BR1M – Penyelesaian yang bersifat kosmetik dalam sistem kapitalis

Dianggarkan sebanyak 7 juta rakyat Malaysia bakal menerima bantuan kewangan daripada kerajaan melalui skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2014 yang telah dilancarkan pada 22 Februari yang lalu. Skim bantuan yang mula diperkenalkan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2012 yang lalu kini telah memasuki fasa ketiga pada tahun ini.

Sebanyak RM3.655 bilion telah diperuntukkan dalam BR1M 2014. Daripada jumlah tersebut, sebanyak  4.63 juta orang ketua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4000 akan mendapat bantuan antara RM300-RM650. Manakala selebihnya sebanyak 2.4 juta orang yang terdiri daripada orang bujang yang berpendapatan kurang RM2000 dan warga emas sebatang kara turut memperoleh bantuan antara RM200 sehingga RM650 mengikut kategori yang telah ditetapkan.1

Sewaktu majlis penyampaian BR1M peringkat Parlimen Pekan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa skim bantuan ini menepati syariat Islam kerana mampu meringankan beban rakyat Malaysia.

“Kita tahu ada penerima bila dapat BR1M, buat bayar hutang, maknanya kita tolong orang melunaskan hutangnya, menolong orang dalam kesusahan, besar pahalanya,” jelasnya.2

Persoalannya, dari manakah kerajaan memperoleh sumber kewangan sebanyak itu untuk diberikan kepada rakyat? Sedangkan hakikatnya jumlah terkumpul hutang negara telah dicatatkan sebanyak hampir RM550 bilion lantaran sikap kerajaan yang berbelanja secara berlebihan dan ketirisan yang berlaku dalam urustadbir kewangan negara. Kerajaan Malaysia telah mengumumkan belanjawan defisit sebanyak 16 kali berturut-turut rentetan daripada perbelanjaan yang tidak berhemah oleh negara. 

Natijahnya, rakyat Malaysia secara umumnya terpaksa menderita akibat sikap boros kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara. Hutang terkumpul yang berjumlah lebih dari RM550 billion itu, termasuk bunga yang dikenakan, akhirnya akan ditanggung oleh rakyat. Dalam erti kata lain, lambat laun kerajaan akan menggunakan berbagai-bagai kaedah kutipan termasuk cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai import dan cukai GST bagi menampung beban hutang tersebut.

Ternyata BR1M tidak lebih daripada sekadar helah politik bagi menggambarkan kemurnian dan keprihatinan penguasa terhadap nasib golongan marhaen. Hakikatnya, skim tersebut tidak lebih hanyalah penyelesaian bersifat kosmetik yang gagal menyelesaikan permasalahan rakyat. Ditambah pula dengan penerapan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan riba, pengunaan matawang fiat yang tiada nilai intrinsik dan pelaburan yang bersifat spekulatif.

Sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada sistem Islam yang mana sistem ekonominya bebas riba dan cukai, matawang bersandarkan dinar emas dan dirham perak yang mempunyai nilai intrinsik dan stabil. Seluruh perjalanan ekonomi dan pengagihan kekayaan adalah berlandaskan hukum syarak semata-mata. Perjuangan mengembalikan Khilafah bukan sekadar kerana ingin mengejar imbuhan duniawi, bahkan lebih daripada itu, ia merupakan kewajipan yang sudah sekian lama diabaikan. Wallahua’lam.
 

ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة

“Tidak ada hamba yang mati sedangkan Allah memintanya untuk menjaga rakyat di mana pada hari kematiannya sedangkan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.”
[HR Muslim]

Sumber:

1. Infografik Fakta BR1M 2014, Jabatan Penerangan Malaysia.
2. “BR1M tepati kehendak Islam”, Utusan Malaysia 24 Februari 2014.