Apabila TNB Berbangga Dengan Hasil Rampasan Hak Yang Diperolehinya

TNB sebagai syarikat kapitalis yang diberikan keizinan oleh kerajaan untuk berniaga elektrik kepada rakyat Malaysia dengan bangganya telah mengumumkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM1.742 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2013 yang berakhir 31 Mei lalu berbanding RM684.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. Sudah semestinya kerajaan Malaysia sungguh berbangga dengan pencapaian TNB tersebut. Mana tidaknya, keuntungan syarikat tersebut pastinya akan memberikan pulangan lumayan kepada kerajaan dalam bentuk cukai. Bagaimana pula dengan rakyat?

Rugi atau untungnya syarikat TNB atau mana-mana syarikat kapitalis milik kerajaan yang lain, rakyat tetap akan menjadi mangsa dan dimangsakan. Rakyat tetap menjadi orang yang terawal sehinggalah yang terakhir untuk diperah keringat mereka kesan daripada penerapan sistem kapitalisme oleh pihak pemerintah. Pada hakikatnya, rakyat menjadi mangsa rompakan oleh si perompak yang telah diberikan lesen oleh pemimpin rakyat itu sendiri. Bukankah ini suatu tindakan yang kejam lagi zalim? Dalam dunia kapitalis, negara sentiasa berniaga dengan rakyatnya sendiri untuk meraih keuntungan. Rakyat dalam sesebuah negara kapitalisme akan dipaksa untuk membayar bermacam-macam perkara mengikut akal dan kehendak pemerintah sedangkan perkara-perkara tersebut wajib disediakan oleh pemerintah kepada rakyatnya dan diberikan secara percuma. Inilah natijahnya penerapan sistem ekonomi kapitalis pemerintah sekular Malaysia yang diwarisi daripada penjajah British sehinggalah ke hari ini.

Islam adalah satu-satunya ideologi kehidupan yang benar kerana ia bersumber daripada Allah SWT yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan. Islam juga telah menjelaskan secara tuntas tentang persoalan yang disebutkan di atas ini. Dalam pandangan Islam, air, padang ragut (jalan atau lebuhraya) dan api (termasuklah elektrik) adalah hak milik umum (rakyat) yang mana adalah haram hukumnya bagi negara untuk mengambil hak tersebut dan diniagakan dengan rakyat. Negara hanya bertugas untuk mengelola dan menyalurkannya kepada rakyat. Sabda Rasulullah SAW, “Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud & Ahmad].

Bukankah ini suatu bentuk kezaliman yang telah dilakukan oleh pemerintah kapitalis, yang secara terang-terangan telah merompak hak rakyatnya sendiri dan kemudian harta rompakan itu dijual balik kepada si pemilik harta itu sendiri? Memang selayaknya pemimpin yang menipu rakyat itu tidak mencium bau syurga. Sabda Rasulullah SAW, “Tiadalah seorang hamba Allah yang diberi tugas pemimpin untuk memimpin rakyat kemudian dia mati di hari kematiannya dalam keadaan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkannya daripada memasuki syurga’.” [Muttafaqun alaih]

 Sila baca: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2853-sn263-kenaikan-tarif-elektrik-rakyat-terus-menjadi-korban

Sumber: Utusan Malaysia 19/07/13