SN058 – ROMBAKAN KABINET : SINAR BARU UNTUK MASYARAKAT MALAYSIA?

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN


[SN058] Senarai anggota kabinet baru yang berkuat kuasa serta merta, telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sebuah sidang akhbar khas yang disiarkan secara langsung oleh TV3. Dalam rombakan Kabinet tersebut, dua timbalan menteri dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh, dua bekas menteri dilantik semula, manakala dua lagi menteri berundur. Status semua menteri kanan termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, dikekalkan [Berita Harian, Khamis 16/02/06]

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas melancarkan duit syiling peringatan ‘Songket – Seni Warisan Agung’ di Sri Pentas, Bandar Utama, Abdullah berkata, beliau tidak menggunakan formula berkaitan pemilihan parti sebagai asas pemilihan anggota kabinet. “Inilah yang terbaik yang yang dapat saya lakukan dan memang saya menekankan faktor pengalaman sebagai faktor penting kerana nanti semua ahli Kabinet perlu bergerak terutama apabila RMK9 diluluskan Parlimen. Maka dengan itu mereka kena bergerak pantas dan tidak ada masa baru nak belajar”, katanya.

Beberapa tokoh pemimpin juga tidak ketinggalan memberikan komen masing-masing:

“Perdana Menteri memberitahu beliau memilih kami (barisan baru Kabinet) bagi membantunya memastikan RMK9 dijayakan sepenuhnya. RMK9 amat penting kepada beliau kerana ia adalah yang pertama baginya”- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

“Pada masa yang sama, kita yakin rombakan ini memberi peluang kepada pemimpin baru dan lama mendapat pengalaman sekali gus berkongsi pengetahuan memajukan negara ini”- Ketua Wanita BN Negeri Sabah, Datuk Armani Mahiruddin

“Semua menteri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus memberi keyakinan kepada kami (menteri) untuk memegang jawatan masing-masing”- Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn

Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi memantau prestasi setiap anggota Kabinet bagi memastikan menteri menjalankan tugas yang diamanahkan. Jawatankuasa itu akan menyediakan laporan berhubung prestasi setiap menteri yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk penilaian.

Secara umumnya rombakan kabinet yang diumumkan masih didominasi oleh muka-muka lama dengan bermacam track recordnya. Malah sistemnya juga tidak berubah dengan demokrasi-sekular masih tetap menjadi tunjang pemerintahan. Seakan menjadi kebiasaan dalam setiap rombakan kabinet, Perdana Menteri akan mengekal atau menaikkan pangkat mana-mana individu atau kroni yang disukai manakala yang kurang disukai, akan digugurkan. Sautun Nahdhah kali ini tidak ingin mengupas secara lanjut kedudukan menteri-menteri tertentu dalam rombakan tersebut tetapi ingin mengajukan persoalan: adakah Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang sejahtera dalam erti kata sebenar jika sistem dan gaya kepimpinannya tetap sama seperti sebelumnya?

Kekeliruan Kepimpinan Demokrasi Kapitalisme

Setiap kali rombakan kabinet dilakukan, ia seolah-olah menjanjikan sinar baru yang bakal menyinari kesuraman yang sekian lama melanda rakyat. Rata-rata rakyat begitu mengharapkan adanya perubahan signifikan dari barisan kepimpinan yang baru. Namun begitu, acapkali harapan rakyat berkecai setiap kali ia tumbuh dengan penggantian pemimpin baru. Harapan rakyat akan terus berkecai selama mana sistem pemerintahan yang wujud hari ini masih kekal. Dua aspek, sekurang-kurangnya boleh diperhatikan dari penerapan sistem sedia ada, meskipun puluhan pemimpin bertukar ganti menerapkannya..

