Bantuan banjir: Perbetulkan niat, berebut untuk dapat pahala, bukan untuk dapat nama

konvoi-banjirBanjir yang melanda pantai timur, khususnya Kelantan dikatakan terbesar dan terburuk dalam sejarah setakat ini. Pengalaman pasukan sukarelawan HTM yang melihat sendiri dan membantu para mangsa juga membuktikan kesahihan hal ini. Kemusnahan dan kerosakan memang tidak terkata sehingga ada yang menyifatkannya sebagai tsunami kecil.

Dengan musibah besar yang melanda ini, tidak hairanlah beribu-ribu konvoi bantuan datang ke Kelantan dari segenap pihak dan arah, bagi membantu mangsa khususnya sumbangan barangan  makanan dan keperluan harian. Alhamdulillah dengan segala usaha dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh semua konvoi bantuan, baik yang dilakukan oleh individu mahupun NGO-NGO.

Berdasarkan pengamatan pasukan sukarelawan  HTM sepanjang seminggu berulang-alik ke Kelantan bagi misi bantuan, memang banyak sekali terlihat dan berselisih dengan individu mahupun konvoi NGO yang datang mencurah-curah ke Kelantan. Malah sukarelawan HTM turut berinteraksi dan berkongsi maklumat dengan beberapa individu dan NGO dalam usaha membantu mangsa yang lebih aula untuk dibantu, yakni kawasan yang belum sampai atau belum cukup bantuan.

Memanglah banyak sekali NGO yang “mengambil kesempatan” untuk memperkenalkan NGO masing-masing di saat-saat genting ini kerana mahu dilihat merekalah yang menjadi penyelamat kepada mangsa. Ramai di antara mereka yang berlebih-lebih dalam memperkenalkan pertubuhan masing-masing dengan melekatkan nama di kenderaan-kenderaan bantuan dan vest atau baju yang dipakai.

Sebagai Muslim dan sebagai gerakan Islam, marilah kita ingat-mengingatkan antara satu sama lain agar kita perbetulkan niat kita dalam membantu mangsa. Berilah bantuan semata-mata kerana Allah. Letaklah kepentingan memperkenalkan atau mempromosi gerakan sebagai yang kedua atau ketiga atau keempat. Bantulah mangsa semata-mata kerana Allah, bukan kerana mahu dilihat kita sebagai hero, mahu dilihat yang gerakan kitalah yang paling banyak menghulurkan bantuan dan seumpamanya. Lebih buruk, menghentam pula gerakan lain yang tidak menghulur bantuan atau lambat melakukannya atau hanya sedikit yang dihulurkan. Memang tidak salah memperkenalkan pertubuhan masing-masing, cuma jangan jadikan ini sebagai niat dan agenda utama, apatah lagi dalam situasi ini. Jangan pula mengungkit-ngungkit dengan membandingkan gerakan kita dengan gerakan yang lain.

Kita memang sudah tidak percayakan parti pemerintah kerana tidak menjalankan tanggungjawab menjaga rakyat dengan baik. Kalau mereka membantu pun, ia tidak lebih dari usaha meraih undi di masa akan datang. Inilah realiti parti politik yang berada dalam demokrasi. Tatkala rakyat terhimpit, tatkala itulah mereka ingin muncul sebagai juara rakyat kerana mahukan undi daripada rakyat. Musibah banjir ini menjadi “pasaran saham” yang baik bagi parti politik demokrasi untuk menanam modal.

Justeru, HTM mengingatkan semua individu apatah lagi gerakan Islam, perbetulkanlah niat, jadikannya semata-mata lillahi Ta’ala. Berebutlah untuk mendapat pahala dan keredaan daripada Allah, bukannya berebut untuk mendapatkan nama dan populariti. Insya Allah dengan niat dan usaha yang benar, ia akan menjadi saham kepada kita di akhirat kelak dalam meniti titian Sirat untuk ke syurga Allah SWT.