Bagaimana Islam Menjamin Kehidupan Rakyat (Siri 1/2)

Isu-isu panas di Malaysia nampaknya tak pernah sunyi. Belum pun selesai satu isu, timbul pula isu lainnya, dan kadang-kadang berderetan isu yang timbul tanpa satu pun penyelesaian Islam untuknya. Beberapa hari ini kecoh isu pencen penjawat awam yang ingin dihapuskan oleh kerajaan, yang akan melibatkan lantikan baru. Manakala kepada penjawat awam sedia ada yang mengambil skim pencen tidak akan terjejas.

Daripada apa yang diumumkan, kabinet telah pun bersetuju mengenai perkara ini, dan kini ia dalam proses untuk dibawa ke Parlimen. Di sebalik keputusan yang telah pun dibuat oleh kabinet, pro dan kontra mengenai pemansuhan pencen ini terus hangat dibincangkan, dengan pihak yang tidak bersetuju menggesa kerajaan agar tidak bertindak melulu kerana ia bakal menjejaskan perkhidmatan awam dalam banyak sudut.

Tidak dinafikan bahawa skim pencen memang banyak kebaikannya, tetapi dalam masa yang sama keburukannya juga banyak, terutamanya apabila melibatkan golongan politik yang berpencen yang mana jumlah duit rakyat yang masuk ke poket-poket mereka tidak terkira banyaknya.

Bagaimana pun, artikel ini tidak akan membincangkan mengenai baik-buruk pencen, tetapi akan memfokuskan kepada jawapan Islam terhadap jaminan kehidupan rakyat. Rakyat, khususnya umat Islam, tidak seharusnya risau mengenai hari tua masing-masing kerana walaupun tanpa pencen atau tanpa KWSP, Islam telah pun memberi jaminan akan rezeki masing-masing.

Walaupun sedap didengar, alasan “persediaan hari tua” yang diberikan oleh kerajaan melalui skim pencen atau KWSP, tidak boleh diterima sepenuhnya. Ini kerana, tanggungjawab kerajaan untuk menjaga dan melindungi rakyatnya bukan hanya pada hari tua tetapi semenjak hari muda lagi, malah semenjak kecil, bahkan semenjak dari dalam kandungan lagi. Setiap warganegara wajib dijaga dan diberi haknya oleh pemerintah, dan haram bagi pemerintah mengabaikan walau pun seorang daripada rakyatnya.

Selain itu, perlu difahami bahawa pemerintah wajib menjaga dan memelihara rakyatnya dengan adil dan saksama tanpa mengira penjawat awam atau bukan, tanpa mengira Muslim atau bukan, lelaki atau perempuan, tua atau muda, pekerja atau penganggur, kaya atau miskin – pemerintah wajib menunaikan hak mereka semuanya dengan adil dan saksama sesuai tuntutan Islam.

Lima Lapis Jaminan Islam

Tanggungjawab utama pemerintah terhadap rakyatnya ialah memastikan setiap individu rakyat terpenuhi tiga keperluan asas (basic needs) iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal, khususnya bagi mereka yang tidak mampu. Jika ada walau hanya seorang rakyat yang tidak makan atau tidak punya pakaian atau tidak punya tempat tinggal, maka pemerintah akan dihisab oleh Allah (swt) di akhirat kelak atas kelalaiannya itu. Selain itu, pemerintah juga wajib memenuhi hak asas (basic rights) setiap rakyatnya berupa pendidikan, kesihatan dan keamanan (keselamatan), yang mana kesemuanya wajib disediakan secara percuma.

Dalam aspek basic needs, sistem ekonomi Islam telah menjamin pemenuhan basic needs melalui seperangkat hukum yang sempurna. Islam telah meletakkan taklif (beban) hukum kepada beberapa pihak tertentu dalam menyelesaikan masalah basic needs ini:

Pertama: Islam memerintahkan setiap individu untuk bekerja, yang mana dengan itu dia akan mampu memenuhi keperluan hidupnya sendiri. Allah (swt) telah mewajibkan ke atas setiap orang lelaki yang baligh dan mampu (sihat tubuh badan) untuk bekerja mencari rezeki. Dengan bekerja dan memperolehi pendapatan atau hasil, maka setiap individu tadi akan dapat memenuhi keperluan asasnya, sekali gus akan terlepas daripada dosa.

