Bantu polis perangi ragut: Musa
“Walaupun baru-baru ini kita sudah mengadakan operasi bersepadu secara besar-besar bagi menangani gejala jenayah termasuk isu mat rempit, perkara seperti ini tidak akan berakhir kerana apabila kita memberi tumpuan di satu tempat, penjenayah mengambil kesempatan di kawasan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Bahagian Komunikasi, di sini, hari ini. Semalam, seorang ibu mengandung dua bulan di Johor Bahru, Johor, meninggal dunia selepas koma selama tiga hari selepas terjatuh dari motosikal akibat beg tangan direntap dua lelaki.
Manakala hari ini di Kota Bharu, Kelantan, seorang ibu mengandung tiga bulan maut selepas tercampak dari motosikal dan dirempuh sebuah kereta akibat diragut dua lelaki bermotosikal. Di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, seorang nenek berusia 86 tahun pula meninggal dunia selepas kepalanya terhantuk ke dinding akibat ditumbuk seorang lelaki yang meragut rantai emas anaknya di rumah mereka Kampung Besar, kira-kira jam 12 tengah hari semalam. Tom Salleh yang ditumbuk di mata kanannya, dikejarkan ke Hospital Kepala Batas tetapi meninggal dunia pada jam 10.40 malam.
Berita Harian: 06/05/09
Agak pelik saranan dari Ketua Polis Negara. Kebiasaannya masyarakat yang meminta bantuan kepada polis tapi kini dunia sudah terbalik apabila pihak polis pula meminta bantuan dari orang ramai. Di manakah silapnya? Nampaknya kejadian jenayah ragut yang melibatkan kematian kepada mangsanya semakin menjadi-jadi. Bermula dari Johor beberapa hari yang lepas sehinggalah ke pantai timur dan seterusnya ke utara. Esok entah ke mana pula sasarannya.
Penularan jenayah ini menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan merayu orang awam untuk membantu pihak polis memerangi kejadian ragut ini yang nampaknya semakin ganas dan membimbangkan. Pihak pemangsa nampaknya semakin berani bertindak ganas. Secara tidak langsung, ini memberikan gambaran bahawa masyarakat kini, yang diacu dengan acuan kehidupan Kapitalisme telah semakin rosak syakhsiyyah dan jatidirinya sebagai seorang muslim khususnya dan manusia secara amnya. Inilah sebahagian dari hasil dari penerapan idealogi Kapitalisme di Malaysia.
Pihak polis terpaksa menggutip buah-buah busuk yang gugur dari pokok Kapitalisme yang ditanam oleh Lord Reid sejak lebih dari 50 tahun yang lepas di mana pokok ini masih lagi dijaga, dibaja dan disayangi oleh pemerintah umat Islam kita hari ini. Renungilah firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa (20) :124].
Pihak pemangsa juga nampaknya tidak takut dengan undang-undang yang diguna pakai pada hari ini. Kejadian dan statistik kadar jenayah yang semakin menggerunkan ini sepatutnya menyedarkan dan membuka minda pemimpin negara dan pihak berkuasa bahawa sudah sampai masa dan saatnya untuk pihak pemerintah umat Islam hari ini menerapkan Islam di dalam mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara. Firman Allah SWT:
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka”. [TMQ Al Hadiid (57) :16].
Wahai pemimpin umat Islam dan juga pihak yang menjaga keamanan saat ini! Campakkanlah sistem sekular yang ditinggalkan oleh penjajah kepada kalian sejak 52 tahun yang lepas. Terapkanlah syariah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam masyarakat ini!