Beban Rakyat Terus Bertambah

altTidak bebankan rakyat – PM

ALOR SETAR 15 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menggunakan kaedah dan pertimbangan yang tidak membebankan rakyat dalam proses untuk menyelaraskan subsidi.  Beliau berkata, penyelarasan itu antara lain bertujuan menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang bakal memberi pelbagai kebaikan seperti mengukuhkan lagi kedudukan kewangan negara dan mengurangkan defisit fiskal.  Katanya, ia juga sekali gus membuatkan pasaran dunia dan dalaman akan lebih yakin mengenai kekuatan ekonomi negara.  “Kita menggunakan penjimatan perbelanjaan kerajaan itu untuk memenuhi lebih banyak agenda seperti yang termaktub dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang bakal dilaksanakan.  “Jadi ini merupakan satu proses dan kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi ini berdasarkan pada kenaikan yang sangat minimum supaya tidak membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini. 

Terdahulu dalam ucapannya yang menyentuh perkara berkenaan, Perdana Menteri berkata, salah satu cabaran untuk mengukuh dan membangunkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang adalah subsidi besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan.   Justeru, tegas beliau, kerajaan terpaksa membuat sedikit perubahan dalam perkara tersebut tetapi tidak akan membebankan rakyat.   “Saya nak sebutkan di sini bahawa apabila kita mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam bentuk subsidi, kita gunakan peruntukan itu untuk membangunkan rakyat terutama di luar bandar,” katanya.   Najib memberikan contoh, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memerlukan peruntukan sebanyak RM18 bilion sehingga 2012 untuk mengisi agenda NKRA kementerian itu dalam meningkatkan prasarana penduduk luar bandar di seluruh negara.   Oleh itu, kata beliau, rakyat harus faham mengenai perancangan kerajaan untuk membuat perubahan berkenaan semata-mata demi kebaikan semua.

Sumber: Utusan Malaysia 16/07/10
  
Rakyat terus ditindas, darahnya dihisap, golongan kaya pasti akan bertambah kaya.

Sistem ekonomi Kapitalisme yang diamalkan pada hari ini sebenarnya sudah pun gagal  daripada asasnya lagi. Secara prinsip, mekanisme pengagihan kekayaan di dalam sistem ini tidak berdasarkan apa yang telah ditentukan Allah SWT. Padahal, hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Akibatnya, golongan yang kaya bertambah kaya dan miskin bertambah miskin. Ini adalah kerana sistem ekonomi kapitalisme hanya menguntungkan golongan kapitalis(pemilik modal) apabila projek-projek besar dilaksanakan di bawah NKRA dan NKEA yang kononnya adalah untuk memajukan penduduk luar bandar seluruh negara. Persoalannya;adakah benar para petani di pendalaman Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak dapat merasai dan menikmati kemakmuran daripada pembangunan itu di dalam ertikata yang sebenar? Adakah Datuk Seri Najib buta atau dibutakan daripada melihat kesengsaraan dan bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat marhaen sedangkan pada masa yang sama kroni-kroni di sekelilingnya hidup di dalam kemewahan.

Sepatutnya, denyutan nadi Najib ketika mengulas isu ini tidak mengikut kapasiti dia sebagai PM ataupun tokoh-tokoh koporat mahupun jutawan yang sudah pasti tidak akan terbeban sedikitpun dengan kenaikan harga minyak dan gula yang baru sahaja diumumkan oleh beliau. Sebaliknya beliau patut merasakan juga denyut nadi, para petani yang sedang membanting tulang empat kerat di tengah panas terik matahari, keluh kesah seorang nelayan yang sedang menyabung nyawa di tengah lautan yang bergelora, mahupun kekalutan seorang pekerja kilang yang bersengkang mata kerana bekerja shif pada waktu malam dan seumpamanya. Denyutan nadi rakyat marhaen inilah yang sepatutnya dirasakan oleh Najib. Sebagai seorang pemimpin, ingatlah akan azab Allah di hari akhirat kelak! Janganlah kamu menjadi penguasa yang menipu rakyat kerana sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

“Seseorang yang memimpin kaum Muslimin dan dia mati sedangkan dia menipu mereka (rakyatnya), Allah akan mengharamkan baginya syurga” [HR Bukhari dan Muslim]