Di sebalik kewajipan lelaki untuk mencari pekerjaan atau nafkah, perlu difahami bahawa wajib bagi negara (pemerintah) menyediakan pelbagai lapangan kerja agar setiap orang yang mampu bekerja dapat berbuat demikian. Dengan kata lain, negara tidak boleh membiarkan berlakunya pengangguran, kerana hal ini akan menyebabkan urusan nafkah tidak dapat dipenuhi oleh mereka yang seharusnya memberi nafkah. Rasulullah (saw) bersabda:

الإِمَامُ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Pemimpin adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim].

Sesungguhnya Nabi (saw) dalam kapasitinya sebagai seorang Ketua Negara telah mengatur secara langsung urusan orang-orang yang menganggur, dan menciptakan peluang pekerjaan untuk mereka:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ رَجُلًا مِنْ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ يَسْأَلُهُ فَقَالَ: لَكَ فِي بَيْتِكَ شَيْءٌ؟ قَالَ: بَلَى، حِلْسٌ نَلْبَسُ بَعْضَهُ وَنَبْسُطُ بَعْضَهُ وَقَدَحٌ نَشْرَبُ فِيهِ الْمَاءَ. قَالَ: ائْتِنِي بِهِمَا. قَالَ: فَأَتَاهُ بِهِمَا، فَأَخَذَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ: مَنْ يَشْتَرِي هَذَيْنِ؟ فَقَالَ رَجُلٌ: أَنَا آخُذُهُمَا بِدِرْهَمٍ، قَالَ: مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ؟ (مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاثًا)، قَالَ رَجُلٌ: أَنَا آخُذُهُمَا بِدِرْهَمَيْنِ، فَأَعْطَاهُمَا إِيَّاهُ وَأَخَذَ الدِّرْهَمَيْنِ فَأَعْطَاهُمَا الأَنْصَارِيَّ وَقَالَ: اشْتَرِ بأَحَدِهِمَا طَعَامًا فَانْبِذْهُ إِلَى أَهْلِكَ وَاشْتَرِ بِالْآخَرِ قَدُومًا فَأْتِنِي بِهِ، فَفَعَلَ، فَأَخَذَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَشَدَّ فِيهِ عُودًا بِيَدِهِ وَقَالَ: اذْهَبْ فَاحْتَطِبْ وَلا أَرَاكَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا. فَجَعَلَ يَحْتَطِبُ وَيَبِيعُ، فَجَاءَ وَقَدْ أَصَابَ عَشْرَةَ دَرَاهِمَ فَقَالَ: اشْتَرِ بِبَعْضِهَا طَعَامًا وَبِبَعْضِهَا ثَوْبًا ثُمَّ قَالَ: هَذَا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تَجِيءَ وَالْمَسْأَلَةُ نُكْتَةٌ فِي وَجْهِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لا تَصْلُحُ إِلا لِذِي فَقْرٍ مُدْقِعٍ أَوْ لِذِي غُرْمٍ مُفْظِعٍ أَوْ دَمٍ مُوجِعٍ

“Anas bin Malik meriwayatkan: Seorang lelaki Ansar mendatangi Nabi (saw) dan mengemis pada baginda. Nabi (saw) lalu bertanya, ‘Apakah kamu tidak mempunyai apa-apa di rumahmu?’ Lelaki itu menjawab, ‘Ada, sepotong kain yang sebahagiannya kami pakai dan sebahagian lagi kami jadikan alas, dan sebuah mangkuk kayu tempat kami minum air.” Nabi (saw) bersabda, ‘Bawakan kepadaku.” Lelaki itu kemudian membawa barang-barang itu kepada Nabi (saw) dan Nabi (saw) mengambilnya seraya berkata, ‘Siapakah yang ingin membeli barang-barang ini?’ Seseorang berkata, ‘Aku akan membelinya dengan satu dirham.’ Nabi (saw) berkata lagi sebanyak dua atau tiga kali, ‘Siapakah yang ingin menawarkan lebih dari satu dirham?’ Seseorang berkata, ‘Aku akan membelinya dengan dua dirham’. Nabi (saw) lalu menjualnya dengan harga dua dirham, kemudian bersabda (kepada lelaki itu), ‘Belilah makanan dengan satu dirham dan berikan kepada keluargamu. Sisanya belilah kapak dan bawakan kepadaku.’ Lelaki itu kemudian membawakan kapak kepada Nabi (saw), lalu baginda (saw) memasang hulu kapak tersebut dengan tangan baginda sendiri seraya berkata, ‘Pergilah cari kayu api dan jualkannya, dan temui aku semula selepas dua minggu.’ Lelaki itu pergi mencari kayu api dan menjualnya. Ketika dia berjaya memperolehi sepuluh dirham (hasil jualan), kemudian dia datang kepada Nabi (saw) dengan pakaian dan makanan yang telah dibelinya. Nabi (saw) bersabda, ‘Ini lebih baik bagimu daripada mengemis, yang akan membuat cacat wajahmu pada hari kiamat. Mengemis (meminta-minta) hanya boleh dilakukan oleh tiga orang: orang yang tersangat faqir, orang yang dibelenggu hutang, dan orang yang dalam kesusahan membayar dam.”