Pertama, jika ditelusuri sejak sekian lama, apa yang dapat kita perhatikan adalah, rombakan kepimpinan hanyalah sekadar diorientasikan untuk menggantikan figur atau individu pemimpin, bukannya perubahan sistem pemerintahan dan model kepimpinan itu sendiri. Tidak dapat dinafikan, kadangkala figur pemimpin ini memainkan peranan. Namun begitu, dalam memastikan pemerintahan yang benar-benar efektif, figur haruslah menyatu dengan sistem yang diterapkan. Jika yang dipentingkan hanyalah persoalan pemimpin mana yang dinaikkan pangkat; dilantik semula; digugurkan atau dikekalkan, tanpa penekanan ke atas perubahan sistem pemerintahan, maka akan kekallah status quo politik negara. Pergantian figur pemimpin terlaksana, namun perubahan sistem dan perubahan ke arah kesejahteraan rakyat secara hakiki tetap kekal sebagai objektif yang tidak kesampaian. Maka tidak hairanlah jika kita menyaksikan selama lebih dua dekad mantan PM yang digelar Bapa Pembangunan beserta barisan kabinetnya memerintah, hinggalah ke saat ini kesejahteraan rakyat yang hakiki masih belum tercapai – rasuah tetap hidup subur, kemiskinan masih berleluasa, pengangguran kian bertambah, situasi gejala sosial sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan, jenayah menjadi-jadi dan kerenah birokrasi masih di takuk lama. Yang pasti, barisan kepimpinan mungkin kerap bertukar namun rakyatlah yang mewarisi corak penderitaan yang diwarnai pemimpin. Kita hari ini ibarat menumpang kapal tua yang rosak dan uzur yang seringkali terumbang ambing dipukul ombak. Jika kita hanya sibuk menukar ganti nakhodanya, tanpa keinginan untuk membaiki atau bahkan menggantikan kapalnya, maka pasti, pada suatu hari nanti, kapal akan tenggelam akibat kejahilan nakhoda dan penumpangnya. Tanpa kita sedari setiap lima tahun sekali kita sibuk memilih para pemimpin baru namun tidak pula pernah kita terfikir untuk menggantikan sistem pemerintahan dan model kepimpinan sekular yang nyata-nyata menyengsarakan rakyat ini.

Kedua, keberadaan sistem sekular yang diterapkan. Sistem yang memisahkan agama dari urusan pemerintahan sesungguhnya menyumbang kepada kegagalan sebuah kepemimpinan. Mana tidaknya, jika barisan kabinet yang dilantik itu terdiri dari orang yang soleh dan baik sekalipun, namun jika ia menjalankan sistem yang rosak, tentu hasilnya pun akan rosak juga. Ibarat seorang kontraktor yang mahir membina bangunan, namun jika bahan-bahan yang digunakan sudah rosak atau tidak sesuai maka bangunan yang dibina tidak tahan lama malah mungkin akan runtuh akhirnya. Kerana itu, orang yang berkelayakan dan bersih tetapi menjalankan sistem sekular yang rosak adalah ibarat seorang yang baik berada di tempat yang salah. Realiti menunjukkan bahawa penerapan sistem sekular memberi ruang seluas-luasnya kepada manusia untuk membuat hukum bermodalkan suara majoriti. Sistem demokrasi sekular menjadikan manusia serigala bagi manusia yang lainnya – homo homini lupus – siapa yang kuat dia yang lebih berkuasa. Atas nama kebebasan segala-galanya dihalalkan; penghinaan terhadap Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, penyiksaan tahanan saudara kita di penjara Abu Gharib, meluasnya penjualan majalah playboy & pornografi, kewujudan berhala Hindu terbesar dunia di Batu Caves dan lain-lain. Di dalam sistem ini, rakyat menganggap bahawa wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri merupakan wakil suara dalam menyampaikan aspirasi mereka, namun hakikatnya wakil rakyat melakukan keputusan berdasarkan kehendak mereka tanpa memperhatikan apa yang sebenarnya di perlukan oleh rakyat.

Penyelesaian Kepimpinan mengikut Islam

Kepimpinan yang dikehendaki Islam adalah kepemimpinan yang berpegang kepada Islam yang dibawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menyelesaikan pelbagai persoalan serta menjadi benteng untuk menjaga dan memelihara umat Islam dalam seluruh aspek serta menyatukan segenap umat Islam di dunia. Kepimpinan yang dapat mewujudkan semua itu dinamakan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan istilah Khilafah/Imamah. Di antara hadis yang berkaitan dengannya adalah:

Awal urusan ini (Islam) adalah kenabian dan rahmat, kemudian khilafah dan rahmat, kemudian imarah dan rahmat [HR at Thabrani]

Setelah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam wafat, kepemimpinan dalam sistem yang dibangun tersebut diteruskan oleh para pemimpin yang ketika baginda masih hidup dinamakan Khilafah. Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

Akan ada setelahku para khalifah yang melakukan apa yang mereka ketahui dan mengerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka. Akan ada pula setelah mereka para khalifah yang melakukan apa yang tidak mereka ketahui dan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan kepada mereka [HR Abu Ya’la]

Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

Kamu haruslah berpegang pada jalanku dan jalan para khalifah yang mendapatkan petunjuk dan hidayah
[HR at-Tirmidzi]

Islam telah menggariskan konsep yang jelas dan mendasar dalam membangun kepemimpinan. Ianya meliputi:

Pertama: Pemimpin yang baik. Dalam wacana Islam, pemimpin sering disebut imam (pemimpin yang diikuti), ra’in (kepala yang mengarahkan), mas’ul (penangungjawab), dan hakim (penguasa; yang menerapkan hukum). Kerana itu pemimpin dalam Islam haruslah individu yang dapat menjalankan fungsi-fungsi tersebut. Orang-orang yang mengangkat pemimpin yang tidak tepat dianggap telah melanggar amanat dan berkhianat kepada Allah dan RasulNya serta kaum Mukmin.

