Kenapa marah apabila Najib tunaikan hak demokratiknya?

Gambar UL290715 4Kemarahan rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak terus memuncak apabila Perdana Menteri Malaysia itu mengumumkan rombakan kabinet dengan memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut dipecat ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Datuk Seri G. Palanivel, Datuk Seri Hasan Malek, Datuk Dr. Ewon Ebin dan peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Secara logiknya, memang tidak masuk akal untuk Najib memecat Muhyiddin dan Shafie yang merupakan orang nombor dua dan nombor tiga bukan sahaja dalam UMNO, tetapi dalam negara. Jasa, sokongan, pengaruh dan kekuatan mereka kepada UMNO dan negara seolah-olah dipandang ringan oleh Najib sehingga sanggup memecat mereka. Berbeza jika kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO dan Malaysia itu mempamerkan prestasi yang buruk sepanjang perkhidmatan mereka. Apatah lagi Shafie yang juga ahli parlimen Semporna memiliki pengaruh dan sokongan yang cukup besar bukan sahaja di kawasannya, malah di seluruh Sabah.

Hakikatnya, semua orang yakin dan percaya bahawa pemecatan ini terkait rapat dengan pendirian dan kenyataan kedua-dua pemimpin itu terhadap isu 1MDB yang memalitkan Najib dengan pelbagai skandal yang sedang dalam proses siasatan sekarang ini.

Walaupun kedua-dua “bekas” pemimpin utama itu dilihat cuba bertenang, namun semua orang dapat merasakan gejolak dalam hati mereka. Kenyataan dan tindakan mereka dilihat seperti cuba menenangkan keadaan sahaja, tidak lebih dari itu. Namun sejauh mana mereka boleh terus berada dalam “ketenangan” sudah pasti akan menjadi perhatian media dan rakyat.

Dalam kenyataan mereka, Muhyiddin dan Shafie dengan jelas akur dengan pemecatan tersebut dan menyatakan bahawa itu adalah hak prerogatif Perdana Menteri untuk berbuat demikian, satu kenyataan yang dilihat matang dan berjaya menenangkan penyokong mereka untuk seketika.

Namun, tidak sampai 24 jam pemecatan itu berlaku, sudah kecoh di media sosial dan aplikasi telefon pintar yang mengajak orang ramai melakukan protes besar-besaran terhadap tindakan Najib yang dilihat melampau ini. Bukan sekadar rakyat, malahan beberapa pemimpin pembangkang pun sudah menunjukkan simpati dan sokongan kepada Muhyiddin, walhal sebelum ini Muhyiddin sebagai pimpinan UMNO, tidak pernah lepas dari menjadi bahan kritikan pembangkang.

Inilah realiti politik demokrasi, tidak ada musuh abadi dan tidak ada kawan abadi, yang ada hanyalah kepentingan abadi. Di mana ada kepentingan, di situ adanya tindakan, walaupun bercanggah dengan tindakan sebelum-sebelumnya.

Kepada para pencinta dan pejuang demokrasi, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, seharusnya mereka tidak marah dan tidak emosional apabila Najib memecat Muhyiddin, Shafie, Gani Patail dan lain-lain. Ini kerana, jika mereka perhalusi prinsip, undang-undang dan peraturan demokrasi yang mereka agung-agungkan itu, tidak ada satu pun tindakan Najib dalam hal memecat dan melantik anggota kabinet ini yang bertentangan dengan demokrasi. Malah Najib telah melakukannya dengan saluran demokrasi sepenuhnya.

Kuasa untuk melantik dan memecat ahli kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agung, sebagaimana diperuntukkan oleh Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dan ternyata Najib telah melakukan hal ini. Perkara 43 tidak memperuntukkan alasan atas tindakan Perdana Menteri ini. Dengan kata lain, Perdana Menteri berkuasa memecat dan melantik siapa sahaja yang disukainya sebagai anggota kabinet tanpa apa-apa sebab sekalipun.

Jadi, di bawah demokrasi, langsung tidak menjadi kesalahan bagi Najib untuk memecat Muhyiddin, Shafie dan siapa sahaja yang tidak disukainya dan atas sebab apa sekalipun. Para pejuang dan pencinta demokrasi tidak seharusnya protes, marah dan beremosi dengan keputusan ini dan sepatutnya menerima dengan penuh redha dan hormat, sebagaimana pendirian Muhyiddin dan juga Shafie.

Namun hakikatnya ternyata tidak demikian. Inilah sebenarnya kecelaruan yang terdapat dalam diri umat Islam yang mengambil demokrasi. Satu masa mereka menyokong dan kononnya berpegang teguh dengan demokrasi, dalam masa yang lain mereka tidak menyokong keputusan yang penuh demokratik yang dibuat oleh pemimpin demokrasi.

Kerana itulah, demokrasi ini mesti dibuang jauh-jauh dari benak dan fikiran umat Islam. Kerana jika diukur dengan demokrasi, sesungguhnya Najib tidak bersalah dalam memecat timbalannya dan menteri mana sekalipun. Malah Najib juga tidak bersalah dalam menerapkan hukum kufur kerana ia dibenarkan oleh demokrasi!!!

Kerana itulah, akal dan emosi kita wajib dipandu oleh Islam, bukannya demokrasi. Betul atau salah, benar atau batil sesuatu tindakan pemimpin itu hendaklah diukur dengan Islam dan Islam semata-mata, bukannya dengan demokrasi. Hanya dengan Islam barulah kita dapat mengukur tindakan Najib benar atau salah, berdosa atau mendapat pahala, mendapat ganjaran atau azab.

Wallahu a’lam.