Bahana Ajaran Sekular-Kapitalisme : Rogol Anak, Nikah Emak
Oleh Mohamed Farid Noh
Juruteknik disabit 2 tuduhan; Dipenjara 10 tahun, 6 sebatan
PETALING JAYA: Seorang juruteknik dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, atas dua tuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, 10 hari sebelum bernikah dengan ibu remaja berkenaan, lima tahun lalu.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi tuduhan pertama manakala tuduhan kedua pula enam tahun ke atas Hamdan Ahadluddin, 49.
Bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 7 Februari 2005, iaitu 10 tahun saja.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati Hamdan yang membela diri sendiri gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
“Tertuduh menafikan berada di tempat kejadian dengan mengatakan dirinya berada di tempat kerja, tetapi melalui keterangan saksi utama iaitu mangsa dan ibunya, mahkamah mendapati bukti berkenaan sebagai hanya penafiannya semata-mata.
“Pengecaman yang dilakukan oleh mangsa serta keterangannya mengenai kesan koyak pada selaput daranya adalah konsisten dan disahkan pakar perubatan,” katanya.
Hamdan dituduh cuba merogol mangsa ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Lembah Subang, kira-kira jam 2 petang, pada November 2004 manakala tuduhan kedua, dia merogol mangsa di lokasi sama seminggu sebelum Aidiladha, jam 2 petang 21 Januari 2005.
Hamdan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan memohon mahkamah memberi hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.
“Tertuduh sebagai bakal bapa tiri kepada mangsa dan akan berkahwin dengan ibu mangsa 10 hari sebelum kejadian terbabit seharusnya tidak mengambil kesempatan dengan memusnahkan hidup remaja berkenaan,” katanya.
Tertuduh yang juga duda tiga anak dalam rayuannya pula memberitahu mahkamah bahawa dia sudah insaf dan memohon mahkamah memberikannya peluang untuk membina keluarga serta menjadi warga negara yang berjasa kepada agama, bangsa dan masyarakat.
Rozina selepas membacakan keputusannya turut menasihatkan tertuduh supaya mengotakan janjinya kepada mahkamah untuk menjadi manusia berguna selepas menjalani hukuman nanti.
“Saya melihat kelakuan kamu sepanjang prosiding dalam mahkamah sebagai profesional ketika membela diri sendiri dan berpotensi menjadi seorang peguam,” katanya.
Sumber : Berita Harian 08/11/2009
Mungkin ada yang bersimpati, jijik atau meluat terhadap apa yang berlaku ke atas gadis tersebut. Sudah terlampau banyak kisah-kisah sebegini yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan. Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini. Perkara sebegini akan terus berlaku apabila sebahagian besar individunya tidak menjadikan Islam sebagai asas pemikiran, perasaan dan sistem yang diterapkan.
Sampai bilakah kita akan dipaparkan dengan berita-berita hina dan memualkan ini? Ya, sudah pasti selagi mana sistem sekular Kapitalisme yang mengagungkan kebebasan bertingkahlaku ini terus diterapkan oleh pemerintah yang ada pada hari ini, maka tidak akan ada yang dapat mencegah peristiwa-peristiwa seperti di atas daripada terus berlaku. Untuk kes di atas, siapakah yang bersalah dan harus dipersalahkan? Adakah individu (lelaki itu sendiri) yang telah melanggar hukum syara’, atau masyarakat yang tidak memainkan peranan untuk melakukan amar makruf dan mencegah mungkar, ataupun yang paling besar sekali adalah negara kerana tidak menerapkan sistem sosial Islam?
Sebagai contoh, Islam telah memerintahkan kepada manusia, samada lelaki atau pun wanita untuk menundukkan pandangan. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Katakanlah kepada lelaki Mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada melihat yang terlarang) dan menjaga kehormatannya (daripada zina), sesungguhnya Allah Maha Tahu atas apa yang mereka lakukan. Katakanlah kepada wanita Mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada melihat yang terlarang) dan menjaga kehormatannya (daripada zina) [TMQ Surah an-Nur (24): 30-31]. Sekiranya panduan yang digariskan ini diikuti, pasti ianya dapat mencegah manusia daripada terjebak dalam perkara-perkara yang mendorong ke arah penyimpangan seksual.
Undang-undang yang ada pula dengan mudah dipermainkan apabila nilai denda/hukuman yang dikenakan langsung tidak menggerunkan, malahan seperti satu gurauan terhadap pesalah itu. Pihak pemerintah dan penguasa memandang masalah sosial ini sebagai isu individu dan bukannya satu jenayah besar yang mesti dibanteras sekeras-kerasnya. Padahal Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman: “Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. [TMQ an-Nisa’ (4): 65]
Dalam perlaksanaan sistem yang dianjurkan oleh Islam, tanggungjawab untuk memastikan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam terletak ditangan setiap ahli masyarakat dan juga negara. Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihatnya, manakala Negara pula adalah satu institusi pelaksana (qiyan tanfizi) yang penting, yang mana Negaralah yang akan menghukum (uqubat) setiap orang yang melanggar hukum Allah. Jadi, dengan kata lain kehidupan itu wajib diatur dengan sistem Islam, dan jika masih wujud pelanggaran, maka Negaralah yang akan mengenakan hukuman terhadap setiap pelaku maksiat tersebut dan hukuman itu mestilah uqubat Islam, bukannya hukuman akal ciptaan manusia.
Perlaksanaan hukuman Islam ini akan mewujudkan dua fungsi iaitu sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa di akhirat). Allah berfirman, “Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan mengenai sesuatu perkara (tidaklah patut mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dalam kesesatan yang jelas nyata”. [TMQ Surah Al-Ahzab (33): 36]
Permasalahan sosial yang kita lihat masa kini, benar-benar memerlukan sebuah negara bagi menerapkan hukum Islam secara kaffah(menyeluruh). Selagi tiadanya Daulah Khilafah yang akan menerapkan hukum-hukum Allah secara kaffah di dunia ini, selagi itulah kita akan menyaksikan masalah kehidupan yang bertali arus, yang tiada kesudahannya.
Hanya mereka yang memiliki ketakwaan yang tinggi sahaja yang akan sanggup bergadai nyawa untuk mengenggam hukum Allah ini, walaupun ia umpama mengenggam bara api. Bagi para pelaku maksiat yang tidak memiliki ketakwaan ini, maka golongan tersebut hanya boleh diubah dengan adanya sebuah sistem yang datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Saidina Usman bin Affan pernah berkata, “Sultan (kekuasaan) itu akan meluruskan manusia yang tidak dapat diluruskan oleh Al-Quran.” Maksudnya, jika manusia itu tidak mengikuti apa yang diperintahkan oleh Al-Quran, maka penguasalah (Khalifah) yang akan menghukum mereka (dengan kata lain meluruskan mereka kembali).
Semoga kekuasaan (Khilafah) ini segera muncul dan pasti mampu meluruskan kembali manusia dengan Al-Quran serta mengembalikan kehidupan Islam sama ada di dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan juga bernegara. InsyaAllah