Abu Dzar RadhiAllahu ‘anhu pernah berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ya Rasulullah, apakah anda tidak berkenan mengangkat diriku sebagai pemimpin wilayah?”

Rasulullah kemudian menjawab sambil menepuk-nepuk bahunya :

“Hai Abu Dzar, kamu adalah seorang yang lemah, sedangkan tugas itu adalah suatu amanat yang akan membuat orang menjadi hina dan menyesal pada hari Kiamat, kecuali jika ia mampu menunaikan hak dan kewajipan yang dipikulkan kepadanya” [HR Muslim]

Kedua, sistem yang benar. Ketika di Makkah, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditawarkan kekuasaan dan menjadi pemimpin di kalangan orang Arab. Tetapi Nabi menolaknya kerana sebenarnya mereka mahukan Nabi meninggalkan da’wahnya. Apabila kita teliti secara jernih, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam merupakan manusia terbaik di kalangan orang Arab sehingga digelar Al-Amin. Sudah tentu beliau lebih dari layak untuk menyandang jawatan ketua kaum Quraish ini. Namun begitu, beliau tetap menolaknya. Ini berbeza di zaman Madinah iaitu selepas Hijrah Rasulullah, beliau tanpa berlengah-lengah terus melaksanakan Islam secara keseluruhan dan memimpin kaum Muslimin. Semua permasalahan dan perselisihan diselesaikan menurut ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Di Madinah, karisma Rasulullah benar-benar telah menyatu dengan sistem yang digunakan untuk memerintah, yakni sistem Islam. Dalam kepimpinan adalah tidak mencukupi dengan hanya sekadar mengambil kira karisma dan keintelektualan seseorang. Aspek sistem pemerintahan harus diambilkira. Rasulullah dan para Khulafa’ Rasyidin selepas baginda telah memanifestasikan gabungan yang amat efektif ini.

Di dalam sistem Islam ada empat asas perlu diperhatikan iaitu;

i. Kedaulatan di tangan syara’. Hanya syara’ yang berhak menentukan apa yang halal dan haram serta apa yang terpuji atau tercela. Manusia hanya memahami ayat-ayat Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.
ii. Kekuasan di tangan umat. Maksudnya umatlah yang memilih pemimpin dengan rela untuk menerapkan hukum syara’.
iii. Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di dunia Islam.
iv. Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak mengadopsi hukum syara’.

Ketiga, hubungan rakyat dengan pemimpin. Hubungan ini mestilah didasarkan kepada ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pemimpin yang dipilih adalah untuk melaksanakan hukum syara’ ke atas rakyat. Maka rakyat wajib mentaatinya dan memberi kritikan apabila pemimpin tersebut telah menyimpang dari landasan syara’. Penghubung antara keduanya adalah syura, yang tolok ukurnya adalah dalil terkuat (jika berkaitan dengan hukum syara’), pandangan pihak yang pakar (jika menyangkut aspek kepakaran tertentu), atau suara majoriti (jika berkaitan dengan aktiviti yang secara syara’ hukumnya mubah dan dimaklumi oleh majoriti).

Oleh itu, kepimpinan perlulah ditegakkan oleh dua perkara iaitu individu (figur) dan sistem. Kepimpinan dalam pemerintahan Islam ( Khilafah Islamiyyah ) sahajalah yang akan dapat membawa umat ke arah kejayaan dalam bentuk ruhiyyah dan material yang hakiki. Inilah bentuk kepimpinan yang telah benar-benar mengagungkan Islam dan umatnya sejak dari zaman Rasulullah sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1924 M. Inilah sistem yang wajib ke atas kita sebagai umat Islam untuk mengembalikannya.

Kriteria Pemimpin Unggul

Kepimpinan dalam Islam berfungsi sebagai pengurus segala urusan rakyat dengan hukum Islam yang diturunkan oleh Allah Pencipta manusia. Oleh itu, seorang pemimpin harus memenuhi beberapa kriteria berikut:

1. Memenuhi syarat-syarat menurut syariat Islam, iaitu Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil/tidak fasiq (konsisten dalam menjalankan aturan Islam), merdeka dan mampu melaksanakan amanat kekhalifahan. Selain syarat-syarat in‘iqâd (legaliti) yang menentukan sah-tidaknya akad tersebut, ketua negara juga diutamakan (bukan wajib) memiliki syarat afdhaliyah (keutamaan) seperti seorang mujtahid, berani dan ahli politik yang hebat.
2. Menjadikan kekuasaan negara ini merdeka dan bebas dari pengaruh luar; iaitu hanya bersandar kepada kaum Muslimin dan bukan pada negara kafir imperialis atau di bawah pengaruh orang-orang kafir, dan tidak juga menjadi pak turut. Justeru sebaliknya, penguasa Muslim harus mampu melepaskan negaranya dari cengkeraman dan dominasi kekuatan asing baik dalam bidang sosial, politik, ekonomi, hukum mahupun budaya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang bermaksud:

Allah sekali-kali tidak akan pernah memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai kaum Mukmin” [TMQ an-Nisa’ [4]:141].

