Apa yang perlu dibanggakan dengan peningkatan KDNK?
Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menunjukkan ekonomi negara tumbuh sebanyak lima peratus bagi tahun 2015, sekali gus mengatasi unjuran yang dibuat beberapa penganalisis tempatan dan antarabangsa termasuk ramalan oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Mengulas perkara tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh leka dengan kejayaan tersebut, sebaliknya perlu terus mengambil langkah proaktif demi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Dalam dunia kapitalis, salah satu kayu ukur pencapaian kemakmuran ekonomi sesebuah negara adalah melalui prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicapai. Melalui mekanisme ini, jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan terakhir dalam negara akan diukur yang biasanya dinilai secara tahunan. Prestasi ekonomi negara kapitalis akan dikira baik dan mengembang sekiranya ada peningkatan berbanding nilai KDNK pada tahun sebelumnya.
Namun persoalannya, apakah ukuran ini menggambarkan keadaan sebenar kedudukan ekonomi atau kesejahteraan yang dinikmati rakyat? Rakyat yang tidak tahu mengira pun tahu bahawa semua ini hanyalah satu pembohongan. KDNK yang dikira secara purata langsung tidak menggambarkan kesejahteraan sebenar yang dinikmati oleh setiap individu rakyat. Realitinya, walaupun KDNK meningkat tetapi harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat. Pelbagai jenis cukai juga terus menjerut rakyat. Jumlah mereka yang meminjam juga tidak pernah surut, malah along semakin ramai dan semakin aktif. Semua ini adalah realiti kehidupan rakyat yang terhimpit dan terdesak, di sebalik kenaikan KDNK!
Kerana itu, seseorang itu tidak perlu memiliki segulung ijazah dalam bidang ekonomi untuk memahami bahawa penilaian pertumbuhan ekonomi menurut KDNK hanyalah satu ‘pembohongan’ kerajaan Kapitalis. KDNK di mana-mana negara sekalipun, tidak pernah menggambarkan realiti sebenar kemakmuran ekonomi yang dapat dirasai oleh setiap individu di dalam sesebuah negara tersebut. Hakikat yang berlaku ialah penimbunan kekayaan yang semakin ketara dimiliki oleh golongan kaya raya dan penderitaan demi penderitaan dialami oleh sebahagian besar rakyat.
Sistem ekonomi Kapitalis berbeza sama sekali dengan sistem ekonomi Islam. Syariat Islam telah mewajibkan pemerintah untuk melihat keperluan rakyat per individu secara ‘real’, bukannya membuat pengiraan secara purata lalu membuat kesimpulan! Kemakmuran ekonomi yang dimiliki oleh negara dinilai dengan pemenuhan keperluan setiap individu rakyat yang menjadi warga Daulah Islam. Dengan kata lain, walaupun hanya ada seorang sahaja warganegara yang tidak dapat makan, maka keadaan ini dinilai ‘buruk’ dan pemerintah wajib menyelesaikan masalah ini bagi melepaskannya daripada dosa kepada Allah SWT.
Inilah ukuran prestasi ekonomi dalam Islam yang melihat kepada masalah secara real bukannya secara angka atau peratusan! Keperluan asas (basic needs) setiap individu seperti makanan, pakaian serta tempat tinggal merupakan perkara pertama yang wajib diberi perhatian oleh pemerintah dan dipastikan agar setiap individu rakyat memperolehinya. Manakala hak asas (basic rights) dalam hidup bermasyarakat seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan mestilah di pastikan terpenuhi oleh pemerintah ke atas masyarakat secara kolektif.
Untuk memastikan segala keperluan asas ini terpenuhi, negara perlu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup kepada individu yang wajib bekerja dan menetapkan hukuman (uqubat) kepada mereka yang sengaja tidak mahu atau malas bekerja sedangkan dia atau keluarganya memerlukan nafkah. Bagi warganegara yang tidak mampu bekerja seperti disebabkan oleh kecacatan, sakit berat, tua dan sebagainya, mereka ini akan disantuni oleh negara daripada harta Baitul Mal.
Inilah yang pernah dilalukan oleh Saidina Umar al-Khattab RA semasa menjadi Khalifah, sehingga beliau menyamar dan meronda di malam hari untuk melihat sendiri keadaan dan keperluan rakyatnya. Inilah perkara yang tidak pernah dilakukan oleh pemerintah di Malaysia, kecuali di musim pilihan raya yang dilakukan dalam rangka ‘menunjuk baik’ untuk menagih undi!
Terlalu banyak kisah keindahan Islam dalam memastikan kepuasan dan kemakmuran ekonomi negara dinikmati oleh setiap individu warganya. Malahan, kemakmuran ini turut akan dapat dirasai oleh haiwan yang hidup dalam negara yang dipayungi oleh syariat Islam. Segala keindahan Islam tidak akan dapat dirasai sekiranya sistem ekonomi kapitalis yang membelenggu negara dan dunia ketika ini tidak diruntuhkan dan digantikan dengan sistem Islam secara sempurna.
Oleh itu, kita wajib berusaha meruntuhkan sistem yang penuh kerosakan dan kebusukan ini dan meletakkannya di tempat yang selayaknya iaitu di bakul sampah!