Bagaimana Demokrasi Masuk ke Dunia Islam
Kaum kuffar Barat sangat benci, dengki dan dendam terhadap Islam dan kaum Muslimin. Di dalam hati mereka terdapat rasa dendam dan benci yang sangat mendalam terhadap Islam dan umatnya. Benarlah firman Allah SWT:
قَدْ بَدَتِ البَغْضَـآءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَ مَا تُخْفِي صُدُوْرُهُمْ أَكْبَرُ
“Telah nyata kebencian dari mulut-mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi” [Ali Imran (3):118].
Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh kaum kuffar di tangan kaum Muslimin, telah menyedarkan mereka bahawa mereka tidak mampu menandingi kaum Muslimin dari sudut kekuatan fizikal. Atas dasar itu, mereka mulai mengkaji dan cuba memahami rahsia di sebalik kekuatan umat yang mulia ini. Akhirnya, mereka mendapati bahawa kekuatan kaum Muslimin sesungguhnya terletak pada akidah dan ajaran Islam itu sendiri. Akidah Islamiyah merupakan sumber kekuatan yang utama bagi umat Islam. Dengan akidah inilah, umat Islam tidak takut mati dan tidak pernah gentar untuk menghadapi musuh. Mereka terjun ke medan jihad hanya untuk dua tujuan, syahid atau menang. Inilah senjata utama umat Islam yang tidak ada pada puak kuffar dan tidak mungkin dimiliki oleh musuh-musuh Islam itu.
Setelah memahami hakikat ini, maka kaum kuffar merubah dan merangka strategi untuk memerangi umat Islam bukan lagi secara fizikal, tetapi secara pemikiran. Dari sinilah mereka mula menyerang akidah dan tsaqafah Islam dengan cara yang cukup licik sehingga tidak disedari oleh kebanyakan umat Islam.
Serangan tsaqafah inilah yang telah membawa kepada masuknya idea-idea Barat termasuklah sistem demokrasi serta hadharah (peradaban) dan mafahim (pandangan hidup) Barat ke dalam dunia Islam. Barat dengan liciknya mencanangkan idea-idea tersebut kepada kaum Muslimin agar dijadikan pegangan dan cara berpikir, malah sebagai pandangan hidup sehingga akhirnya kaum Muslimin menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar serta mula mengambil apa sahaja yang dibawa oleh Barat dan melihatnya sebagai suatu keindahan.
Tujuan utama Barat ialah untuk menghancurkan negara Islam (Khilafah) dari dalam dan seterusnya menghapuskan penerapan hukum-hukum Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dengan hancurnya Khilafah, yang selama ini menjadi penjaga akidah dan hukum-hakam Islam, Barat telah dapat menancapkan pelbagai idea, cara hidup, sistem dan undang-undangnya ke atas umat Islam. Dengan masuknya segala bentuk idea beracun dan cara berfikir Barat ke dalam tubuh umat Islam, maka secara automatik lemahlah akidah dan ajaran Islam yang selama ini dianuti oleh umat. Barat seterusnya berjaya menjauhkan kaum Muslimin sedikit demi sedikit daripada Islam, sekaligus dapat menguatkan lagi cengkaman mereka ke atas umat Islam dan negara kaum Muslimin. Dengan itu tercapailah cita-cita mereka agar umat yang mulia ini mengikut cara hidup dan telunjuk mereka. Allah SWT mengingatkan kita:
وَ لَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَ لاَ النَّصَارى حَتَّى تَتَّبعَ مِلَّتَهُم قُلْ إِنَّ هُدَى االلهِ هُوَ الْهُدَى وَ لَئِنِ اتَبَعْتَ أَهْوَآءَهُمْ بَعْدَ الَذِي جَـآءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ االلهِ مِنْ وَلِيٍّ وَ لاَ نَصِيْرٍ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolong bagimu” [Al-Baqarah (2):120].
Serangan pemikiran dan tsaqafah ini semakin kuat di saat kaum Muslimin mengalami kemunduran dari sudut pemikiran dan politik, yang sangat parah di akhir zaman Khilafah Uthmaniyah (pada pertengahan abad ke 19M). Pada ketika itu, berlakunya perubahan kuasa besar dunia dan negara-negara Eropah mula menunjukkan taringnya. Perubahan ini berlaku setelah tercetusnya revolusi pemikiran dan revolusi industri di Eropah. Dengan dua revolusi tersebut, pelbagai kreativiti, teknologi dan penemuan ilmiah mulai terhasil, dan ini membawa Eropah menuju kemajuan. Pada masa yang sama, Khilafah Uthmaniyah tetap jumud dan semakin hari semakin lemah. Keadaan inilah yang telah mempermudah kemasukan berbagai tsaqafah, idea, hadharah dan peraturan Barat ke negeri-negeri umat Islam.
