Apabila Hamba Menghadap “Tuannya”

altNajib, Cameron mulakan era baru di Downing Street

LONDON 14 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, David Cameron di No. 10, Downing Street di sini, tanda bermulanya hubungan era baru yang lebih akrab antara kedua-dua negara yang mempunyai pertalian sejarah yang panjang.

Najib tiba di pekarangan Pejabat Luar Negara dan Komanwel dan disambut oleh Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, William Hague dan diberi penghormatan oleh perbarisan kehormatan yang lazimnya hanya diberikan kepada ketua negara. Najib yang turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Hague kemudian ke No. 10 yang bersebelahan dan disambut oleh Cameron. Kedua-dua Perdana Menteri selepas itu mengadakan perbincangan dua hala. Kerajaan pimpinan parti Buruh yang memerintah selama 13 tahun sebelum ini lebih mengutamakan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan ekonomi-ekonomi besar sahaja, sehinggalah kerajaan campuran pimpinan Cameron mengambil alih pentadbiran Mei tahun lepas mengubah dasar itu dengan melihat juga kepentingan ekonomi-ekonomi kecil. Oleh itu jambatan baru yang dibina hari ini, ekoran lawatan rasmi Najib atas jemputan Cameron sendiri, diharap melonjakkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan yang sebelum ini agak perlahan.

Kemajuan terbaru dalam hubungan dua hala dicatat di No. 10, Downing Street hari ini apabila kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan usaha membanteras jenayah rentas sempadan. Ia ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Dalam Negeri UK,Theresa May. MoU itu membolehkan kedua-dua negara memperluas kerjasama strategik memerangi aktiviti keganasan antarabangsa, pemerdagangan manusia, penyeludupan pendatang haram, penculikan, jenayah siber, pengedaran dadah dan bahan psikotripik serta pengubahan wang haram. Semalam, enam MoU di antara pihak berkepentingan Malaysia dan UK telah dimeterai. Sebelum ke Downing Street, Perdana Menteri dengan diiringi Datin Seri Rosmah Mansor menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham. Hari ini juga Najib mengambil peluang meninjau kemudahan Stesen Kereta Api Antarabangsa St. Prancas, stesen yang disambung dengan rangkaian kereta api laju bawah laut ke Perancis. – Utusan

Sumber : Utusan Online, 15/07/2011


Apabila Hamba Menghadap “Tuannya”


Meskipun Najib sedang menghadapi tekanan atas tindakannya dalam menangani perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, pada masa yang sama beliau tidak melepaskan peluang untuk mengadap “tuannya” di Britain. Dalam rangka lawatan kerjanya ini, beberapa persefahaman di antara kedua-dua negara telah dimeterai. Namun begitu, itu semua hanyalah dalam ruang lingkup perjanjian persefahaman ekonomi serta perbangunan kebendaan semata-mata, tetapi jauh daripada polisi politik luar negara Islam iaitu mengembangkan Islam melalui dakwah dan jihad.

British sejak dahulu lagi memang memusuhi Islam serta para penganutnya. Dalam Perang Salib yang pertama, British yang diketuai oleh Raja England telah memainkan peranan yang sangat penting dalam mengumpulkan kekuatan untuk memerangi Islam serta meniupkan api kebencian dalam diri penduduk Eropah terhadap umat Islam. Peranan mereka tidak berhenti di situ sahaja, malah mereka jugalah yang telah memainkan peranan yang paling utama dalam meruntuhkan Khilafah Islam melalui agennya. Selain itu, peranan mereka dalam perang di Afghanistan dan Iraq adalah merupakan lanjutan daripada kebencian mereka terhadap Islam sehingga ke hari ini.

Dalam keghairahan para pemimpin umat Islam dalam menuruti jejak langkah kemajuan kebendaan yang telah dicapai oleh dunia Barat, mereka telah lupa bahawa satu ketika dahulu semasa kehidupan Islam diterapkan oleh negara, umat Islam jauh meninggalkan bangsa Eropah dari segala aspek kehidupan. Pada waktu itu, kemajuan politik, sosial, ekonomi, sains serta teknologi dipelopori dan didahului oleh umat Islam, sedangkan pada masa yang sama Eropah masih berada di ambang kegelapan. Inilah kesannya apabila Islam diambil sepenuhnya dari aspek penerapan politik dalam menguruskan negara, dan bukan hanya aspek ibadah serta akhlak semata-mata sepertimana yang dilakukan pada hari ini.

Islam juga telah mengharamkan kita untuk menjadikan kaum kuffar yang memusuhi Islam sebagai sahabat. Segala hubungan yang dijalin dengan kafir harbi fi’lan adalah merupakan suatu keharaman yang telah jelas dinyatakan secara qat’ie oleh dalil-dalil syarak. Apatah lagi untuk merasa bangga serta mendabik dada sekiranya dapat berbaik-baik dengan musuh Allah dan musuh Rasul ini. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman setia...” [TMQ al-Mumtahanah (60) : 1]

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin umat Islam sekarang ialah dengan mengukuhkan hubungan antara negeri-negeri umat Islam dalam segala aspek terutamanya politik, serta menyelesaikan segala masalah yang dilanda oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia ini melalui penerapan syariah secara kaffah tanpa meminta sebarang campurtangan daripada kaum kuffar. Semoga pengukuhan hubungan antara negeri-negeri umat Islam ini akan menjadi sebahagian daripada benih-benih penyatuan sebenar umat Islam di bawah panji keKhilafahan. Wallahu a’lam.