Bagaimana Khilafah diruntuhkan, dan usaha untuk mengembalikannya sebagai isu hidup dan mati bagi umat Islam hari ini (Siri 2 – Akhir)
Penyertaan Daulah Khilafah di dalam Perang Dunia Pertama (PD1) dengan berpihak kepada Jerman boleh dianggap sebagai titik tolak permulaan kehancurannya. Britain yang merupakan negara utama blok Perikatan melihat peluang untuk menghancurkan Khilafah melalui seorang pegawai tentera Daulah Khilafah bernama Mustafa Kemal. Britain secara licik mula mempopularkan Mustafa Kemal dan mengorak jalan baginya untuk meraih kekuasaan.
Setelah Perikatan memperoleh kemenangan dalam PD1, Daulah Khilafah mula berada di bawah genggaman Barat dan Britain mula menempa langkah untuk Mustafa Kemal menghapuskan kekhilafahan Islam di Turki. Melalui percaturan politik Mustafa Kemal yang menggambarkan bahawa Sultan hanya mengikuti kehendak Britain dalam pemerintahannya, rakyat mula menyokongnya dan beliau berjaya menubuhkan sebuah kerajaan bebas di Ankara.
Menyedari perkara ini, Sultan menghantar pasukan tentera untuk menghancurkan kerajaan tersebut. Walaupun kedudukan Mustafa Kemal sangat kritikal ketika itu, pada waktu inilah juga perincian Perjanjian Sevres yang menempatkan Sultan pada posisi yang lemah diterbitkan oleh Britain sebagai strategi untuk membantu Mustafa Kemal. Sultan dilihat sebagai rela untuk menggadaikan Daulah kepada Barat dan ini membolehkan Mustafa Kemal memperoleh kembali sokongan rakyat kepadanya.
Melihat kepada peristiwa ini, jelas sekali Britain memainkan peranan yang cukup penting dan licik dalam menaikkan Mustafa Kemal ke pemerintahan, sekali gus menghapuskan Khilafah. Kejayaan Mustafa Kemal mengekalkan kerajaannya di Ankara menyebabkan pengaruh dan kuasa Sultan mula melemah. Ankara mula dilihat dan di iktiraf sebagai kerajaan bebas dan urusan politik negara diambil alih oleh kerajaan ini menggantikan Istanbul sebagai pusat Daulah Khilafah.
Dengan kekuasaan yang semakin kuat ini, Mustafa Kemal memulakan strateginya untuk menghapuskan institusi kekhilafahan dari muka bumi. Setelah persyaratan Perjanjian Lausanne pada tahun 1922 bahawa Khilafah mesti dibubarkan dan Turki disekularisasikan, dengan pelbagai tipu daya dan helah serta sokongan tegar Britain, akhirnya Mustafa Kemal (laknatullah) berjaya mengumumkan bahawa Daulah Khilafah dibubarkan, tepatnya pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M).
Setelah pembubaran ini, dunia Islam mula terpecah belah dan dengan usaha kolonialisme Barat, seluruh dunia Islam berlepas diri dari penerapan hukum Allah, lalu menerapkan hukum kufur sepenuhnya.
Mengembalikan Daulah Khilafah Merupakan Isu Kritikal Umat Islam
Dunia hari ini menyaksikan dengan jelas kedudukan umat Islam yang terkebelakang dalam segenap aspek kehidupan. Umat Islam menjadi umat yang tidak habis-habis diperangi dengan kejam oleh puak kuffar dan dizalimi oleh pemimpin mereka sendiri. Di sana sini umat Islam dibunuh, dihalau dari negeri mereka, dihina dan ditindas – tanpa sebarang perlindungan dan pembelaan daripada mana-mana pemimpin mereka. Apa yang menyedihkan, dengan lebih 50 buah negara kaum Muslimin, tidak ada satu pun negara yang secara komited menghulurkan sebarang bantuan. Kalau ada pun, hanya sekadar melepaskan batuk di tangga untuk mendapat political mileage.
Pemerintah Muslim pada hari ini secara total telah kepada Barat dan menerapkan sistem Barat dalam segenap aspek pemerintahan – politik, ekonomi, sosial, uqubat dan sebagainya. Dalam bidang sains dan teknologi pula, dunia Islam terlalu jauh ke belakang berbanding Barat.
Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, negara-negara umat Islam banyak bergantung kepada Barat dalam mencari solusi dan menangani penyakit ini. Sangat sedikit usaha atau kepakaran dari negara kaum Muslimin untuk mencari penawar atau vaksin bagi penyakit ini. Manakala dari aspek Standard Operating Procedure (SOP), pemerintah umat Islam mengikuti apa sahaja yang ditetapkan oleh Barat walau sehingga jelas melanggar hukum syarak seperti penutupan masjid dan penjarakan saf solat berjemaah. Hakikatnya, dilihat dari aspek mana pun, dunia Islam hari ini berada dalam situasi yang sangat buruk.
Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada umat ini? Selama lebih 1300 umat Islam mendahului umat yang lain dalam segenap aspek kehidupan. Umat Islam merupakan umat yang mempelopori bidang sains dan teknologi pada suatu ketika dahulu. Tentera umat Islam merupakan tentera yang digeruni dan disegani oleh kawan dan lawan. Mengapa kita berada dalam situasi yang terpuruk hari ini sedangkan kita merupakan pemimpin dunia suatu waktu dahulu? Apa yang pasti ialah, semua ini berlaku sejak kejatuhan Khilafah, sedangkan pada waktu wujudnya Khilafah, umat Islam menjadi pemimpin dunia dalam segenap bidang. Justeru, persoalannya, bagaimana caranya untuk kita membebaskan diri kita dari situasi yang cukup buruk ini?
Penawar hakiki bagi situasi ini terletak pada umat Islam itu sendiri – adakah umat ini menganggap bahawa masalah yang mereka hadapi sebagai masalah remeh, atau masalah yang cukup besar. Di sinilah penting aspek persepsi umat – sama ada mereka mempunyai persepsi yang benar atau tidak dalam isu ini. Apabila mereka mempunyai persepsi bahawa masalah yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini merupakan masalah yang cukup kritikal, masalah hidup atau mati, maka mereka akan sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk jiwa mereka untuk menangani dan mengatasinya. Jika persepsi ini masih belum mendominasi kaum Muslimin hari ini, maka selama itulah umat Islam akan terus berada dalam keadaan terpuruk ini.
Apabila umat Islam mula melihat keterpurukan ini sebagai isu hidup atau mati, maka pada ketika itulah kaum Muslimin akan benar-benar teguh dan bersungguh-sungguh untuk mengubah realiti tersebut. Kenapa ia perlu melihat isu ini sebagai isu hidup dan mati? Kerana segala masalah ini boleh disimpulkan berpunca dari satu sebab sahaja, iaitu jatuhnya Khilafah, hukum Allah tidak lagi diterapkan dan diganti dengan hukum kufur. Apabila tidak ada negara yang menerapkan hukum Allah, sebaliknya diganti dengan hukum kufur yang berasal dari Barat, maka kerana itulah umat Islam menderita dan hidup dalam keterpurukan.
Maka umat ini wajib bangkit dan menunaikan kewajipannya – bangkit untuk mencampakkan hukum kufur ini, lalu mengembalikan semula hukum Allah secara kaffah. Inilah isu hidup dan mati umat Islam, sebagaimana Rasulullah (saw) dan para sahabat dulu bangkit untuk mencampakkan hukum Jahiliah dan menggantikannya dengan hukum Allah. Inilah isu hidup dan mati generasi awal Islam, yang wajib diikuti oleh generasi hari ini, bagi mengembalikan semula kemuliaan dan kekuatan mereka dan meraih redha Tuhan mereka.
Realitinya sekarang, keseluruhan wilayah umat Islam terpecah-belah dan terlalu lemah untuk menghadapi kaum kuffar, kerana pengkhianatan oleh pemimpin mereka. Bukannya tentera umat Islam tidak ada atau tidak kuat, tetapi mereka dikurung oleh pemerintah ini di berek-berek mereka. Maka usaha yang wajib dilakukan oleh umat hari ini ialah untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sistem dan undang-undang kufur yang diterapkan hari ini, lalu menerapkan hukum Allah sepenuhnya, serta mempersatukan kembali umat Islam berserta wilayah-wilayahnya ke dalam satu kesatuan, iaitu Khilafah.
