Penstrukturan semula kabinet: Apa beza demokrasi dengan diktator?

Gambar UL290715Seluruh rakyat dikejutkan dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menstrukturkan semula kabinet secara tidak disangka. Walaupun penstrukturan semula kabinet bukanlah suatu yang baru dan luar biasa, namun apabila orang nombor dua negara yang merupakan timbalan kepada Perdana Menteri sendiri disingkirkan dari jawatan, ia memang suatu yang mengejutkan. Ditambah lagi dengan penyingkiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga merupakan orang kuat Sabah.

Turut mengejutkan ialah penggantian Peguam Negara di mana Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab kesihatan.

Semua orang masih ingat pemecatan Anwar Ibrahim yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada tahun 1998. Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri telah dipecat serta-merta atas alasan salah laku, yang akhirnya berkesudahan dengan dilemparkan ke penjara. Peristiwa pemecatan Anwar memang menggemparkan negara dan dunia dan meletakkan Mahathir di hujung tanduk ketika itu, di samping menggugat kestabilan politik negara dalam jangka masa yang cukup lama.

Kini, Najib dilihat menggunakan taktik yang sama ke atas timbalannya, walaupun zahir alasannya berbeza. Namun, semua orang tahu bahawa pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin berlaku tidak lama setelah beliau “menegur” Najib dalam isu 1MDB yang masih lagi dalam siasatan sekarang ini.

Dalam kenyataan mereka, Muhyiddin dan Shafie akur dengan keputusan Najib memecat mereka kerana ia adalah prerogative right (hak mutlak) Perdana Menteri untuk melakukannya. Dalam keakuran ini, rakyat sedang ternanti-nanti apakah tindakan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO ini selepas ini. Apakah mereka akan bangkit melawan secara terang-terangan seperti Anwar Ibrahim dahulu atau mereka akan melawan secara senyap atau mereka terus berdiam diri dan menguburkan hayat politik mereka begitu sahaja.

Ramai yang tidak sedar, khususnya para pencinta demokrasi, bahawa hak mutlak Perdana Menteri untuk melantik dan memecat kesemua menteri kabinet dan lain-lain jawatan utama dalam kerajaan, yang diberikan di bawah sistem demokrasi, sesungguhnya tidak ada bezanya dengan sistem totalitarian atau dictatorship!!!

Pencinta demokrasi selalunya berbangga dengan “hukum majoriti” yang kononnya terkandung dalam idea demokrasi. Memang benar dari satu sudut bahawa hukum majoriti ini digunapakai seperti dalam pembuatan undang-undang di Parlimen. Namun, hakikatnya, keputusan kerajaan dalam demokrasi adalah “keputusan” Perdana Menteri seorang sahaja. Apa yang Perdana Menteri mahu atau tidak mahu, semuanya jadi, tidak kiralah sama ada menteri kabinet, apatah lagi rakyat bersetuju atau tidak.

Contoh yang mudah, lihat sahaja kepada ISA. Apabila PM mahukan ISA, maka ISA kekal di situ, apabila PM sudah tidak mahukan ISA, maka tiada lagi ISA. Apa yang menteri kabinet dan ahli parlimen UMNO berani cakap? Semuanya akur kerana itu adalah kehendak ketua mereka. Siapa yang tidak akur, maka nasibnya akan berakhir seperti Muhyiddin dan Shafie.

Jika PM mahukan Akta Hasutan, maka kekallah Akta Hasutan dan begitulah sebaliknya. Jika PM mahukan GST, maka akan ada GST dan begitulah sebaliknya. Jika PM mahukan minyak naik, tol naik, harga kangkong tak naik, maka semuanya jadi. Pendek kata, semuanya di tangan PM dan menteri kabinet atau ahli Parlimen UMNO tidak lebih dari menjadi pak turut sahaja!

Justeru, kuasa yang luas dan tidak terbatas yang ada pada PM dalam sistem demokrasi, sesungguhnya tidak ubah sedikit pun dengan sistem diktator yang dibenci oleh para pencinta demokrasi. PM boleh melakukan semahunya, termasuklah segala perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan hanya akan di-iya-kan sahaja oleh menteri kabinet dan pemimpin UMNO lainnya. Inilah realitinya dengan sistem demokrasi. Kuasa mutlak yang ada pada pemimpin tertinggi dalam sistem demokrasi adalah dua kali lima dengan kuasa mutlak yang ada pada seorang diktator yang boleh memutuskan sesuatu semahu mereka. Cuma bezanya ialah, dalam demokrasi, rakyat diberi kuasa untuk memilih diktator mereka!!!