistem demokrasi, sebuah perubahan hanya pada wajah-wajah yang memimpin, namun sistem yang buruk tetap sama dipakai.

Masalah utama yang kita hadapi di sini begitu juga dengan Perancis bukanlah siapa yang memimpin negara, kerana masalahnya bukanlah pemimpin semata-mata. Walaupun berpuluh-puluh kali atau beratus-ratus kali pemimpin ditukar namun masalah sosio-ekonomi, kesenjangan antara kaya dan miskin dan ketidakadilan politik akan tetap berlaku dan tidak kunjung selesai. Hal ini disebabkan masalah utama ialah sistem itu sendiri iaitu Demokrasi dan Kapitalisme. Sistem-sistem kehidupan ciptaan manusia yang begitu lemah, tidak sesuai dengan fitrah manusia dan selalu berlaku pertentangan antara manusia.

Di sinilah Islam datang daripada Allah SWT sebagai Pencipta manusia yang menurunkan wahyu kepada manusia agar mengikuti perintah-Nya. Islam diturunkan membawa sistem-sistem kehidupan yang lengkap untuk manusia dalam sebuah wadah iaitu Khilafah Islamiyyah, merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan dasar luar negara tersendiri yang berbeza sama sekali dengan sistem demokrasi-kapitalisme mahupun sosialis. Sistem Islam ini sesuai dengan fitrah manusia, tidak bertentangan antara satu dengan yang lain malah terbukti pernah diterapkan sepanjang lebih 1,300 tahun. Marilah kita sama-sama mengkaji semula sistem Khilafah dan berusaha mengembalikannya dalam kehidupan hari ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila Rasul menyeru kalian kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kalian, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” [TMQ al-Anfaal (8): 24].

Dr Ammar
Lajnah Tsaqafiyyah HTM