Bayi Dicampak Akibat Pemerintah Mencampakkan Hukum Islam
SELAYANG – Bayi sendiri diperlakukan bagaikan sampah apabila seorang gadis berusia 19 tahun tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan ke dalam longkang dari tingkat dua Flat Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru di sini semalam.
Mayat bayi perempuan malang itu ditemui oleh seorang lelaki pada pukul 7 pagi yang kebetulan melalui kawasan itu. Ibu bayi itu yang mendakwa panik sebaik melahirkan anak di dalam tandas bertindak mencampak bayinya ke dalam longkang menerusi tingkap.
Ketika ditemui, bayi yang dalam keadaan bogel dan mempunyai kesan cedera di kepala itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang berkenaan. Bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan menyayat hati itu, polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun yang tinggal di flat tersebut. Menurut beliau, gadis itu belum berkahwin dan polis mengesyaki dia mengandung angkara hubungan sulit dengan teman lelakinya. “Suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas rumahnya pada pukul 4 pagi ini (semalam). “Suspek mendakwa ketika dilahirkan, bayi terbabit sudah tidak bernyawa menyebabkan dia membuang anaknya itu ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagi Najib berita seumpama itu adalah sesuatu yang pastinya tidak mengejutkan beliau kerana hakikatnya beliau adalah merupakan pemimpin yang terlibat secara langsung dengan setiap apa yang berlaku, kerana selaku orang yang paling berkuasa di Malaysia di mana kuasa untuk menerapkan undang-undang itu ada di tangan beliau. Namun terbukti Najib sendiri lebih rela memilih kehidupan jahiliyyah dari kehidupan Islam untuk diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara pada hari ini. Oleh itu tidaklah mengejutkan keadaan seperti di atas muncul di tengah-tengah kehidupan masyarakat hari ini. Firman Allah SWT:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].