Arahan Tembak Penceroboh Sempadan, Patutkah?

Berdasarkan laporan dari Astro Awani pada 15hb Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata, pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara. “Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia,”. Beliau yang mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Jawapan tersebut adalah rentetan dari kes penculikan dan pembunuhan anggota keselamatan Malaysia di Samporna baru-baru ini. Walaupun kes penculikan dan pembunuhan ini adalah suatu yang serius, namun ‘penyelesaian mudah’ yang diberikan oleh seorang menteri ini perlu diperhatikan kewajarannya.

Zahid seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan arahan dengan memerhatikan aspek hukum syarak dalam setiap tindakan yang akan diambil, bukan dengan memberi jawapan melulu berdasarkan emosi dan kuasa yang ada.

Selain fakta pencerobohan itu sendiri, aspek utama yang perlu dikenalpasti ialah “agama” orang dikatakan “penceroboh” tersebut. Sekiranya mereka beragama Islam, maka sebenarnya tidak wujud istilah “menceroboh” kerana setiap Muslim berhak untuk datang atau memasuki negara umat Islam yang lain tanpa sebarang sekatan walau apa tujuannya sekalipun.

Tindakan menembak atau membunuh orang yang dianggap penceroboh walhal mereka sebenarnya bukan penceroboh (dari segi syarak), merupakan sebuah keharaman. Rasulullah SAW bersabda,

“Darah, harta dan kehormatan seseorang Muslim itu adalah haram bagi Muslim yang lain” [HR Muslim].

Sabda baginda yang lain, “Janganlah kalian kembali menjadi kafir selepasku dengan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain” [Muttafaq ‘Alaihi].
Firman Allah SWT,

“Sesiapa yang membunuh seorang Muslim dengan sengaja, balasannya adalah neraka jahanam, ia kekal di dalamnya. Allah murka dan melaknatnya dan disediakan baginya seksaan yang pedih”
[TMQ al-Nisa’ (4):93].

Sekiranya orang yang memasuki sempadan atau perairan negara itu ialah orang kafir dari negara kufur, maka perlu dilihat sama ada ia adalah negara kufur yang mempunyai ikatan perjanjian dengan Negara Islam ataupun tidak. Jika ya, maka perlu dilihat dulu isi teks perjanjian sebelum sebarang tindakan diambil. Juga, perlu diperhatikan sama ada mereka memasuki perairan secara sengaja atau tidak. Ini kerana terdapat kemungkinan bahawa mereka adalah nelayan yang sedang mencari rezeki yang tanpa sengaja terlepas memasuki sempadan.

Berbeza halnya dengan kafir harbi (kafir yang sedang memerangi Islam) di mana jika mereka menceroboh sempadan Negara Islam, maka darahnya halal, kecuali jika mereka masuk untuk mempelajari Islam.

Inilah kedudukan hukum syarak secara ringkasnya. Namun, inilah masalah dengan negara yang mengamalkan assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme) di mana umat islam yang tinggal di negara lain terus dianggap sebagai penceroboh tanpa mengira lagi persamaan akidah dan persaudaraan. Hukum al-Quran dan al-Hadis semuanya diketepikan dan hukum akal menjadi pegangan.

Rasulullah SAW bersabda,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ‘assabiyyah, berperang atas dasar ‘assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) ‘assabiyyah” [HR Abu Daud].

Nauzubillah min zalik.