Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan Exco Perak Batal

KUALA KANGSAR, 13 Mac (Hrkh) – Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru terpaksa batal lagi hari ini apabila anggota Dewan Undangan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pula tidak berpuashati hasil dari salah faham.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dalam satu laporan akhbar online mengesahkan perkara ini dan majlis yang sepatutnya berlangsung jam 4 petang ini (13 Mac) terpaksa ditangguhkan.

KeADILan salah faham apabila menyangka mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam kerajaan Perak, padahal persetujuan yang dicapai adalah DAP akan mendapat 6 kerusi, KeADILan 3 dan PAS satu di samping MB.

Taburan ini adalah berdasarkan bilangan Adun masing-masing dalam kerajaan bersama itu iaitu DAP mempunyai 18 anggota, KeADILan 7 dan PAS 6.

“Persetujuan ini dicapai semalam antara DAP dan PAS selepas mereka dipanggil oleh Raja Muda Perak, namun tidak dipanggil KeADILan kerana ketika itu KeADILan tidak terlibat membantah,” kata Ahmad Awang.

Hari ini, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak itu.

Pagi tadi, rombongan tujuh Adun KeADILan di Perak menemui Penasihat Undang-undang dan seterusnya mengadap Raja Muda Perak menyatakan bantahan mereka.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua memaklumkan bantahan itu dibuat kerana KeADILan seolah-olah tidak ada sebarang kerusi dalam kerajaan Perak yang baru itu.

Namun beliau mengaku taburan 6:3:1 dalam Exco yang baru beliau ketahui itu adalah taburan yang sangat sesuai dan boleh diterima./wann

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13258&Itemid=28

Ulasan:

Sesungguhnya hak dan batil tidak akan dapat bersatu. Begitulah Islam dan sekular. Sekular adalah musuh Islam dan Islam adalah musuh sekular. Islam sering kali digadaikan apabila ‘maslahat’ dijadikan pengikat hubungan antara Islam dan kufur. Nilai-nilai suci perjuangan sanggup diketepikan apabila ‘manfaat’ jangka pendek cuba diraih.

Jika sebelum ini, ‘matlamat dan manfaat bersama’ yang cuba diraih adalah untuk menumbangkan lawan, jadi mereka dilihat bersatu ke arah itu. Namun sekarang ‘kuasa’ sudah berada di depan mata. Siapa sanggup berkompromi? Masing-masing boleh berlakon seolah-olah ‘kesepakatan’ sentiasa wujud, tetapi sampai bila mereka sanggup bersandiwara? ‘Kuasa’ bukanlah satu perkara yang boleh dimain-mainkan atau boleh ditukar ganti, ini soal perjuangan, ini soal ‘survivor’. Maka, membujur lalu melintang patah, manfaat peribadi mesti dikedepankan.

Semoga Allah memberi kesedaran kepada mereka yang masih ada keikhlasan di dalam hatinya untuk melihat dan menilai semula perkara ini. Sesungguhnya syaithan itu akan sentiasa berusaha membengkokkan pejuang Islam dari jalan yang lurus. Hanya mereka yang ikhlas sahaja yang akan tetap teguh berada di jalan Allah, yang tidak mencari selain keredaan Allah dan syurgaNya. Hanya golongan inilah yang akan meraih sebenar-benar kemenangan, di dunia dan akhirat.