Bajet 2017, apa bezanya dengan bajet-bajet sebelum ini?

gambar-ul-261016Perdana Menteri Malaysia, yang juga Menteri Kewangan telah pun membentangkan Bajet 2017 dan perkara itu masih lagi dibahaskan di Parlimen. Seperti kebiasaan setiap tahun, sebaik sahaja ia dibentangkan dan sehinggalah ke tamatnya pembahasan, ahli-ahli politik dan ekonomi khususnya, akan terus memberikan komen tentang baik buruknya bajet kali ini.

Mual atau tidak, rakyat terus dihidangkan dan terpaksa menelan pelbagai jenis ampuan dari para pengampu. Setiap kali ia dibentangkan, oleh para pengampu, ia akan diampu sebagai “bajet terbaik” dan tidak ada satu pun kecacatan di dalamnya.

Cuma kali ini, kita dapat menyaksikan sedikit kelainan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia dan sejarah hidupnya barangkali, mengkritik bajet yang dibentangkan oleh bekas bosnya itu. Inilah politik ala budak-budak di Malaysia, masa berbaik dipuji melambung, masa bergaduh dikutuk tak ingat!

Kelainan juga dapat disaksikan kali ini apabila sesetengah pihak pembangkang dilihat berlemah lembut dengan bajet 2017 ini, tidak sepertimana tahun-tahun yang lalu di mana mereka sungguh agresif menyerang setiap inci kelompangan dalam bajet yang dibentangkan. Sekumpulan pembangkang yang lain pula bertindak keluar dewan kerana protes. Inilah sikap wakil rakyat, yang hakikatnya membawa suara parti ke dalam dewan, bukannya suara rakyat. Apa jua tindakan mereka di Parlimen, termasuklah soal pembentangan bajet yang penting untuk dibahaskan, ia hendaklah selaras dengan arahan dan kehendak parti. Kehendak rakyat? Maaflah..

Sebenarnya pembentangan bajet 2017 ini tidak ada beza sedikitpun dengan pembentangan sebelum ini. Ia hanyalah perubahan angka-angka, ada yang kecil menjadi besar dan yang besar menjadi kecil dengan sedikit perkara-perkara baru yang dimasukkan mengikut keperluan semasa dan kepentingan parti pemerintah. Itu sahaja. Boleh dikatakan semua yang dibentangkan manis-manis belaka demi kepentingan rakyat, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pemerintah, kapitalis (pemilik modal) dan kroni merekalah yang semakin kaya hasil daripada pelbagai projek dan peruntukan bajet, manakala rakyat terus menderita.

Di sisi rakyat, jika dilihat secara makro sesungguhnya tidak adaperbezaan yang signifikan dalam bajet 2017 ini, sama sahaja seperti bajet sebelum-sebelum ini. Sedikit gula-gula yang ditaburkan kepada rakyat tidak pernah merubah kehidupan rakyat secara umumnya kerana kenaikan kos hidup yang begitu tinggi. Pengenaan pelbagai jenis cukai, bayaran perkhidmatan yang tinggi, yuran pendidikan, kenaikan harga barang, harga dan sewa rumah yang melambung dan banyak lagi faktor lain, semua ini menjadikan rakyat hidup dalam keperitan, yang tidak pernah dapat diubah dengan bajet yang dibentangkan setiap tahun. Inilah realiti yang dihadapi oleh rakyat walau se-gah mana pun bajet yang dibentangkan.

Jadi, pembentangan bajet yang berbau harum dan penuh kemanisan itu sebenarnya tidak lebih daripada bajet sebuah negara kapitalis, dari kapitalis, oleh kapitalis dan untuk kapitalis. Untuk rakyat? Terus tertipu dan terhimpit selagi sistem dan pemimpin kapitalis ini tidak ditukar. Itulah realitinya setiap tahun.