Ar Rahnu Produk Kapitalis Yang Bertopengkan Islam

Pulangan pelaburan melalui program Mikro Kredit Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 8.05 peratus pada tahun lalu. Program ini telah memberi perkhidmatan melalui transaksi terkumpul berjumlah 6.1 juta dengan jumlah pembiayaan terkumpul sebanyak RM10.2 bilion dikeluarkan sejak program ini diperkenalkan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bahawa pulangan itu merupakan yang tertinggi sejak program tersebut diperkenalkan 11 tahun lalu. Menurut Jamil Khir, program itu secara keseluruhannya menguasai sebanyak 54 peratus pasaran dalam industri pajak gadai di negara ini.

Pajak gadai adalah perniagaan yang memberikan pinjaman berasaskan riba di mana kedai pajak gadai memberikan pinjaman wang tunai ke atas barang gadaian bagi tempoh enam bulan dengan kadar faedah 2% sebulan. Kadar faedah ini agak tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun. Ribanya jauh melebihi kadar yang biasa ditawarkan oleh bank. Seandainya peminjam gagal untuk menebus kembali barang gadaian dalam tempoh yang ditetapkan, pemegang pajak gadai boleh memiliki barang gadaian tersebut bagi yang nilainya kurang daripada RM200 tanpa perlu melantik pelelong berlesen.

Ar Rahnu yang dijalankan pada hari ini pada hakikatnya adalah sama sepertimana skim-skim dan produk-produk kapitalis yang lain. Apa yang dilakukan adalah sedikit perubahsuaian dari segi akadnya supaya ia menjadi skim yang kononnya halal berasaskan Islam dengan dalih bahawa ia mempunyai akad yang berbeza, kemudian diberikan pula nama dengan kalimah arab ‘Ar Rahnu’. 

Skim Ar Rahnu dicipta untuk memberikan pinjaman yang sama seperti pajak gadai tetapi dengan disyaratkan cagaran emas. Sekiranya peminjam memulangkan jumlah pinjaman sahaja, maka pihak pemberi pinjaman (pemiutang) tidak mendapat sebarang keuntungan kerana tiada lebihan pulangan. Malah peniaga akan rugi kerana tidak dapat menampung kos lebihan (kos operasi). Jika peminjam memberikan lebihan dalam pembayaran semula pinjaman, maka ia adalah riba secara terang-terangan. Oleh itu, bagi mengelakkan agar proses ini tidak kelihatan seperti transaksi riba, maka emas yang dicagarkan oleh peminjam yang mana dalam bahasa arab disebut ‘rahn’ akan dikenakan caj yang disebut sebagai upah simpanan. Dengan cara ini, ia membolehkan pemberi pinjaman  mengenakan caj perkhidmatan terhadap peminjam ke atas rahn (emas yang dicagarkan) yang terpaksa disimpan oleh pemberi pinjaman. Mereka berdalih bahawa lebihan yang diberikan oleh peminjam adalah bukan riba, tetapi sebaliknya ia adalah upah simpanan kerana ia bukan bunga daripada pinjaman.

Di sini adalah jelas bahawa skim Ar Rahnu adalah pajak gadai yang berlabelkan Islam kerana sasaran pelanggan mereka adalah pasaran pajak gadai. Inilah helah yang dilakukan oleh pengusaha skim Ar Rahnu untuk mengekalkan perniagaan sistem kapitalis yang berniaga atas kesusahan orang lain. Wahai kaum Muslimin, ingatlah ancaman perang daripada Allah terhadap para pelaku riba.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (tidak meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu. Kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya” [TMQ al-Baqarah (2):279].

Sekiranya anda ragu-ragu dengan penjelasan di atas, maka ingatlah pesanan yang ditinggalkan oleh Rasulullah lebih 1400 tahun lalu mengenai perkara yang meragukan.

“Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu” [HR At-Tirmizi]

Pajak gadai telah jelas keharamannya, maka kita perlu meninggalkannya. Sesungguhnya yang boleh menyelamatkan kita daripada ancaman perang daripada Allah dan Rasul bukanlah nyanyian cinta kepada Allah dan selawat kepada Rasul, sedangkan tangan serta mulut kita berlumuran dengan unsur dan hasil riba di sana sini. Bagi mendapatkan redha dan cintaNya, satu-satunya jalan yang ada adalah dengan melaksanakan segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul. Bayangkan jika Rasul berada bersama-sama kita di dalam premis Ar Rahnu, adakah baginda akan tersenyum bangga atau mengisytiharkan perang terhadap kita?! Berhati-hatilah dengan dosa-dosa yang mana balasannya adalah neraka jahanam!

Artikel Penuh: utusan.com.my