Jika benar IS di sebalik serangan Paris..

photo_2015-11-27_23-53-03Berhubung serangan Paris yang penuh kontroversi, terdapat berita yang melaporkan bahawa kumpulan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Walaupun belum kedengaran pengakuan rasmi oleh IS, namun sehingga kini belum ada penafian yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata itu, sebaliknya ada beberapa pengakuan yang dilakukan oleh penyokong-penyokongnya di alam maya.

Jika benar IS melakukannya, maka wajar dibincangkan bahawa hal ini dilakukan dalam kapasitinya sebagai sebuah “negara”, walaupun hakikatnya ia bukanlah Negara Khilafah yang sebenar. Dengan kata lain, tindakannya melakukan serangan ke atas tempat awam di kota Paris ini merupakan sebahagian dari polisi/politik luar negerinya.

Dari segi hukum, baik serangan tersebut dilakukan oleh IS atau bukan, apa yang pasti ialah ia bertentangan dengan syarak. Islam melarang pembunuhan ke atas orang awam, walaupun ia seorang kafir sekalipun, kecuali terbukti yang orang awam telah melakukan kesalahan yang menghalalkan darahnya menurut syarak. Hatta dalam suasana perang sekalipun, Islam melarang membunuh orang-orang yang tidak terlibat dalam peperangan dan melarang merosakkan harta benda mahupun tumbuh-tumbuhan. Rasulullah SAW bersabda,

“Sungguh aku berwasiat kepadamu dengan sepuluh perkara: jangan sekali-kali kamu membunuh wanita, anak-anak dan orang yang sudah tua. Jangan memotong pohon yg sedang berbuah, jangan merobohkan bangunan, jangan menyembelih kambing ataupun unta kecuali hanya untuk dimakan, jangan membakar pohon kurma atau menenggelamkannya dan janganlah berlaku ghulul (curang) atau menjadi seorang yg penakut” [HR Malik].

Lebih jauh, Islam menuntut penganutnya, khususnya negara (pemerintah) untuk terlebih dahulu melakukan dua perkara sebelum menyerang mana-mana negara kafir harbi:-

Pertama: Menyeru pemerintah dan penduduk negara kafir tersebut agar masuk Islam secara sukarela dan tunduk atau bergabung dengan Negara Islam. Dengan kata lain, usaha mendakwahkan negara tersebut wajib dilakukan terlebih dahulu. Jika mereka menerimanya, maka secara automatik negara kafir tersebut menjadi sebahagian daripada Negara Islam. Penduduknya yang tidak memeluk Islam tidak akan sesekali dibunuh atau disakiti, malah mereka akan menjadi warganegara Negara Islam dan mendapat segala haknya sebagai warganegara.

Kedua: Jika langkah pertama sudah dilakukan, tetapi pemerintahnya tidak mahu masuk Islam, maka mereka wajib membayar jizyah yang menunjukkan ketundukan mereka kepada Negara Islam dan negara kafir tersebut akan menjadi sebahagian daripada Negara Islam.  Namun jika mereka masuk Islam di kemudian hari, maka mereka tidak perlu lagi membayar jizyah (kerana jizyah hanya diambil dari warganegara yang non-Muslim).

Setelah kedua-dua langkah tersebut dilakukan, namun mereka tetap tidak mahu tunduk kepada Islam, maka barulah mereka akan diperangi. Perlu difahami bahawa perang ini sebenarnya adalah untuk menghilangkan penghalang fizikal dakwah, yakni penghalang untuk masuknya Islam ke negeri tersebut. Ia bukan perang dalam rangka menjajah, menjarah atau membantai penduduknya. Sebaliknya perang yang akan menjadi pembuka jalan kepada masuknya hidayah dan rahmat Allah ke negara kafir tersebut.

Inilah polisi/politik luar negeri Negara Islam (Khilafah) secara ringkasnya, berdasarkan tuntutan syarak. Justeru, jika benar serangan tersebut didalangi oleh IS, maka ini menjadi salah satu lagi bukti bahawa IS bukanlah Negara Khilafah dalam ertikata Islam yang sebenar, malah ia telah mencalar imej Islam dengan begitu teruk sekali dengan apa yang ia lakukan. Kedudukan IS hanyalah sebagai sebuah kelompok bersenjata yang tiada bezanya dengan kelompok bersenjata yang lain dan bukannya sebuah negara, apatah lagi untuk dikatakan Negara Khilafah.

Dalam masa yang sama, kita mesti tetap berhati-hati dalam menerima sebarang berita kerana telah banyak bukti serangan-serangan bersenjata yang berlaku tidak dapat dipisahkan daripada agenda jahat kuffar Barat ke atas Islam dan umatnya.