Apabila Demokrasi Yang Menentukan, Muslimat Menjadi Korban

Sesuai dengan status Negara Republik Indonesia, yang ditegakkan atas dasar demokrasi dan sekularisme dalam sistem pemerintahannya, ternyata negara tersebut telah mengikut jejak langkah negara-negara barat sama sepertimana Jerman, Sweden, Belgium dan Perancis yang telah melarang pemakaian kerudung terhadap rakyatnya. Terbaru, anggota polis wanita tidak dibenarkan untuk memakai kerudung kerana ia menyalahi etika berpakaian rasmi yang telah ditetapkan oleh negara republik itu untuk mana-mana anggota polis wanita.

Di Sepanyol, kerudung dianggap sebagai simbol penindasan terhadap kaum wanita sedangkan Sepanyol sendiri telah mengiktiraf Islam berdasarkan undang-undang kebebasan beragamanya yang telah disahkan pada bulan Julai 1967. Di Nigeria pula, mereka telah melarang pemakaian kerudung bagi wanita serta seluar panjang  dan songkok/kopiah bagi lelaki.

Bahkan di negara Timur Tengah juga berlaku perkara yang sama. Contohnya di  Tunisia, ketika era pemerintahan Presiden Habib Bourguiba pada tahun 1981, Tunisia menguatkuasakan Undang-undang fasal 108 yang melarang wanita Muslimah  untuk memakai kerudung apabila berada dalam mana-mana institusi atau lembaga pemerintahan. Kemuncaknya, pemerintah Tunisia telah melarang para wanita yang berkerudung daripada memasuki dan mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan. Lebih biadab lagi, pemerintah telah melarang wanita daripada melahirkan anak di hospital kerajaan hanya semata-mata kerana ia berkerudung. Begitulah betapa anti dan bencinya mereka terhadap pemakaian kerudung. Pada bulan September 2006, pemerintah Tunisia telah melakukan operasi khas dengan menggeledah kedai-kedai yang menjual patung kanak-kanak berkerudung yang dikenali sebagai ‘Fulla’.

Inilah secebis potret bagaimana para Muslimah yang sering menjadi mangsa pertama dan utama dalam setiap penerapan undang-undang sekularisme demokrasi. Di samping itu, mereka juga menjadi mangsa terhadap propaganda ‘Islamofobia’ (takut dan benci) terhadap umat Islam. Mungkinkah Indonesia akan menjadi negara yang seterusnya dalam menghalang rakyatnya daripada memakai kerudung? Memakai kerudung merupakan sebahagian daripada syariat dan juga syiar Islam. Ia adalah suatu kewajipan yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk semua wanita yang beriman. Firman Allah SWT:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan (memelihara) kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripada mereka. Dan hendaklah merekan melabuhkan kain kerudung mereka ke dada mereka…’”
[TMQ An-Nur (24) : 31]

Semoga dengan berakhirnya Muktamar Khilafah 2013 yang diadakan di Jakarta baru-baru ini akan segera memberi kesedaran kepada umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Indonesia, bahawa satu-satunya penyelesaian yang diperlukan oleh umat Islam pada saat ini adalah dengan diterapkan syariah Islam secara kaffah dalam rangka Khilafah Islamiyyah.

Sumber: http://www.republika.co.id