Umar al-Khattab, semasa menjadi Khalifah, pernah memasuki sebuah masjid di luar waktu solat lima waktu dan didapatinya ada dua orang sedang berdoa kepada Allah (swt). Umar lalu bertanya:

“Apa yang sedang kamu lakukan, sedangkan orang lain sibuk bekerja?’ Mereka menjawab, ‘Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah.’ Mendengar jawapan tersebut Umar terus marah seraya berkata, ‘Kamu adalah orang-orang yang pemalas padahal kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.’ Kemudian Umar memberi mereka setakar biji-bijian dan memerintahkan mereka keluar daripada masjid seraya berkata, ‘Tanamlah dan bertawakallah kamu kepada Allah’

Peristiwa-peristiwa ini, di samping terdapat banyak hadis lainnya, menunjukkan bahawa pemerintah adalah berkewajipan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada para penganggur, dan pemerintah tidak boleh membiarkan keadaan pengangguran berleluasa dalam negara. Dengan kata lain, menyediakan lapangan kerja adalah kewajipan negara dan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab negara dalam memelihara dan mengatur urusan rakyat.

Ringkasnya, setiap lelaki yang baligh, berakal dan mampu, wajib mencari kerja / nafkah. Manakala pemerintah pula wajib menyediakan lapangan pekerjaan bagi memastikan setiap individu rakyatnya dapat memenuhi kewajipan nafkah mereka.

Kedua: Sekiranya lelaki tersebut adalah seorang suami iaitu merupakan ketua keluarga, maka kewajipan ke atasnya untuk memenuhi keperluan asas orang-orang yang berada di bawah tanggungannya, atau dengan kata lain dia wajib menafkahi isteri dan anak-anaknya. Allah (swt) berfirman:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu” [At-Talaq (65): 6].

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan makruf” [Al-Baqarah (2): 233].

Hakim bin Muawiyah bin Haydah al-Qusairi menuturkan dari bapanya, Muawiyah bin Haydah yang berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah (saw), ‘Apakah hak isteri salah seorang daripada kami yang menjadi kewajipan suaminya?’ Baginda menjawab:

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهِ وَلاَ تُقَبِّحْ وَلاَتَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ

“Engkau memberi dia makan jika engkau makan, dan memberi dia pakaian jika engkau berpakaian; janganlah engkau memukul wajah, jangan mencela dan jangan meninggalkannya kecuali di dalam rumah” [HR Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasa’i, Ahmad, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi].

Amru bin al-Akhwas menuturkan bahawa di antara khutbah Rasulullah (saw) pada haji wada’, ialah (sabda baginda):

أَلاَ وَإِنَّ حَقَّهُنَّ عَلَيْكُمْ أَنْ تُحْسِنُوا إِلَيْهِنَّ فِي كِسْوَتِهِنَّ وَطَعَامِهِنَّ

“Ingatlah, sesungguhnya hak mereka (para isteri) yang menjadi kewajipan atas kalian adalah kalian membaguskan untuk mereka, pakaian dan makanan mereka” [HR at-Tarmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah].

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

وَكَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوْتُ

“Cukuplah seseorang dianggap berdosa jika mengabaikan orang yang menjadi tanggungannya” [HR Abu Daud, Ahmad, an-Nasa’i, Ibnu Hibban, al-Baihaqi, al-Hakim, dan ath-Thabarani].

Dengan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga dalam mencari nafkah, maka keperluan asas untuk dirinya dan keluarganya akan terpenuhi insya Allah.

Bersambung…