Ceti Haram Subur Di Dalam Sistem Kapitalis

atm-alongPada minggu ini, Malaysia dikejutkan dengan isu ah long yang melibatkan para anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Utusan Malaysia pada  8 Januari 2013 melaporkan bahawa TLDM telah berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram yang melibatkan 102 anggotanya.

Ceti haram atau lebih dikenali sebagai ah long bukanlah isu baru di Malaysia. Statistik yang dicatatkan oleh laman sesawang Malaysiakini  2 tahun lalu berkaitan pinjaman kepada ah long adalah sebanyak 503 kes pada tahun 2006, 539 kes tahun 2007, 636 kes tahun 2008, 487 kes tahun 2009 dan 302 kes pada tahun 2010 (Malaysiakini 29/04/11). Masalah ini perlu dilihat dari 3 aspek:

along-posterPertama, pengklasifikasian istilah ‘ceti haram’ oleh kerajaan sekular pada saat ini terhadap pemberi hutang yang tidak berlesen dan mengiktiraf pihak (syarikat) seperti bank-bank yang menjalankan transaksi riba itu ‘halal’ adalah jelas salah dan bertentangan dengan Islam. Islam memandang bahawa kesemua transaksi pinjaman (al-qardh) wajib mengikut piawaian halal dan haram yang mana landasannya adalah hukum syarak. Negara Islam (apabila tertegak kelak  insyaAllah), hanya akan memberi kebenaran kepada kepada syarikat atau individu yang menjalankan transaksi yang berasaskan hukum syarak semata-mata. Mana-mana syarikat yang tidak mematuhi hukum syarak tidak akan dibenarkan untuk beroperasi di dalam negara, apatah lagi untuk wujud sebagai sebuah institusi. Ia langsung tidak sama seperti mana sekarang, di mana kesemua syarikat yang ingin menjalankan operasinya wajib taat dan patuh kepada undang-undang yang ditetapkan oleh Bank Negara melalui perlembagaan sekular Malaysia, walaupun ia bercanggah dengan hukum syarak.

Kedua, hutang-piutang bukanlah suatu perusahaan atau perniagaan (bisnes) yang dibuat atas dasar untuk meraih keuntungan di dalam Islam. Ia adalah inisiatif dari satu pihak untuk membantu orang lain tanpa adanya unsur untuk meraih keuntungan (qimah madiyyah). Nilai yang ingin diraih oleh si pemiutang  terhadap penghutang tidak lain hanyalah nilai kemanusiaan (qimah insaniyah), di samping untuk mendapat pahala dan redha Allah sebagai seorang Muslim.

along-bankKetiga, masalah ceti haram atau ah long ini adalah natijah daripada penerapan sistem sekular yang bertunjangkan kepada sistem ekonomi kapitalis dan berasaskan riba. Masyarakat yang dihimpit dengan pelbagai masalah ekonomi dan kesempitan wang merasakan bahawa membuat pinjaman terhadap ah long (termasuk juga institusi perbankan) adalah satu keperluan untuk meneruskan kehidupan mereka, tanpa memandang adakah ia halal atau haram di sisi Islam.

Sedarlah wahai umat Islam bahawa seluruh permasalahan yang dihadapi oleh umat pada hari ini termasuk dalam perkara ekonomi hanya akan dapat diselesaikan secara tuntas apabila sistem Khilafah diterapkan di tengah-tengah umat. Sistem ekonomi Islam akan mengagihkan seluruh kekayaan yang ada secara adil mengikut al-Quran dan as-Sunnah tanpa memilih bulu, baik sama ada ia Muslim ataupun kafir dzimmi warganegara Daulah Islam, di samping menjaga dan memelihara seluruh transaksi ekonomi yang berlaku di dalam Negara agar berjalan berlandaskan hukum syarak. Sistem ekonomi Islam inilah yang telah terbukti berhasil mensejahterakan umat manusia di sepanjang 1300 tahun penerapannya ketika mana sistem Khilafah ini memerintah dunia dahulu.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130108/dn_15/TLDM-selesaikan-hutang-ah-long
http://www.malaysiakini.com/news/162775