Bunuh KPN cara salah untuk selesai masalah

Gambar UL 020315 1Mungkin ini kali pertama dalam sejarah negara di mana Ketua Polis Negara (KPN) diugut untuk dibunuh secara terbuka. Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) mengugut untuk membunuh KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan meletupkan keretanya, melalui rakaman video yang disiarkan di youtube.

Demokrasi sememangnya sistem kufur yang berasal dari Barat dan haram untuk umat Islam mengambilnya, menerapkannya dan menyebarluaskannya. Sistem ini wajib dihapuskan seluruhnya dan digantikan dengan sistem Islam. Cumanya, untuk menghapuskan sistem ini, bukanlah dengan cara membunuh pemimpin, menteri-menteri, hakim-hakim atau polis-polis yang terlibat di dalamnya, apatah lagi jika mereka adalah Muslim. Ini bukan cara yang syarie, malah haram dan berdosa jika dilakukan.

Setiap Muslim perlu jelas bahawa apa yang wajib kita hapuskan ialah “sistem” (demokrasi) kerana ia bertentangan dengan Islam, bukannya menghapuskan “orang” yang mengamalkan sistem kufur tersebut. Orang tersebut (pengamal demokrasi) perlu dibetulkan, perlu dimuhasabah dan perlu diingatkan tentang dosa dan azab yang menantinya di akhirat kerana melakukan keharaman, tetapi bukan dengan membunuhnya. Firman Allah SWT,

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِناً مُّتَعَمِّداً فَجَزَآؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِداً فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَاباً عَظِيماً

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” [TMQ an-Nisa’ (4):93].

Muslim yang halal darahnya untuk dibunuh hanya terdiri daripada tiga golongan,

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّى رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِ وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

“Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahwa tiada tuhan selain Allah dan bahawa aku adalah Rasulullah, kecuali kerana salah satu dari tiga perkara: orang yang sudah menikah berzina, jiwa dengan jiwa dan orang yang meninggalkan agamanya memecah belah jamaah” [HR al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasai dan Ibn Majah].

Selain dosa besar, membunuh orang juga tidak akan menyelesaikan masalah yang dibawa oleh sistem demokrasi. Masalah hanya akan selesai jika penyelesaian daripada Islam dilaksanakan.

Tatkala Rasulullah SAW di utus di Mekah, sistem yang diamalkan pada waktu itu juga adalah sistem jahiliyah yang kufur yang penuh dengan kerosakan dan tidak ada bezanya dengan sistem demokrasi hari ini. Malah Mekah pada waktu itu dipimpin oleh para pemimpin Quraisy yang semuanya kafir dan banyak melakukan kejahatan. Namun ternyata Rasulullah SAW tidak membunuh seorang pun dari kalangan mereka. Apa yang diubah oleh Rasulullah adalah “pemikiran” pemimpin dan masyarakat yang ada, dari pemikiran kufur kepada pemikiran Islam berdasarkan wahyu.

Rasulullah menyeru kepada pemimpin dan masyarakat agar memeluk Islam dan meninggalkan sistem jahiliyah yang kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam yang datang dari Allah SWT. Rasulullah “menghentam” segala kebatilan dalam sistem tersebut seperti menipu timbangan, riba, perzinaan yang berleluasa, minum arak, membunuh anak perempuan dan banyak lagi. Dalam masa yang sama Rasulullah SAW menjelaskan tentang hukum-hukum Islam yang telah diturunkan oleh Alah SWT. Rasulullah SAW juga berusaha menegakkan sebuah negara bagi menerapkan sistem yang diturunkan oleh Allah SWT. Tetapi dalam usaha dakwah baginda, Rasulullah SAW tidak membunuh seorang pun yang ada di Mekah ketika itu, walaupun hakikatnya ada sahabat yang dibunuh oleh pemimpin Quraisy dan ramai yang diseksa.

Inilah thariqah (jalan) yang wajib kita ikuti yakni sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kita wajib mengubah sistem kufur yang ada sekarang dan dalam masa yang sama wajib mengikuti jalan yang benar (yang ditunjukkan oleh Rasulullah), bukannya mengikut hawa dan emosi.