Kabinet Baru Angkat Sumpah Untuk Mendaulatkan Peradaban Penjajah

Kabinet baru kerajaan sekular Malaysia pimpinan Najib telah mengangkat sumpah bagi meneruskan dan menjalankan peradaban penjajah iaitu sistem demokrasi yang telah diwariskan oleh penjajah kepada dunia umat Islam, termasuklah Malaysia. Para Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik dilihat bergembira dengan perlantikan masing-masing. Tidakkah mereka semua terfikir bahawa jawatan-jawatan itu adalah suatu amanah yang akan menyebabkan mereka semua diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT kelak. Daripada Ibnu ‘Umar ra, sabda Nabi saw: 
“Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinanmu. Seorang ‘Amir (penguasa atau pemerintah) yang berkuasa terhadap rakyatnya, dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya, dia akan ditanya tentang kepemimpinannya.  Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah tangga suami dan anak-anaknya, dia akan ditanya tentang kepemimpinannya.  Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta kekayaan majikannya yang diberi kepercayaan kepadanya, dia juga akan ditanya tentang kepemimpinannya. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya.” [HR Muslim].

Dalam Islam, amanah kepemimpinan itu adalah bertujuan semata-mata untuk menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, dan tidak ada yang selain daripada tujuan itu. Sebaliknya, berdasarkan sumpah yang dilafazkan oleh barisan kabinet Najib yang baru ini, sepertimana barisan kabinet-kabinet sebelum ini, mereka semua telah berjanji dan berikrar untuk terus melaksanakan dan mempertahankan Perlembagaan penjajah yang ada di samping meneruskan sistem kufur demokrasi iaitu sebuah sistem yang memberikan hak sepenuhnya kepada manusia melalui ahli parlimen yang dipilih dalam PRU untuk menggubal, meminda dan menghapuskan undang-undang. Perlu diketahui bahawa Parlimen adalah institusi legislatif yang tertinggi dalam sebuah negara di mana kuasanya mengatasi kuasa Allah SWT dalam membuat hukum. Inilah ‘berhala dan tempat kemungkaran’ utama yang maha besar mengatasi berhala-berhala lain yang ada di Malaysia pada saat ini di mana demokrasi telah menyebabkan manusia merompak hak Allah SWT sebagai pembuat undang-undang (musyari’). Benarlah firman Allah SWT: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai Tuhan-tuhan selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan”. [TMQ At- Taubah (9): 31]. Bukankah ini sesuatu yang bertentangan dengan akidah sebagai seorang Muslim?. Dalam demokrasi, akal dan hawa nafsu manusia adalah kuasa tertinggi sebagai rujukan dalam membuat penilaian bagi semua perkara, manakala suara majoriti manusia pula adalah merupakan kayu ukur utama bagi menentukan halal haram serta meluluskan undang-undang.

“Dan hendaklah kamu berhukum di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki untuk menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik”
[TMQ Al-Maaidah (5): 49]

Perkara ini sangat bercanggah dengan Islam kerana dalam Islam, kedaulatan itu terletak sepenuhnya pada hukum syarak (kuasa tertinggi adalah Allah SWT) dan bukannya pada manusia. Ia adalah tunggal milik Allah dan tidak boleh disekutukan atau dikongsi kuasa dengan manusia. Firman Allah SWT:

“Yang menetapkan hukum itu hanyalah milik Allah” [TMQ al-An’am (6) :57 dan TMQ Yusuf (12) : 40].

Dengan kekalnya sistem demokrasi sebagai sistem pemerintahan di Malaysia selepas berakhirnya PRU-13, maka kita akan pasti melihat peradaban penjajah ini akan terus menerus membawa kerosakan dan kemudaratan kepada umat Islam di Malaysia secara khususnya dan umat manusia secara amnya, sebagaimana yang telah kita saksikan sebelum-sebelum ini. Apakah umat Islam masih belum sedar akan bahaya dan rosaknya  sistem serta peradaban sampah tinggalan penjajah ini? Sampai bilakah hadharah kufur ini ingin terus dikekalkan dalam dunia umat Islam? Ia hanya akan pasti sirna apabila datangnya kebenaran Islam. Firman Allah SWT:

“Dan katakanlah, ‘Telah datang kebenaran (Islam), dan yang batil itu telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu  yang pasti lenyap’”. [TMQ al-Israa (17):81].

Sumber: http://mstar.com.my