Apa yang perlu difahami di sebalik kewujudan kem latihan militan
Semasa membentangkan kertas kerja dalam “Seminar Negara Islam: Jihad vs Militan”, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan kewujudan dua kem kumpulan militan Negara Islam (IS) yang merekrut kanak-kanak di Syria khusus untuk warga Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia. Kanak-kanak seawal umur dua tahun telah dibawa ke kem-kem tersebut untuk dilatih sebagai pelapis kepada perjuangan mereka, kata beliau.
Latihan militan oleh IS bukanlah perkara yang mengejutkan kerana IS merupakan sebuah kumpulan bersenjata yang sudah pasti akan merekrut ahlinya dengan senjata. Apa yang agak mengejutkan ialah terdapat kem khusus untuk merekrut kanak-kanak dan khusus untuk warga Malaysia dan Indonesia.
Walaupun seperti tidak masuk akal yang IS merekrut kanak-kanak seawal usia 2 tahun dengan senjata, itulah maklumat yang didedahkan oleh Ayob Khan. Kita tidak boleh bayangkan bagaimana kanak-kanak yang baru pandai bertatih, belum pun pandai bercakap, belum habis menyusu dan belum mumayyiz ini boleh direkrut dengan senjata dan juga ideologi militan!!!!? Mungkin PDRM kena mendatangkan bukti yang kukuh dalam hal ini agar tidak ditertawakan.
Kita juga merasa aneh di saat kerajaan memantau dan menangkap berapa ramai penyokong IS di Malaysia dan segalanya dikatakan terkawal, rupanya ada kem latihan khusus di Syria untuk rakyat Malaysia menjalani latihan militan! Berapa ramai rakyat Malaysia yang ada di kem latihan tersebut tidak pula didedahkan.
Hizbut Tahrir menolak perjuangan bersenjata IS yang bertentangan dengan syarak, namun perlu ditegaskan bahawa antara sebab kemunculan gerakan bersenjata seperti ini ialah kerana diamnya kerajaan Malaysia dan pemerintah Muslim di seluruh dunia terhadap kekejaman Barat dan penjajahannya ke atas negara umat Islam. Kuffar Barat menjajah negara umat Islam secara langsung seperti Iraq dan Afghanistan dan menyerang negara umat Islam secara ketenteraan seperti Pakistan, Yemen dan Syria. Melalui sekutunya Yahudi, Barat membantu serangan jahat mereka ke atas tanah suci Islam, Palestin.
Semua kejahatan Barat ke atas umat Islam ini, yang langsung tidak direspons oleh pemerintah Muslim di seluruh dunia, sebaliknya sebahagian besar pemerintah Muslim ini pula mendukung Barat, inilah antara penyebab lahirnya insan-insan yang ikhlas ingin berjihad melawan kuffar Barat sehingga mereka menyertai gerakan bersenjata.
Kita juga tidak menolak kemungkinan yang ada gerakan bersenjata yang sebenarnya sejalan dengan kehendak Barat dan termasuk dalam perangkap Barat. Keberadaan mereka disokong dan didukung oleh Barat dari belakang, kerana kewujudan mereka sebenarnya memberikan justifikasi dan relevensi kepada Barat untuk terus memerangi umat Islam atas nama perang melawan keganasan.
Kita yakin sekiranya pemerintah Muslim menggerakkan tentera untuk berjihad fi sabilillah ke atas Amerika, entiti Yahudi dan lain-lain negara kuffar Barat yang sedang memerangi Islam, maka tidak akan muncul lagi kelompok bersenjata dalam tubuh umat, kerana jika ada umat Islam yang ikhlas ingin berjihad, maka mereka boleh diserapkan terus ke dalam pasukan tentera kaum Muslimin untuk melawan kuffar Barat ini.
Selagi tidak ada pemerintah Muslim yang berjihad (berperang) dengan kuffar Barat dan seterusnya memerintah dunia dengan Islam, selagi itulah kelompok bersenjata akan terus wujud, sama ada kerana mereka ingin mengambil alih peranan negara yang tidak melancarkan jihad, mahupun kerana mereka diwujudkan atau dipergunakan kewujudan mereka oleh Barat.
Sumber: utusan.com.my