3. Menjadikan keamanan kaum Muslimin di dalam negara keamanan Islam, bukan keamanan kufur. Ertinya, pemeliharaan keamanan mereka dari gangguan luar dan dalam negara berasal dari kekuatan kaum Muslimin sebagai kekuatan Islam semata-mata. Kerananya, seorang penguasa Muslim tidak boleh mengizinkan adanya pengaruh negara kafir imperialis terhadap tentara dan polis, tidak membolehkan negara asing membuat pengkalan tentera di wilayahnya dan tidak memberikan kekuatan keamanan kecuali kepada kaum Muslimin.

4. Segera menerapkan Islam secara serentak dan menyeluruh serta segera mengembangkan da’wah Islam. Banyak sekali ayat-ayat yang menegaskan hal ini, di antaranya:

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik” [TMQ. Al-Mâidah [5]: 49]

5. Mencegah perpecahan dan menyatukan wilayah-wilayah kaum Muslimin di seluruh dunia sehingga kaum Muslimin menjadi kuat dan bersatu dalam sebuah kesatuan Khilafah Islamiyyah. Ini adalah kerana umat Islam adalah umpama satu tubuh dan kepimpinannya pun harus satu. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda yang bererti:

Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya. [HR Muslim]

Jika beberapa kriteria tersebut dimiliki oleh pemimpin, maka Islam dan umat Islam akan kuat. Ini adalah kerana yang sampai kepada kekuasaan bukanlah sekadar kaum Muslimin sahaja, bahkan Islam itu sendiri dijulang oleh pemimpin tersebut. Pemimpin demikian merupakan pelurus kesilapan, penghapus kezaliman, pemusnah kerosakan, penguat orang yang lemah, penolong orang yang teraniaya dan penghapus kesedihan. Dia berdiri di antara Allah dan hamba-hambaNya, mendengarkan firmanNya dan nasihat rakyat serta mentaatiNya dalam menunjuki mereka. Dialah orang yang memerintah rakyat bukan dengan pemerintahan jahiliyyah, tidak menempuh jalan orang-orang zalim dan tidak mengutamakan orang-orang kuat daripada orang-orang yang lemah. Dialah bapa anak-anak yatim dan pembela orang-orang miskin, mendidik yang kecil dan membantu yang besar di antara mereka.

Khatimah

Melihat kepada negara ideal hasil pimpinan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, penunjuk sebuah kepemimpinan yang gagal adalah apabila negara tersebut tidak mampu memenuhi dan menjamin hak-hak rakyatnya secara hakiki – pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan yang menyangkut hak dan keperluan hidup yang asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal). Kegagalan ini terserlah, sejak kejatuhan Daulah Islam apabila negara-negara kaum Muslimin yang terpecah belah terus menerus menegakkan hukum buatan manusia sehingga tidak terwujud apa yang disebut clean government (kerajaan yang bersih) dan good governance (pemerintahan yang baik).

Permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di mana jua ketika ini sangat mungkin terjadi kerana mereka dipimpin oleh individu yang tidak berkelayakan dan tidak memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin seperti yang digariskan di dalam makalah ini. Di antaranya adalah mereka ini terdiri dari individu yang anti kritikan, zalim, pengamal rasuah, tamak, tidak amanah, kurang peka terhadap keadaan rakyat yang dipimpin dan lemah (mudah diperalatkan oleh pihak asing)

Wahai kaum muslimin!!

Apakah sebenarnya bentuk perubahan yang kita perlukan saat ini? Rombakan kabinet yang berlaku baru-baru tidak menjanjikan apa-apa sinar untuk mengubah nasib masyarakat Islam. Hakikatnya kita masih lagi mengamalkan sistem Demokrasi Kapitalisme berdasarkan akal manusia yang sememangnya lemah dan penuh dengan kontradiksi.

Apa yang kita perlukan adalah perubahan yang lebih mendasar dari itu. Apa yang perlu ada adalah perubahan yang melibatkan pencabutan akar-akar sekularisme dan demokrasi; perubahan yang meletakkan kriteria kepimpinan di jalan yang betul dengan mengembalikan Al-Khilafah dan meletakkan ketaqwaan sebagai asas pemilihan pemimpin. Pemimpin inilah yang akan memimpin seluruh Dunia Islam ke arah kemuliaan, kesejahteraan dan kesenangan di dunia dan akhirat. Semoga Allah menyegerakan berdirinya kepimpinan ini! Amin!