Apa Dosa Bayi Perempuan Ini? Apa Pula Dosa Pemimpin Hari Ini?

Apa dosa bayi perempuan ini?

MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa?  Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini.  Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa.   Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.  Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya.  Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.  Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini.   Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.  Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.  Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.

Sumber : Utusan Malaysia, 11/02/10

Apa Dosa Bayi Perempuan Ini? Apa Pula Dosa Pemimpin Hari Ini?

Inilah akibatnya apabila kehidupan masyarakat tidak diatur dengan sistem sosial Islam. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang muncul dari suasana kehidupan Kapitalis yang menyelubungi masyarakat hari ini telah menghasilkan dan memuntahkan segala bentuk keburukan dan kerosakan. Fenomena kejadian pembuangan bayi ini adalah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan dan bukannya suatu kepelikan di dalam masyarakat Kapitalis hari ini. Kejadian ini sepatutnya menyedarkan kita bahawa pihak pemerintah hari ini juga sebenarnya bertanggungjawab  dengan apa yang berlaku. Dalam erti kata lain, para pemimpin hari ini juga memikul beban dosa kerana tidak menerapkan kehidupan Islam termasuk pelaksanaan sistem sosial Islam, sistem yang mengatur hubungan lelaki dan wanita samada di dalam kehidupan umum mahupun kehidupan khas.

Hari ini dalam, di dalam dunia di mana hak kebebasan di’suci’kan, lelaki dan wanita bebas bergaul dan melanggar batasan-batasan syara’. Hari ini, tidak menjadi kesalahan bagi lelaki dan wanita untuk bebas bergaul, berpasang-pasangan, berdua-duaan tanpa mahram antara keduanya. Hari ini lelaki dan wanita bebas memakai pakaian yang menyalahi syara’. Tidak ada hukuman yang dikenakan oleh negara. Tempat-tempat maksiat dan keadaan yang memungkinkan berlakunya pergaulan bebas ini dibiarkan dan disahkan dengan adanya lesen-lesen yang diberikan oleh pemerintah. Semuanya sah demi “KEBEBASAN” yang perlu dijaga. Inilah racun yang telah merosakkan masyarakat. Malangnya, racun yang merosakkan masyarakat ini dibiarkan oleh negara malahan disuburkan oleh pemerintah sekular yang ada pada hari ini. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar kita hanya melihat kepada kesalahan individu semata-mata dan menutup mata terhadap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh pemerintah sekular hari ini. Ini adalah kerana segala kerosakan dan penyakit yang muncul di dalam kehidupan masyarakat hari ini sebenarnya bertitik tolak dari kesalahan dan kerosakan sistem yang diterapkan oleh pemerintah yang ada. Apakah para pemimpin sekular ini mahu mengakui dan menyedari kesalahan dan dosa mereka?  Hanya pemimpin yang ada nilai takwa dalam diri mereka sahajalah yang bersedia untuk mengakui kelalaian dan kesalahan yang mereka lakukan dan mereka bersedia untuk memperbaiki dan mengubahnya. Kita rindu akan pemimpin seperti ini….