Demokrasi Melahirkan Umat Yang Biadap Kepada Allah SWT

Ketika umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba untuk meraih sebanyak-banyak pahala yang dibentangkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkataan ini, tiba-tiba muncul pula empat orang gadis yang mengaku sebagai Muslim mempertahankan keputusan mereka untuk tetap menyertai pertandingan ratu cantik Malaysia bagi merebut gelaran Miss World Malaysia 2013 pada 2 Ogos akan datang. Inilah antara buah busuk demokrasi, melahirkan manusia yang ingin bebas melakukan apa sahaja yang diingini termasuklah bebas daripada keterikatan dengan hukum syarak. Racun sekularisme yang sudah lama berakar umbi dalam diri umat Islam saat ini telah menyerlahkan lagi kerosakan yang dibawa oleh ideologi kapitalisme ke seluruh dunia secara amnya dan umat Islam khususnya. Keempat-empat gadis yang sudah terbius dengan racun liberalisme ini nampaknya sudah tidak dapat lagi menilai apakah yang halal atau yang haram.

Mereka sudah tidak mengenal jati diri sebagai seorang Muslimah. Mereka tidak sedar bahawa diri mereka sedang dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam. Keadaan ini diperparahkan lagi apabila kerajaan sendiri memberikan keizinan untuk pertandingan ratu cantik itu diadakan. Pesta mungkar ini tidak dianggap sebagai suatu jenayah dalam negara demokrasi seperti Malaysia. Kewujudan dan keberadaannya sama sepertimana kilang-kilang arak, pusat-pusat judi, kelab-kelab malam, bank-bank riba dan lain-lain lagi pusat haram. Perkara-perkara mungkar dan tempat-tempat maksiat ini diizinkan dan dihalalkan oleh undang-undang thaghut Malaysia sejak sekian lama kerana ia tidak bertentangan dengan demokrasi. Di manakah Najib selaku pemimpin Islam yang paling berkuasa di Malaysia saat ini? Dan di manakah kuasanya sebagai pemimpin dalam menjaga urusan agama Islam? Ketahuilah, bahawa kuasa yang ada pada pemerintah adalah suatu kekuatan yang paling ampuh untuk menghalang dan menghapuskan kemungkaran daripada terus berlaku. Benarlah kata-kata Utsman bin ‘Affan, “Sesungguhnya Allah mencegah dengan kekuasaan sesuatu yang tidak boleh dicegah dengan Al-Qur’an”.  Jika pesta maksiat Miss World Malaysia 2013 itu tetap diteruskan, maka ini membuktikan bahawa Najib beserta para pimpinan negara yang ada adalah pemimpin yang tidak mengambil peduli dalam menjaga kesucian Islam, apatah lagi untuk menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sudah sampai masanya umat Islam di Malaysia membuka mata dan sedar betapa korup dan sekularnya para pemimpin mereka di negara ini.

Sumber: www.bharian.com.my