Bahaya Pemikiran Liberal

Pemikiran atau fahaman seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan lain-lain yang semisalnya adalah pemikiran yang lahir daripada masyarakat barat berdasarkan aqidah sekular. Pemikiran liberalisme misalnya lahir berdasarkan pandangan hidup bahawa manusia berhak menentukan apa yang terbaik untuk dirinya serta menolak sebarang pemaksaan oleh mana-mana agama atau cara hidup keatas manusiaOleh itu, membebaskan diri daripada sebarang keterikatan dengan norma hidup masyarakat atau ajaran agama adalah unsur kebebasan  intelektual yang  sangat penting dalam fahaman liberalisme. Bahkan ianya dianggap sebagai tindakan manusia berakal dan progresif serta merupakan unsur penting untuk mencapai kemajuan.

Lahirnya pemikiran liberalisme, sekularisme dan lain-lain semisalnya dalam masyarakat barat merupakan perkara yang wajar akibat daripada kemunduran yang sedang mereka alami ketika itu. Masyarakat barat ketika zaman Dark Ages  mengalami kemunduran hampir dalam seluruh aspek kehidupan mereka sama ada dalam bindang sains dan teknologi, pemerintahan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Hal ini terjadi kerana segala pemikiran dan kehidupan masyarakat barat ketika itu dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh pihak gereja dan istana. Golongan gereja yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pihak istana telah bersama-sama mempergunakan ajaran agama kristian untuk mengongkong kehidupan masyarakat barat demi kepentingan mereka.

Apabila zaman pencerahan (renaissance) berlaku dibarat akibat daripada perkembangan intelektual hasil daripada interaksi mereka dengan tamadun Islam, maka lahirlah ramai pemikir-pemikir barat yang mula bangkit mempersoalkan kongkongan pihak gereja ke atas mereka. Para pemikir tersebut  telah bangkit mempertikaikan manipulasi ajaran agama kristian oleh pihak gereja yang dikatakan menjadi penghalang kepada kemajuan dan kebebasan intelektual manusia. Selain itu, perkembangan intelektual dalam masyarakat barat juga telah membangkitkan perjuangan untuk menentang pemerintahan secara beraja (monarki) kerana dianggap sebagai sistem yang bersifat autokrasi dan penghalang kepada  pembentukan pemerintahan yang kuat.

Tidak dapat dinafikan bahawa pembentukan sebuah kerajaan yang kuat dan kemajuan lahiriah yang dikecapi oleh masyarakat barat pada ketika ini adalah kesan langsung daripada perkembangan intelektual yang telah melahirkan idea-idea baharu seperti liberalism, sekularisme, pluralisme dan sebagainya. Maka atas sebab itu,  ramai umat Islam ketika ini yang telah terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran barat seperti yang disebutkan diatas apabila bercakap tentang kemunduran dan kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini. Bahkan sudah semakin ramai umat Islam termasuklah di Malaysia yang secara tidak langsung mula mempertikaikan ajaran Islam dengan cara yang sangat halus. Misalnya mereka mempersoalkan tentang methodologi keilmuan Islam yang berasaskan kepada ijtihad dan panduan yang telah gariskan oleh ulama-ulama silam.

Menurut mereka Islam perlu ditafsirkan semula berdasarkan perubahan dan perkembangan semasa, tidak boleh lagi terikat dengan panduan dan penafsiran yang diberikan oleh ulama-ulama silam. Mereka berhujah bahawa panduan dan penafsiran oleh ulama-ulama silam adalah bersesuaian untuk zaman mereka, bukan untuk zaman sekarang. Bagi umat Islam yang kurang memahami tentang methodologi keilmuan Islam khususnya golongan terpelajar  daripada golongan anak muda,  sudah tentu mereka mudah terpengaruh dengan kefahaman sedemikian. Walhal pada hakikatnya, kefahaman tersebut merupakan cara halus untuk membuka ruang agar ajaran Islam dapat difahami dan ditafsirkan secara liberal, yang akhirnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Pelbagai cabang ilmu yang telah diasaskan oleh para ulama silam merupakan khazanah ilmuan yang sangat penting bagi membimbing umat Islam dalam memahami dan melaksanakan ajaran Islam seperti yang terkandung dalam Al-Quran dan As Sunnah.

Sebenarnya apa yang paling penting untuk umat Islam fahami dan sedari ialah kemunduran dan kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini adalah  kerana umat Islam tidak menerapkan ajaran Islam secara keseluruhan dalam kehidupan. Umat Islam sama sekali tidak memerlukan pemikiran dan tidak perlu mencontohi pengalaman yang telah dilalui oleh barat untuk bangkit daripada kemunduran. Apatah lagi kemajuan yang sedang dikecapi oleh barat ketika ini merupakan kemajuan yang tidak memberikan kebahagian yang hakiki. Diseebalik kemajuan yang sedang mereka kecapi, masyarakat mereka menjadi semakin rosak dan semakin kosong dengan nilai-nilai hidup kemanusian.

Umat Islam mesti meyakini dengan sepenuh hati bahawa Islam adalah ajaran wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT lengkap dari segenap aspek pemikiran (fikrah) mahupun tatacara pelaksanaannya (tariqah). Umat Islam hanya perlu mengkaji dan memahaminya kemudian berusaha untuk menerapkkan seluruh kandungan ajaran Islam dalam kehidupan. Inilah yang menjadi kunci kepada kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu, yakni Islam diterapkan secara keseluruhan dalam segenap aspek kehidupan.

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM