Bajet 2023 tertunda, rakyat merana
Pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Dato’ Seri ISmail Sabri semalam telah pun dijangka oleh banyak pihak yang sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air. Walaupun pembubaran tersebut telah diperkenankan oleh YDPA, namun rata-rata di kalangan rakyat masih tidak berpuas hati kerana bajet 2023 yang dibentangkan beberapa hari lepas belum diluluskan. Bajet yang dibentangkan merupakan yang paling besar di dalam sejarah dan dikatakan hampir semua lapisan masyarakat akan mendapat manfaatnya, namun, ramai menganggap ianya hanyalah ‘gula-gula’ untuk pilihan raya! Dan lebih penting, berapa lama sebelum bajet yang telah dibentang dapat dilaksanakan dan bagaimana kesannya terhadap rakyat?
Bilakah bajet 2023 boleh diluluskan?
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, “Kalau kita ambil contoh sejarah lepas, proses pilihan raya, pembentukan kerajaan, Ahli Parlimen angkat sumpah dan meluluskan bajet, semua proses ini mengambil masa yang lama.” Sebagai contoh dalam PRU 14 yang lepas, masa yang diperlukan sejak parlimen bubar sehingga hari mengundi adalah 6 minggu atau 42 hari. Manakala selepas PRU14 pula, dari pembentukan kerajaan (10 Mei 2018), lantikan kabinet sehinggalah ahli-ahli parlimen mengangkat sumpah pada 15 Julai 2018, mengambil masa 66 hari.” Yang jelas, dari pembubaran parlimen sehinggalah persidangan parlimen yang baru mengambil masa lebih 100 hari. Itupun jika pembentukan kerajaan boleh dilakukan dengan mudah di mana parti yang menang mempunyai majoriti. Namun, jika tiada parti yang memiliki majoriti, maka proses pembentukan kerajaan memakan masa yang jauh lebih lama.
Kesan terhadap rakyat dan negara
Pada kebiasaannya, sebuah rancangan perbelanjaan kerajaan yang telah diluluskan oleh parlimen pada suatu tahun akan mula dikuatkuasakan pada setiap 1 Januari pada tahun berikutnya. Penganalisis Ekonomi, Prof, Dr Barjoyai Bardai berkata, “Kelewatan kelulusan bajet 2023 akan membawa kesan perbelanjaan mengurus kerajaan seperti pembayaran gaji penjawat awam, bayaran khidmat hutang, pencen dan ganjaran, pemberian subsidi kepada pengeluar dan pengguna, dan pemberian dan serahan kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun.”
Menurut Barjoyai lagi, bajet 2023 amat penting untuk menampung kenaikan kos sara hidup kesan dari krisis ekonomi global tahun hadapan. “Negara mengamalkan ekonomi terbuka dengan aktiviti import sebanyak 80 peratus meliputi perbelanjaan makanan sebanyak RM65 billion.” Dana untuk subsidi makanan ini tidak dapat diperoleh pada awal tahun hadapan sekiranya bajet 2023 tidak diluluskan dalam masa terdekat. Ia akan menyebabkan peningkatan kos makanan yang ketara pada awal tahun hadapan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
Inilah masalah yang akan dihadapi dalam sistem demokrasi di mana peruntukan untuk perbelanjaan dalam bajet tahunan wajib diluluskan oleh parlimen. Jika tiada parlimen, maka peruntukan ini tidak boleh ditentukan dan diluluskan; akibatnya kerajaan tidak boleh berbelanja.
Belanjawan negara menurut syariah
Dalam syariah Islam, di bawah sistem pemerintahan Khilafah, komponen pendapatan dan perbelanjaan negara sudah pun ditentukan dan bersifat tetap. Komponen pendapatan negara yang masuk ke dalam pembendaharan negara (Baitul Mal) diperoleh berdasarkan hukum syarak seperti fa’i, jizyah, kharaj, usyur, khumus, kutipan zakat serta hasil dari pemilikan negara dan pemilikan umum. Manakala komponen perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Baitul Mal juga didasarkan kepada hukum syarak seperti pemberian zakat, gaji para pegawai negara dan tentera; perkhidmatan, utiliti dan pembinaan infrastruktur penting seperti jalan raya, masjid, sekolah dan hospital serta dana bencana seperti bantuan banjir. Kesemua komponen pendapatan dan perbelanjaan ini telah termaktub dalam syariah. Khalifah mahupun perwakilan umat (Majlis Umat) tiada hak untuk mengubahnya.
Walau bagaimanapun, perincian dan jumlah bagi setiap komponen pendapatan dan perbelanjaan ditentukan oleh pendapat dan ijtihad Khalifah. Hal ini kerana ia berkaitan dengan pelayanan urusan (ri’ayah asy-syu’un) umat yang diserahkan kepada Khalifah secara syar’ie. Sebagai contoh, penentuan kadar jizyah, kadar kharaj dan yang seumpamanya, ia ditetapkan berdasarkan pendapat dan ijtihad Khalifah. Syarak memberikan hak untuk mengelola pendapatan dan perbelanjaan negara kepada Khalifah berdasarkan Hadis Nabi SAW:
Dari ‘Abdullah bin ‘Umar RA, Nabi SAW bersabda,
فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ…
Dan Amir (Khalifah) adalah pemimpin manusia secara umum, dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas mereka. [HR Bukhari]
Justeru, Khalifah diberi autoriti untuk menetapkan rincian dan jumlah bagi setiap komponen belanjawan ketika dia mendapati ada keperluan tanpa memerhatikan tempoh yang tertentu. Khalifah juga boleh meminta pendapat dan nasihat daripada Majlis Umat dalam penentuan tersebut namun pendapat dan nasihat mereka tidak mengikat Khalifah.
Oleh yang demikian, belanjawan negara dalam sistem Khilafah tidak memerlukan persetujuan dan undi para wakil umat kerana komponen pendapatan dan perbelanjaan sudah ditetapkan syariah dan rinciannya ditentukan oleh pendapat dan ijitihad Khalifah. Tambahan pula, Khalifah boleh terus menentukan belanjawan negara sepanjang masa berdasarkan keperluan tanpa terikat dengan tempoh waktu tertentu. Inilah keunikan dan kebaikan syariah Islam kurniaan Allah SWT berbanding sistem demokrasi kurniaan penjajah.
Rujukan