Melalui strategi serangan pemikiran dan tsaqafah, negara-negara Eropah menyerang negeri-negeri umat Islam dengan cara merendah-rendahkan ajaran Islam dan menjelik-jelikkan hukum-hukumnya, menyuntik keraguan kepada kaum Muslimin akan kebenaran ajaran Islam, membangkitkan kebencian umat terhadap Islam, serta menyatakan bahawa Islamlah yang menjadi punca kemerosotan dan kemunduran mereka. Di sebalik itu pula, negara-negara Eropah mengagung-agungkan negara-negara Barat dan peradabannya, membangga-banggakan idea dan sistem demokrasi, serta menggembar-gemburkan kehebatan peraturan dan undang-undang di bawah sistem demokrasi, yang mereka zahirkan sebagai pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, sebagai sebuah pemerintahan yang ideal.
Negara-negara Eropah juga mencanangkan di tengah-tengah kaum Muslimin bahawa peradaban Barat tidak bertentangan dengan Islam, malah sampai ke tahap mengatakan bahawa umat Islam boleh maju seperti Barat apabila meninggalkan Islam. Sistem serta undang-undang demokrasi Barat juga dikatakan sebagai tidak menyalahi Islam, bahkan dikatakan berasal daripada Islam itu sendiri.
Mereka juga menempelkan sifat Islam dalam setiap idea dan peraturan demokrasi, serta senantiasa mengulangi tanpa putus bahawa demokrasi tidak menyalahi atau bertentangan dengan Islam. Mereka secara berterusan meracuni pemikiran umat Islam bahawa demokrasi itu sesuai dengan Islam atau berasal daripada Islam itu sendiri, kerana demokrasi itu sama seperti syura, adanya musyawarah, adanya konsep amar makruf nahi mungkar, memuhasabah penguasa, melantik penguasa secara majoriti sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, dan banyak lagi kelicikan lainnya yang mereka lakukan.
Propaganda jahat mereka ini telah berjaya mempengaruhi kaum Muslimin dari hari ke hari, sehingga golongan ulama, profesional dan umat Islam yang ikhlas sekalipun telah terpengaruh dengan idea ini, baik secara sedar atau tidak. Propaganda ini juga berjaya mendorong kaum Muslimin untuk menerima pakai secara langsung beberapa peraturan dan undang-undang Barat di saat-saat akhir pemerintahan Khilafah Uthmaniyah.
Setelah runtuhnya negara Khilafah, maka secara rasminya bermulalah sistem pemerintahan demokrasi di dunia Islam, dan sebahagian besar kaum Muslimin terus mempertahankannya, malah mengatakannya berasal daripada Islam. Demokrasi yang lahir daripada akidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) telah menjadi tunggak pemerintahan Turki setelah hancurnya negara Khilafah di Turki melalui tangan Mustafa Kamal Ataturk yang merupakan ejen British.
Golongan cendekiawan merupakan pihak yang paling ramai terpengaruh dengan tsaqafah Barat kerana kebanyakan mereka mendapat pendidikan di Barat atau telah melalui proses pembelajaran dalam negara di bawah kurikulum pendidikan Barat. Kurikulum pendidikan negeri-negeri umat Islam yang dijajah Barat pasca Perang Dunia I, telah disusun mengikut dasar falsafah dan pandangan hidup kufur mereka. Keadaan ini mengakibatkan ramai golongan cendekiawan menggemari, mencintai, bahkan mengagung-agungkan tsaqafah Barat.
Dalam masa yang sama, mereka mula memandang rendah dan mengingkari tsaqafah Islamiyah dan hukum-hukum Islam, apatah lagi jika ia bertentangan dengan tsaqafah, peraturan dan undang-undang Barat. Sedar atau tidak, mereka akhirnya “membenci” Islam, memusuhi tsaqafah, peraturan dan hukum Islam sebagaimana kaum kuffar Barat yang sangat membenci dan memusuhi Islam. Golongan ini akhirnya menjadi pemuja Barat dan menjadi corong-corong propaganda bagi hadharah, idea dan peraturan Barat, sekali gus menjadi alat penghancur dan penghina hadharah, hukum dan peraturan Islam.
