Bebaskan Palestin dengan mengembalikan semula Khilafah

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” [Al-Isra: (17): 1].

Baru-baru ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain telah bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara haram ‘Israel’, dalam langkah yang ditaja oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Alasan yang diberikan penguasa UAE kononnya untuk menyelamatkan Tebing Barat daripada penaklukan dan dimasukkan ke dalam wilayah ‘Israel’. Sungguh alasan ini merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima oleh umat Islam.

Inilah hakikat para penguasa umat Islam hari ini, bahkan tidak berubah sejak dahulu lagi – mereka seolah-olah mahu dilihat perintis jalan kepada perdamaian, sedangkan hakikatnya dengan berbuat demikian mereka telah memberikan laluan kepada entiti haram Yahudi itu untuk terus menguasai Palestin. Lebih buruk lagi, langkah penguasa ini turut diberikan sokongan oleh beberapa kumpulan agamawan yang bersama dengan kerajaan, yang memberikan legitimasi terhadap tindakan penguasa dari segi hukum syarak.

Sesungguhnya keseluruhan Palestin adalah milik umat Islam dan menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Yahudi. Umat Islam wajib membantah apa jua hubungan politik atau perdagangan dengan entiti Yahudi dan tidak boleh menyerahkan walau seinci pun tanah Palestin, serta tidak boleh mensia-siakan pertumpahan darah yang telah terjadi semenjak sekian lama.

Tindakan penguasa negara umat Islam yang mengiktiraf serta menjalin hubungan diplomatik dengan entiti Yahudi jelas merupakan suatu pengkhianatan terhadap umat Islam, sekali gus merupakan suatu bentuk pengiktirafan terhadap penjajahan ke atas tanah umat Islam. Para penguasa inilah yang sebenarnya menjadi benteng pertahanan yang menjamin kelestarian negara haram Yahudi tersebut.

Turki yang selama ini dilihat sebagai hero umat Islam merupakan negara terawal mengiktiraf kewujudan ‘Israel’, lama sebelum negara negara Arab mengiktirafnya. Sehingga kini, hubungan baik antara Turki-‘Israel’ terus wujud, bahkan semakin erat di saat pemimpinnya berdegar-degar melaungkan retorik anti-‘Israel’. Sementara itu, sebahagian penguasa umat Islam kini sudah tidak lagi berselindung daripada menyatakan sokongan terbuka terhadap “deal of the century” yang ditaja Amerika Syarikat dan mengiktiraf keabsahan entiti haram Yahudi! Alangkah hinanya para penguasa tersebut!

Jelas bahawa para penguasa umat Islam kini tidak lagi layak menjadi benteng terakhir pertahanan untuk umat Islam. Penyelesaian untuk masalah Palestin dan keseluruhan wilayah umat Islam yang dijajah oleh kuffar adalah dengan membebaskan wilayah tersebut secara ketenteraan. Inilah yang dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi untuk membebaskan Palestin dan ini adalah kewajipan yang terletak di atas bahu para tentera umat Islam sekarang ini.

Malangnya, para penguasa umat Islam yang khianat telah mengunci berek-berek tentera, dan menghalang ketumbukan tentera Muslimin daripada melaksanakan tugas mulia tersebut. Tanpa iltizam politik, segala kekuatan yang ada dalam tubuh umat ini tidak dikerahkan demi membebaskan tanah suci umat Islam itu daripada terus dibelenggu penjajahan Yahudi.

Hanya Khilafah Rasyidah yang boleh memberikan solusi terhadap permasalahan di Palestin dan keseluruhan wilayah umat Islam yang masih terjajah hingga sekarang. Umat Islam sewajarnya berhenti berharap pada para penguasa mereka yang terbukti khianat, dan berhenti berharap pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tunggangan Amerika. Umat Islam wajib menggembleng segenap usaha ke arah mengembalikan semula Khilafah yang bukan sahaja akan menerapkan hukum Allah, tetapi yang akan mengerahkan segenap kekuatan umat Islam untuk menghapuskan hegemoni musuh-musuh Islam, sekali gus membebaskan tanah-tanah umat yang telah sekian lama terjajah.

Wallahu a’lam.