Bantuan Awal PTPTN Bakal Menjerat Mahasiswa

 
altPUTRAJAYA 10 Ogos – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM53.4 juta sebagai wang pendahuluan pembiayaan kepada 35,664 pelajar yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bermula 3 September depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, semua pelajar yang layak akan menerima wang sebanyak RM1,500 seorang, dua minggu sebelum tarikh pendaftaran kemasukan ke IPT.

“Ini adalah salah satu usaha yang mana selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan. Percayalah, kerajaan akan terus membantu golongan muda kerana mereka adalah harapan negara dan kita akan melakukan yang terbaik untuk menjamin masa depan golongan belia,” katanya hari ini. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan itu diberikan kepada pelajar yang keluarga mereka berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan yang belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN sebelum ini. – BERNAMA
 
Sumber : Utusan Online, 11/08/2011
 
‘Kerajaan Sekular pimpinan Najib ‘mengula-gulakan’ rakyat dengan bantuan  ala kadar’
Pendidikan merupakan salah satu hak asasi umat yang perlu disediakan oleh negara. Negara wajib menyediakan kemudahan pendidikan bermula daripada pendidikan asas sehinggalah ke pengajian tinggi. Bantuan pendidikan bukan sekadar membayar gaji guru, pensyarah dan menyediakan kemudahan prasarana moden tetapi ia juga termasuklah membekalkan segala keperluan termasuk alat-alat dan pakaian kepada pelajar yang memerlukan. Jadi, bantuan pendahuluan sebanyak RM1500 itu dilihat hanyalah sekadar ‘gula-gula’ yang ingin menutup mulut rakyat yang sudah muak dengan segala penyelewengan dan korupsi melibatkan jutaan ringgit yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan baik daripada peringkat bawahan sehinggalah kepada kepimpinan tertinggi. Lebih malang lagi, bantuan permulaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu bakal memerangkap bakal mahasiswa dengan bebanan hutang puluhan ribu ringgit setelah mereka menamatkan pengajian kelak. Ini adalah kerana hakikat sebenar “bantuan” yang disalurkan oleh PTPTN itu sebenarnya merupakan suatu “pinjaman” berbayar yang akhirnya menjerumuskan para pelajar ke kancah dunia riba. Sikap para pemerintah kapitalis yang sering mengambil kesempatan ke atas rakyat dengan melakukan ‘perniagaan’ merupakan hal yang amat bertentangan daripada ajaran Islam.

 Di zaman kegemilangan Islam, pusat- pusat pendidikan serta penyelidikan tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Pusat- pusat ini bukan sahaja menyediakan kemudahan pendidikan secara percuma dan canggih kepada warganegara daulah Islam, tetapi juga mampu menarik para pelajar dari luar. Contohnya di zaman Kekhilafahan Abasiyyah, kota Baghdad dan Andalusia merupakan kota ilmu yang banyak melahirkan ulama dan ilmuan Islam yang tersohor seperti Ibnu Sina, Al Khawarizmi, Al Biruni, Al Razi dan ramai lagi. Malah, dari sinilah cahaya Islam menerangi penduduk Eropah yang masih berada di dalam Zaman Kegelapan ketika itu. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi negara untuk memastikan keperluan umat ini dipenuhi dan dipelihara dengan cara yang terbaik dan bukannya secara ala kadar umpama   ‘melepas batuk di tangga’! Wallahu a’lam.