Di sebalik bom Jakarta

jakarta-bomDunia sekali lagi “bergegar” susulan letupan yang berlaku di Jalan MH Thamrin, Jakarta, Indonesia pada hari Khamis 14 Januari 2016 yang mengorbankan 7 nyawa termasuklah 5 pelaku. “Gegaran” tersebut sudah pasti dirasakan dengan kuat di negara ini kerana Malaysia-Indonesia merupakan dua jiran yang sangat rapat yang apa sahaja isu besar yang berlaku di dalam salah satu negara, akan memberi kesan kepada negara yang satu lagi.

Seperti biasa, walaupun banyak kontroversi dan spekulasi timbul dari pelbagai sudut berkenaan kejadian pengeboman tersebut, apa yang pasti, isu “keganasan” sekali lagi diangkat habis-habisan oleh pemerintah, polis dan juga media seolah-olah letupan tersebut bakal meletakkan Indonesia, Malaysia dan lain-lain negara di dunia dalam kacau bilau yang maha hebat dan akan menjatuhkan kerajaan yang memerintah dalam sekelip mata. Walaupun realitinya rakyat agak tenang dengan apa yang berlaku, tetapi pemerintah, polis dan media, apatah lagi Barat, tidak mahu dan tidak suka kepada “ketenangan” ini.

Umat Islam umumnya mengetahui bahawa pembunuhan ke atas orang awam, termasuklah ke atas orang kafir sekalipun, adalah diharamkan oleh Islam. Umat Islam juga umumnya menolak tindakan keganasan tidak kiralah dilakukan oleh siapa pun atau kelompok mana pun. Atas dasar ini, kita dapati hanya segelintir sahaja daripada umat Islam, baik kerana salah faham atau kerana kejahilan mereka dalam hal hukum-hakam, bertindak melakukan tindakan keganasan yang dilarang agama ini.

Namun, tidak sedikit daripada kes-kes keganasan yang sebenarnya berpunca kerana kejahatan dan keganasan Barat ke atas umat Islam yang selama ini tidak pernah diambil apa-apa tindakan oleh pemerintah (dalam melawan Barat), malah pemerintah ternyata tetap tunduk kepada Barat, hingga menyebabkan munculnya individu mahu pun kelompok yang hilang kesabaran dan pertimbangan sehingga melakukan hal yang tidak diajar oleh Islam.

Setelah “terbunuhnya” Osama bin Laden, gerakan al-Qaeda sudah tidak lagi menjadi tumpuan Barat. Begitu juga dengan perjuangan Taliban sudah tidak lagi menjadi keutamaan Barat. Ini kerana, Barat (yang diketuai oleh Amerika) sudah menjumpai satu “sasaran” baru yang lebih bermakna dan lebih mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Jika dulu al-Qaeda dan Taliban diangkat habis-habisan oleh Barat sebagai musuh global, kini giliran ISIS untuk mengambil tempat. Apa sahaja serangan bersenjata atau pengeboman yang berlaku di mana-mana bahagian dunia, maka ISIS menjadi tudingan utama, tidak kiralah mereka mengaku atau tidak. Masyarakat dunia seolah-olah telah “diprogram” yang apabila berlaku sahaja letupan, maka ISIS mesti dipercayai sebagai dalangnya sehingga terbukti yang ISIS bukan dalang.

Kenapa Barat mengangkat ISIS habis-habisan? Selain ISIS sebagai sebuah gerakan bersenjata, ia tidak lain tidak bukan kerana imej “Negara Khilafah” yang dibawa oleh ISIS. Walaupun Khilafah yang dibawa oleh ISIS tidak sah di sisi syarak, namun bagi Barat hal ini amat penting untuk ditunjukkan kepada dunia kerana inilah peluang keemasan Barat untuk memburukkan imej Khilafah. Pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan ISIS menjadi modal besar kepada Barat dalam projeknya memburukkan Khilafah dan menakutkan masyarakat dunia dengannya.

Oleh itu, apa sahaja serangan, pembunuhan dan letupan, apatah lagi yang diakui dilakukan oleh ISIS, maka Barat dan media yang sealiran dengan mereka akan mengaitkannya dengan Khilafah. Termasuklah letupan terbaru di Jakarta yang dikatakan dilakukan dalam usaha ISIS untuk menguasai rantau Asia Tenggara bagi meluaskan Negara Khilafahnya. Hal ini setidaknya bertujuan menakutkan dan membuatkan orang ramai membenci Negara Khilafah yang pada pandangan mereka ditegakkan dengan cara keganasan dan pembunuhan. Inilah agenda Barat dan dengan adanya ISIS, hingga ke suatu tahap Barat berjaya melakukannya.

Namun, bagi umat Islam yang berfikir dan mengkaji, sesungguhnya Negara Khilafah yang sebenar bukanlah sebagaimana yang diisytihar atau dibawa oleh ISIS. Tidak pernah ada dalam nas dan juga dalam sejarah Islam di mana Negara Khilafah adalah sebuah negara yang penuh kekejaman, melakukan pengeboman dan membunuh orang awam di sana-sini. Sesungguhnya ISIS bukanlah Khilafah, malah tidak layak pun untuk dikaitkan dengan Khilafah, sebaliknya imej Khilafah telah menjadi buruk kerananya.

Bagi umat Islam yang berfikir, apakah logik untuk ISIS atau mana-mana individu atau kumpulan yang dicop Barat sebagai “pengganas” untuk menguasai Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara, dengan melakukan serangan atau pengeboman di tempat awam? Apakah ini caranya untuk menubuhkan atau menguasai sesebuah negara, yakni dengan melakukan letupan di tempat awam? Apakah dengan beberapa orang individu yang mengebom diri sendiri atau membawa bahan letupan dan meletupkannya di tempat awam, akhirnya akan menjadikan cita-cita dan usaha mereka untuk mengambil alih pemerintahan sesebuah negara akan berjaya? Cubalah fikirkan..

Justeru, umat Islam hendaklah sentiasa bijak dan waspada dalam menghadapi agenda Barat mahupun agenda golongan yang mempunyai kepentingan peribadi kerana agenda mereka sesungguhnya akan membawa keburukan kepada umat Islam. Di samping waspada, dalam masa yang sama, umat Islam tidak boleh hanya berdiam diri melihat segala yang berlaku, tetapi wajib berjuang untuk menegakkan kebenaran, menegakkan Islam dan menegakkan Khilafah di atas jalan kenabian yang dengan cara ini sahajalah, segala kerosakan, kebatilan dan kekufuran akan lenyap.

Wallahu a’lam.