Ratusan ribu penunjuk perasaan Ves Kuning bukti kegagalan Kapitalisme

Minggu ini merupakan minggu kelima bantahan daripada kumpulan Ves Kuning di Perancis. Demonstrasi yang bermula pada 17 November lalu dengan 300,000 penunjuk perasaan yang berpakaian ves kuning telah membantah dasar ekonomi Presiden Macron yang menaikkan harga minyak. Perasaan amarah rata-rata rakyat Perancis tidak dapat dibendung apabila hampir 20 peratus kenaikan harga diesel sejak awal tahun lalu dan ditambah peningkatan cukai ke atas bahan bakar yang baru diperkenalkan. Manakala Macron menyatakan bahawa cukai tersebut perlu untuk ‘melindungi alam sekitar’ dan ‘melawan perubahan cuaca’. Namun bagi para penunjuk perasaan, dasar tersebut hanyalah menunjukkan kesombongan presiden yang tidak mahu memahami kesulitan yang dihadapi rakyat Perancis.

Demonstrasi besar-besaran setiap minggu ini merupakan detik bersejarah bagi Perancis yang melihat sebuah pergerakan massa yang signifikan pada dekad-dekad terakhir ini disebabkan oleh masalah sosial negara yang begitu serius, sentimen anti golongan elit, kesenjangan ekonomi yang melebar dan rakyat yang dahagakan keadilan sosial. Selepas didesak oleh para penunjuk perasaan, kerajaan Macron telah membuat ‘pusingan-U’ dengan menghentikan kenaikan harga minyak, namun ia tidak memadai bagi para penunjuk perasaan. Hal ini demikian kerana, kenaikan harga minyak bukanlah satu-satunya sebab kemarahan mereka, namun kekecewaan ini ditujukan ke atas para politikus elit secara umum dan Presiden Macron secara khusus. Mereka menuntut agar Presiden Macron meletakkan jawatan dan pada masa yang sama menuntut pengagihan kekayaan yang adil, kenaikan gaji dan gaji minimum serta kenaikan bayaran pencen dan sekuriti sosial.

Tunjuk perasaan yang berlaku ini sekaligus menunjukkan kegagalan sistem Kapitalisme. Sistem Kapitalisme telah merosakkan politik dan sosial masyarakat Perancis. Sistem ini tidak pernah mengenal kaum dan agama. Mana-mana negara yang menerapkan sistem Kapitalisme tidak kiralah di dunia Islam mahupun di Eropah, ia pasti membawa kerosakkan sosial, kesenjangan ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan perlaksanaan pelbagai cukai yang menekan rakyat. Sistem ekonomi yang mengagungkan kebebasan berekonomi ini yang kononnya membawa ‘keadilan sosial’ ternyata hanyalah melayani dan menguntungkan para pemerintah dan golongan elit (golongan pemilik modal) sahaja. Mereka mencari keuntungan di atas kesengsaraan rakyat dan memperhambakan rakyatnya. Sistem Kapitalisme membawa manusia kepada sistem rimba iaitu siapa yang kuat, bijak dan kayalah yang akan menang dan bertambah kekayaannya, sedangkan sebaliknya pula bagi siapa yang lemah, miskin dan bodoh maka golongan ini akan kalah, ditindas dan dizalimi.

Islam diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai sebuah penyelesaian bagi kehidupan manusia, termasuklah dalam sistem ekonomi. Rasulullah SAW dan para sahabat telah menerapkan sistem ekonomi Islam (Nizhamul Iqtishad) dalam kehidupan bernegara melalui dalil-dalil yang jelas. Sistem pemilikan yang tersusun dengan memisahkan antara pemilikan individu, pemilikan awam dan pemilikan negara mampu menjamin keperluan bagi setiap rakyatnya dan mengelakkan berlakunya kesenjangan ekonomi. Selain itu, dengan pengharaman riba’, serta adanya perlaksanaan akad transaksi yang jelas serta hanya mengiktiraf penggunaan matawang emas dan perak mampu menghalang ketidakstabilan ekonomi. Inilah sistem ekonomi yang sesuai dengan fitrah manusia, yang membawa kesejahteraan ke seluruh alam (Rahmatan lil ‘Alamin). Sistem kapitalisme ciptaan manusia telah membawa kehancuran dan pergolakan sosial. Oleh itu, umat Islam perlu membuang sejauh-jauhnya sistem ekonomi Kapitalisme dan menggantikan dengan Nizhamul Iqtishad fil Islam.

 

Dr Ammar
Lajnah Tsaqafiyyah HTM