Manakala para penguasa dan ahli politik pula, mereka telah mengikhlaskan diri untuk mengabdi kepada Barat dan peraturannya, kerana Baratlah yang menaikkan mereka ke tempat di mana mereka berada. Mereka telah mengikat diri mereka dengan Barat dan menjadikan Barat sebagai kiblat perhatian mereka. Mereka meminta pertolongan kepada Barat, menaruh harapan akan bantuannya, dan menobatkan diri mereka sebagai penjaga kepada pelbagai undang-undang, peraturan dan cara hidup Barat. Bahkan mereka dengan suka rela mengangkat diri mereka sebagai hamba yang bertugas melestarikan kepentingan Barat dan menjalankan semua konspirasi jahat yang dirancang oleh Barat.
Dengan mengambil sistem dan undang-undang Barat dan meninggalkan sistem dan undang-undang Islam, mereka sebenarnya telah menyatakan permusuhan terhadap Allah dan RasulNya dan telah mengumumkan perang terhadap “politik Islam” berserta seluruh para pendakwahnya yang ikhlas. Golongan ini, sepertimana Barat, mencurahkan seluruh kemampuan dan kekuatan yang mereka miliki untuk menghalangi berdirinya semula negara Khilafah dan kembalinya hukum Allah SWT di persada negara dan antarabangsa. Jika mereka tidak bertaubat, atas Allah-lah untuk melaknat dan mengazab mereka, bagaimana mereka boleh berpaling daripada kebenaran?
Adapun sebahagian daripada pendakwah Islam, mereka tidak memiliki kesedaran akan hakikat/realiti tsaqafah Islamiyah dan hukum-hukum syarak dengan cara yang benar, seperti mana mereka tidak memilik kesedaran tentang hakikat hadharah, idea dan peraturan Barat. Oleh kerana itu, mereka tidak dapat membezakan antara hadharah, idea dan mafahim Barat dengan akidah, hukum, hadharah dan mafahim Islam. Keadaan ini berlaku kerana taraf pemikiran kaum Muslimin yang telah mundur sehingga menjadi lemah dalam memahami Islam dan hukum-hukumnya, serta telah salah dalam memahami cara penerapan syariat Islam di tengah-tengah masyarakat.
Natijahnya, Islam ditafsirkan dengan pengertian yang tidak sesuai dengan kandungan nas-nas syarak. Hukum-hukum Islam juga ditakwilkan agar sesuai dengan realiti yang ada, bukan sebaliknya, iaitu mengubah realiti yang ada agar sesuai dengan hukum-hukum Islam. Kemudiannya, mereka mengambil berbagai hukum yang sebenarnya tidak didasari oleh syarak, atau dasarnya lemah, dengan hujah kaedah syar’iyah yang sangat keliru seperti contoh:
لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ الزَّمَانِ
“Tidak diingkari adanya perubahan hukum kerana adanya perubahan zaman.”
Akhirnya Islam pun ditakwilkan oleh kebanyakan orang agar sesuai dengan setiap aliran, gagasan dan ideologi masing-masing, walaupun penakwilan mereka bertentangan dengan hukum-hukum dan mafahim Islam. Mereka kemudiannya mengatakan bahawa hadharah dan idea-idea Barat tidaklah bertentangan dengan Islam dan hukum-hukumnya, kerana semuanya diambil daripada hadharah Islam. Mereka mengatakan pula bahawa sistem pemerintahan demokrasi dan sistem ekonomi kapitalisme juga tidak bertentangan dengan hukum-hukum Islam, sedangkan faktanya kedua-dua sistem tersebut adalah sistem kufur. Mereka turut mengatakan bahawa idea demokrasi dan kebebasan individu itu berasal daripada Islam, walhal kedua-dua idea itu pada hakikatnya sangat bertentangan dengan Islam.
Dengan demikian, muncullah ketidakjelasan dalam benak pemikiran mereka mengenai perkara-perkara hadharah dan madaniyyah. Mereka tidak memahami bahawa perkara-perkara yang bersifat hadharah itu haram untuk diambil daripada Barat, sedangkan perkara-perkara yang bersifat madaniyah itu boleh. Perkara-perkara madaniyyah termasuklah ilmu perubatan, perikanan, matematik, kimia, pertanian, perindustrian, peraturan lalu lintas, pengangkutan awam, dan perkara mubah lainnya yang tidak menyalahi Islam. Perkara-perkara seperti ini boleh sahaja diambil daripada bangsa dan umat mana sekali pun, kerana ia tidak terkait dengan hadharah. Sedangkan semua perkara hadharah yang terkait dengan akidah dan hukum syarak tidak boleh diambil kecuali daripada jalan wahyu yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ketidakjelasan inilah yang akhirnya menyebabkan Barat berjaya membawa hadharah dan mafahim mereka, termasuklah idea demokrasi dan ideologi kapitalisme, serta idea kebebasannya, ke dalam negeri-negeri umat Islam.
Wallahu a’lam.