Rasuah Subur Dalam Sistem Kufur

angelina-sondakhDalam minggu ini, sebuah mahkamah antirasuah Indonesia telah menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan enam bulan ke atas bekas Ratu Cantik Indonesia 2001, Angelina Sondakh kerana menerima rasuah (Kosmo, 11/1/13).

Angelina Sondakh, atau lebih dikenali dengan panggilan Angie itu didapati bersalah kerana menerima rasuah sebanyak AS$3.6 juta (RM10.9 juta) daripada sebuah syarikat yang membina bangunan penempatan untuk atlet-atlet Sukan Asia Tenggara pada tahun 2011. Hakim-hakim di mahkamah itu menyatakan rasuah tersebut diberikan kerana peranan Sondakh sebagai salah seorang anggota sebuah jawatankuasa bajet parlimen.

Kes Angie di atas adalah tidak menghairankan kerana sejak akhir-akhir ini, media massa tempatan negara itu telah banyak melaporkan berita-berita yang berkaitan rasuah yang melibatkan wanita. Belum selesai beberapa kes rasuah berprofil tinggi yang menggoncang wajah politik Indonesia, bermula daripada kes Century yang membelit Sri Mulyani, kes Malinda Dee, kes cek pelawat yang melibatkan Nunun Nurbaeti dan Miranda Goeltom, termasuklah kes Wisma Atlet, kini Angie pula termasuk dalam senarai pelaku rasuah di negara tersebut.

Menurut Laporan Harta Kekayaan Penyelenggara Negara (LHKPN), harta Angie meningkat secara drastik dalam beberapa tahun. Bermula dari tahun 2003 sebelum ia menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), hartanya hanyalah sekitar Rp 600 juta, dan jumlahnya meningkat mendadak pada 2010 sebanyak Rp 6 billion. Ini bererti dia memperoleh kekayaan sebanyak 10 kali ganda ketika menjadi ahli DPR.

Itu belum termasuk harta kekayaannya yang lain seperti tanah, kereta-kereta mewah, barang kemas, barang antik dan surat-surat berharga (saham dan bon) yang jumlahnya tidak terkira ketika ia menjadi ahli DPR.

Dewan Perwakilan Rakyat yang dianggap sebagai manifestasi daripada perlaksanaan sistem demokrasi kini merupakan sarang kepada pelaku korupsi. Ini terbukti apabila satu kajiselidik yang dibuat mendapati bahawa lembaga legislatif merupakan institusi yang berada di tempat pertama sebagai lembaga yang paling korup, disusuli dengan lembaga kehakiman dan eksekutif sebagai institusi yang berperanan utama dalam kegiatan rasuah. Hasil kajiselidik tersebut menyatakan bahawa korupsi legislatif adalah sebanyak 78%, kehakiman 70% dan eksekutif 32% (Mediaindonesia, 21/4/12).

Manakala sebuah akhbar tempatan lain (Tempo, 29/9/2012) melaporkan data peratusan rasuah yang melibatkan senarai parti-parti politik dalam pemerintahan Indonesia seperti berikut:

1. Parti Golkar sebanyak 64 orang ahli politik iaitu 36%
2. Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) sebanyak 32 orang ahli politik iaitu 18%
3. Parti Demokrat 20 orang ahli politik iaitu 11%
4. Parti Persatuan Pembangunan (PPP) sebanyak 17 orang ahli politik iaitu 9.65%
5. Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) sebanyak 9 orang ahli politik iaitu 5%
6. Parti Amanat Nasional (PAN) sebanyak 7 orang ahli politik iaitu 3.9%
7. Parti Keadilan Sejahtera (PKS) sebanyak 4 orang ahli politik iaitu 2.27 %
8. Parti Bulan Bintang (PBB) sebanyak 2 orang ahli politik iaitu 1.14%

partaiBukan itu sahaja, bahkan Indonesia Corruption Watch (ICW) juga mendedahkan bahawa bidang pendidikan di Indonesia juga terlibat dengan aktiviti rasuah. Ia terbukti apabila sepanjang tahun 2012, terdapat 40 kes rasuah dalam bidang pendidikan yang mewarnai dunia pendidikan negara Indonesia.

“Rasuah dalam bidang pendidikan terlalu banyak. Audit Badan Pemeriksa Kewangan 2011 mendapat kritikan yang negatif. Ini merupakan bukti wujud masalah dalam akuntabiliti pengelolaan kewangan dalam Kementerian Pendidikan,” kata Peneliti ICW, Siti Juliantari dalam sebuah wawancara konferens ICW dan Koalisi Pendidikan di Jakarta.

Walaupun fakta-fakta ini hanyalah sebahagian daripada kes-kes yang dilaporkan, tetapi ia sudah cukup untuk memberi gambaran bagaimana sebuah demokrasi itu melahirkan individu-individu yang rakus dan tamak secara kolektif.

Wahai kaum Muslimin, telah jelas bahawa demokrasi melahirkan para pemimpin bermental korup, zalim dan rakus di sepanjang zaman. Demokrasi telah mengajar para penguasa untuk gemar bertindak khianat, curang, menerima rasuah dan menindas rakyat, walaupun  perkara-perkara tersebut telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya.

Sesungguhnya segala kebejatan penguasa dan pemerintahan sekarang ini bukanlah sekadar rosaknya moral mereka, tetapi disebabkan oleh kebusukan sistemnya. Sudah sewajibnya umat mencampakkan sistem industri politik demokrasi yang hina ini dan menggantikannya dengan sistem yang diredhai oleh Allah dan RasulNya, yang bakal menjamin keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Oleh itu, untuk menghindarkan umat daripada semua kemaksiatan ini dan mewujudkan kehidupan yang lebih baik, maka tidak ada jalan lain kecuali dengan mencabut sistem industri politik demokrasi yang menjadi akar kepada kesemua permasalahan dan menerapkan petunjuk hidup dan sistem yang telah diberikan oleh Allah Yang Maha Bijaksana. Allah SWT sendiri telah memberikan jaminan bahawa Islam akan memberikan kehidupan yang sejahtera kepada seluruh umat manusia secara umumnya.

Adakah tidak cukup umat menderita dalam sistem demokrasi dengan setiap hari kita menyaksikan kerosakan demi kerosakan ditimbulkan oleh sistem ini yang diterapkan oleh para penguasa pada hari ini? Sesungguhnya Allah telah pun memberikan pelajaran dan pengajaran kepada kita semua agar kita dapat memahaminya serta melaksanakannya. Maka, hukum siapakah yang lebih baik jika dibandingkan dengan hukum Allah SWT.

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5): 50].

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm