Kabinet Berimbang Atau Kabinet Yang Perlu Ditumbangkan?

Pengumuman Najib mengenai barisan kabinetnya yang baru telah melenyapkan segala teka-teki dan ramalan berkaitan siapakah yang bakal bersama-samanya dalam mengemudi bahtera sebuah negara bangsa Malaysia. Kabinet baru yang dikatakan sebagai “kabinet berimbang” ini membariskan muka-muka lama di samping  muka-muka baru. Malah, ahli golongan pelampau seperti Hindraf juga turut dibariskan ke dalam barisan kabinet yang baru ini sesuai dengan peranan yang telah mereka tunjukkan semasa kempen pada hari pengundian yang lalu. Bagi Pakatan Rakyat yang masih bersedih dengan kekalahan dalam membentuk kerajaan Pusat pada PRU ke-13 kali ini, pengumumam Najib ini pastinya bakal dipergunakan untuk mengekalkan momentum yang ada supaya rakyat berpihak kepada mereka. Inilah natijah sistem demokrasi-kapitalis kepartian yang memberikan peluang kepada sesiapa yang memenangi pilihanraya  untuk membentuk kerajaan dan dalam masa yang sama masih menerajui parti yang mereka wakili semasa pilihanraya.

Wajah-wajah ahli kabinet berimbang Najib ini sebenarnya tiada beza dengan ahli-ahli kabinet yang lepas, tidak kira semasa pemerintahan Najib mahupun Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lain sebelum ini. Ini adalah kerana meskipun wajah-wajah mereka silih bertukar ganti, namun sistem buruk yang sama masih dikekalkan sehingga ke hari ini. Sistem demokrasi yang diguna pakai selama ini bukan sahaja telah banyak membawa kerosakan di muka bumi ini, malah ia turut memberi peluang kepada para pemimpin yang khianat dan tidak amanah untuk terus berkuasa. Pemimpin yang sepatutnya menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menerapkan segala peraturan yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah sebaliknya kekal menjunjung tinggi dan bersumpah saksi untuk terus menjaga dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tinggalan penjajah yang tidak Islami itu. Janji ikrar yang sama turut dilaungkan oleh Pakatan Rakyat sekiranya mereka menang membentuk kerajaan dalam negara.

Sedarlah wahai kaum Muslimin, sedarlah wahai seluruh umat manusia bahawa tiada apa yang boleh diharapkan dengan barisan kabinet yang baru ini. Malah, muka-muka inilah yang bakal menconteng arang serta menulis lembaran-lembaran hina dalam diari kehidupan kalian. Janganlah sekali-kali percaya terhadap janji kosong trasformasi mereka selagimana mereka tidak bersumpah untuk menerapkan sistem yang telah diturunkan oleh Allah dan RasulNya. Mereka  bukan sahaja bakal mengecewakan kalian, tetapi sudah sedari awal lagi telah mengkhianati kalian dengan terus menerus menerapkan sistem yang kufur ini ke atas kita semua. Oleh itu, tiada maknanya barisan kabinet yang baru ini bagi kita kerana merekalah merupakan orang-orang yang terkehadapan dalam menerapkan sistem yang bukan datangnya daripada Allah. Justeru, kabinet baru ini sebenarnya bukanlah kabinet berimbang, tetapi ia adalah kabinet yang perlu ditumbangkan dan digantikan dengan barisan pemimpin yang ikhlas untuk menerapkan segala hukum-hakam Islam secara kaffah. Wallahu a’lam.

Sumber : Utusan Online, 15/05/2013