Kerajaan perlu melangkah kembali kepada hukum Al-Quran dan As-Sunnah

Kuala Lumpur 24 Julai – Semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Agama Dalam Pencarian Keamanan dan Keadilan Sejagat di Kuala Lumpur hari ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggariskan empat langkah bagi memerangi tafsiran sempit ajaran Islam yang dilakukan oleh golongan ekstremis sehingga menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan kesengsaraan kepada ummah.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata, langkah pertama ialah merombak kurikulum agama di sekolah supaya ia menekankan tafsiran agama bersifat sejagat. Langkah kedua ialah supaya golongan cendekiawan Islam mendekati masyarakat bagi menerangkan ajaran Islam sebenar dan langkah ketiga media perlu memperjuangkan nilai sejagat Islam. Tambahnya lagi, langkah keempat ialah melaksanakan nilai-nilai positif Islam dari peringkat kerajaan hingga keluarga.

Tidak habis-habis nampaknya istilah ekstremis digunakan oleh kerajaan untuk melabelkan golongan tertentu di dalam usaha menyekat mereka untuk mempengaruhi masyarakat. Siapakah golongan yang dilabelkan sebagai ekstremis itu? Apakah yang dimaksudkan dengan tafsiran sempit? Adakah golongan ekstremis ini benar-benar telah memberi tafsiran ajaran Islam yang sempit?

Sudah menjadi lumrah bagi mana-mana kerajaan atau penguasa di dunia ini untuk menentang segala bentuk pemikiran dan perjuangan yang tidak selari dan bertentangan dengan apa yang sedang dilaksanakan oleh mereka. Jadi melabel kelompok/gerakan Islam dengan istilah ekstremis, fundamentalis dan radikal adalah sebahagian daripada propaganda untuk memburukkan usaha-usaha mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah di tengah-tengah masyarakat.

Memang kita pun tidak mahu kepada tafsiran yang sempit tantang Islam, namun apakah apakah tafsiran luas yang diinginkan kerajaan? Apakah dengan menerapkan sistem kufur warisan British sekarang merupakan satu tafsiran Islam yang luas? Apakah dengan merampas hak rakyat seperti minyak, gas, air, elektrik dan sebaginya dan menjual balik kepada rakyat dengan harga yang melambung tinggi, merupakan satu tafsiran Islam yang luas. Apakah segala konsep kebebasan Barat yang diterapkan dalam sistem sosial pada hari ni merupakan manifestasi kepada tafsiran Islam yang luas? Siapakah yang telah menyalahtafsirkan Islam di sini? Sistem kufur yang sedang diterapkan oleh kerajaan pada ketika ini yang berasaskan kepada konsep pemisahan di antara agama dan kehidupan (sekularime), apakah ini adalah ajaran Islam yang benar???

Istilah Islam ekstremis dan fundamentalis hanya merupakan istilah rekaan Barat dan menjadi alat propaganda mereka untuk menghalang pelaksanaan Islam yang sebenar. Apa yang Barat mahukan ialah “Islam Moderat”, sebagaimana yang dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin Islam yang ada hari ini, dan konsep Islam moderat ini hendaklah dikekalkan. Inilah yang Barat mahukan. Oleh kerana itu, penafsiran-penafsiran Islam yang berlawanan dengan “Islam moderat” yang dibawa oleh kerajaan, seperti yang sedang diperjuangkan oleh gerakan-gerakan Islam yang ingin menegakkan hukum Islam secara kaffah, pemikiran seperti inilah yang cuba dihalang oleh kerajaan. Walhal pemikiran inilah yang sepatutnya ada pada kerajaan, yakni pemikiran Islam yang tidak bercampur aduk dengan pemikiran Barat, pemikiran untuk menegakkan agama Allah secara kaffah. Inilah pemikiran Islam yang benar, yakni melaksanakan hukum Allah berlandaskan al-Quran dan al-Hadis sepenuhnya, dengan membuang segala hukum kufur warisan penjajah ini dari bumi umat Islam.