Siapa dan kenapa nak bunuh KPN?

Gambar UL 020315 2

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam reaksinya terhadap klip video ugutan bunuh ke atas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar, menegaskan bahawa kerajaan memandang serius akan ugutan ini yang disifatkannya sebagai ekstremis.

Selain memberikan pelbagai komen, orang yang prihatin tentunya tertanya-tanya siapakah tiga orang bertopeng yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) dalam klip video yang berdurasi lebih kurang seminit setengah itu? Apakah motif mereka dan bagaimana mereka begitu berani membuat ugutan secara terbuka seperti itu?

Dalam klip video tersebut, kumpulan bertopeng tersebut melahirkan amarahnya kepada demokrasi dan mengugut untuk membunuh KPN sebagai memberikan peringatan dan ketakutan kepada pemimpin agensi kerajaan yang lain.

Kalau ingin dianalisis, kita boleh membuat pelbagai kesimpulan siapakah AMAD dan apa motif mereka. Mereka mungkin terdiri daripada segolongan anak muda anarkis yang sudah tidak tahan dengan kekorupan sistem demokrasi dan para pemimpin dan cuba bangkit dengan jalan kekerasan bagi mengubah keadaan. Mereka mungkin juga sekumpulan anak muda yang mempunyai masalah mental lalu bertindak dengan cara yang tidak rasional. Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa kumpulan bertopeng itu terdiri daripada “penyamar-penyamar” yang pakar melakukan provokasi untuk mencapai target tertentu. Apa pun, hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu kebenarannya.

Apa yang penting untuk dilihat ialah natijah dari apa yang berlaku. Dalam pada kerajaan hari ini cuba menerapkan dengan sungguh-sungguh konsep moderat (wasatiyah) yang nampaknya tidak berapa mendapat sambutan, maka kemunculan klip video (atau kelompok) tersebut telah memberi justifikasi yang baik kepada kerajaan bahawa ancaman ekstremisme benar-benar wujud dan tidak boleh dipandang ringan.

Ugutan bunuh bukanlah perkara kecil, apatah lagi orang yang diugut ialah KPN sendiri yang bukan calang-calang orang. Persoalannya kenapa KPN yang menjadi sasaran, bukan Perdana Menteri atau menteri-menteri yang merupakan penentu kepada sistem demokrasi? Dengan kata lain, merekalah yang menyebabkan sistem demokrasi diamalkan di Malaysia sedangkan KPN mungkin sahaja bersetuju dengan sistem demokrasi, tetapi beliau hanyalah pelaksana. Malah, pembangkang dan parti Islam yang ada di Malaysia hari ini juga bersetuju dengan demokrasi dan bermati-matian mempertahankan sistem demokrasi, kenapa mereka tidak menjadi sasaran?

Jadi, menjadikan KPN sebagai “pilihan” sasaran bukanlah suatu yang dibuat secara tangkap muat. Malah, cubaan untuk “meletupkan” kereta KPN juga bukan merupakan perkara main-main kerana ini melibatkan isu “bom” yang memunculkan isu lain seperti dari mana datangnya bahan-bahan untuk membuat bom, siapakah yang pakar untuk membuatnya dan berkebolehan untuk meletupkan bom tersebut dari jarak jauh?

Siapa pun mereka dan apa motif mereka, hal ini telah memberikan justifikasi kepada kerajaan untuk memerangi kumpulan ekstremis sebagaimana yang dimahukan oleh Amerika dan kuasa kuffar yang lain. Apa yang jelas sejak dulu ialah, ekstremis yang mereka maksudkan tidak lain kecuali kumpulan Islam yang menolak demokrasi. Walaupun sesebuah kumpulan Islam itu ternyata tidak pernah melakukan kekerasan atau terlibat dengan tindakan ekstremisme, namun istilah “ant-demokrasi” yang terdapat dalam video itu telah memberi ruang yang baru kepada kerajaan untuk melebarkan definisi golongan yang dicop sebagai ekstremis.

Wallahu a’lam.