Badan kehakiman bukan sahaja perlu bebas, tetapi..
Telah tular satu video seorang ahli politik yang berucap kepada para penyokongnya bahawa parti mereka mesti memenangi PRU akan datang bagi mengelak mereka daripada ditangkap dengan kes-kes rasuah.
Jika dulu perkara-perkara seumpama ini hanya dibincangkan dalam pertemuan tertutup, kini mereka sudah tidak lagi khuatir atau merasa malu untuk menyatakannya secara terbuka.
Ini antara gambaran betapa buruknya pemimpin dan keadaan negara ini apabila diperintah oleh golongan seperti ini.
Ucapan tersebut turut menggambarkan betapa badan kehakiman sebenarnya tidak bebas. Ucapan seumpama ini keluar kerana orang yang berucap itu yakin bahawa jika mereka menang, maka segala kes rasuah yang sedang mereka jalani akan digugurkan.
Ucapan itu juga menggambarkan bahawa di saat mereka berkuasa sebelum-sebelum ini, mereka telah berjaya meletakkan badan kehakiman di bawah ketiak mereka.
Bukan itu sahaja, ia juga membawa gambaran bahawa jika ada kes-kes rasuah yang melibatkan mereka sekarang ini yang masih belum dibawa ke mahkamah, maka ia tidak akan dibawa ke mahkamah jika mereka memenangi PRU, atau jika dibawa sekalipun, mereka sudah pasti akan terlepas.
Ucapan itu turut menggambarkan bahawa mereka akan terus melakukan rasuah jika mereka menang PRU akan datang kerana yakin akan sentiasa terlepas daripada tindakan.
Malah, tidak mustahil bahawa orang-orang mereka yang sudah pun dipenjara akibat kesalahan rasuah, akan dibebaskan.
Sungguh malang bagi negara ini apabila mempunyai pemimpin seperti ini, dan sungguh malang apabila badan kehakiman berada dalam situasi seperti ini.
Kerana itulah kita memerlukan bukan sahaja sebuah badan kehakiman yang bebas, tetapi sebuah badan kehakiman yang berhukum dengan hukum Islam.
Tidak ada gunanya jika badan kehakiman itu bebas, tetapi berhukum dengan hukum kufur. Kita mahukan hakim-hakim yang bukan sahaja beragama Islam, tetapi memutuskan kes mengikut hukum-hakam Islam.
Sesungguhnya badan kehakiman negara ini merupakan sebuah badan yang dibentuk oleh penjajah dan mengamalkan hukum penjajah sejak sekian lama.
Tidak ada caranya untuk menukar badan kehakiman ini kecuali dengan jalan menegakkan sebuah Negara Islam (Khilafah), yang dengannya barulah segala struktur pemerintahan negara akan berdasarkan Islam, dan hukum dari tujuh petala langit akan menaungi kita semua Insya Allah.
Wallahu a’lam.