Khilafah merupakan asas kekuatan politik umat Islam yang akan membolehkan kaum Muslimin kembali memimpin dunia secara ideologis dan inilah isu kritikal umat hari ini – inilah isu hidup atau mati umat Islam.
Perlu diingat bahawa usaha yang dimaksudkan bukanlah hanya sebatas menegakkan Khilafah, lalu berdiam diri selepas penegakannya. Ia melibatkan usaha yang berat, yakni untuk menegakkan Khilafah itu sendiri, dan usaha untuk menyebarkan Islam, mendapatkan kembali wilayah-wilayah Islam yang dirampas oleh golongan kafir, membuka (futuhat) wilayah-wilayah baru serta menyampaikan risalah Islam ke seluruh penjuru dunia. Ini merupakan tugas yang amat berat sekali dan tugas yang memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Namun usaha yang berat ini bukanlah mustahil, dan usaha yang berat ini akan menjadi ringan apabila dipikul oleh setiap dari kita, dan walaupun berat, sungguh ia amat ringan di sisi Allah untuk memberikan pertolongan kepada kita.
Selain dari itu, umat harus sedar bahawa thariqah (jalan) untuk menegakkan Khilafah itu juga hendaklah thariqah yang benar/syarie. Barulah perjuangan untuk menegakkannya akan mencapai kemenangan dan diredhai Allah.
Sekiranya kita perhatikan persepsi umat mengenai isu penyatuan dunia Islam, kita dapat melihat bahawa ia memang merupakan suatu yang diimpikan oleh ramai umat dan pastinya ada usaha ke arah itu yang dilakukan oleh sebahagian kaum Muslimin. Namun pada masa yang sama masih ramai antara umat yang tidak melihat isu tersebut sebagai isu hidup atau mati.
Oleh kerana rendahnya tahap persepsi umat bahawa perjuangan untuk menyatukan umat Islam dan menegakkan Khilafah adalah suatu isu yang amat kritikal bagi umat (isu yang melibatkan aspek hidup atau mati), maka usaha yang dicurahkan acapkali tidak berkualiti, kerana tidak disertai dengan kesediaan untuk berkorban, bertahan atas segala dugaan berat dan kesediaan untuk menanggung risiko kehilangan segala-galanya, termasuklah nyawa.
Inilah yang menjadi asbab kenapa kaum Muslimin masih belum dapat bersatu dan Khilafah masih belum berjaya ditegakkan. Oleh itu, umat Islam perlu sedar mengenai isu kritikal ini, bahawa mereka tidak ada pilihan lain kecuali turut serta di dalam perjuangan ini dengan melihatnya sebagai isu hidup atau mati.
Ini adalah kerana tidak ada jalan lain untuk mengubah realiti umat ini kecuali dengan perjuangan menegakkan kembali Khilafah dan ia merupakan kewajipan yang agung. Sirah dan perjuangan Rasulullah (saw) merupakan dalil kepada kita akan wajibnya kita menjadikan isu ini sebagai isu hidup atau mati. Rasulullah (saw) bersabda di dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Ishaq dalam al-Maghazi (Sirah Ibnu Hisyam) dengan sanad dari Ya’qub bin Utbah bin al-Mughirah bin al-Akhnas,
وَاللَّهِ يَا عَمِّ ، لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي ، وَالْقَمَرَ فِي شِمَالِي ، عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الأَمْرَ مَا تَرَكْتُهُ ، حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ…
“Wahai bapa saudaraku, demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan perkara ini (dakwah hingga tegaknya hukum Allah), aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memenangkanku atau aku binasa (mati) kerananya.”
Sumpah Rasulullah (saw) ini merupakan dalil bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah suatu isu vital, isu hidup dan mati. Oleh kerana Rasulullah (saw) dan para sahabat melihat dan menghadapi isu ini sebagai isu hidup dan mati, maka dengan izin Allah (swt), Islam telah menyinari dunia ini dengan cahaya hidayah, keadilan dan kesejahteraan. Begitulah juga apa yang wajib dilakukan oleh umat Islam pada hari ini. Hanya dengan menjadikan perjuangan ini sebagai hidup dan mati, barulah hukum Allah (swt) dapat ditegakkan kembali di bawah naungan Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang akan berdiri buat yang kedua insya Allah.
Wallahu a’lam.