Bebaskan Selatan Thai Dengan Khilafah
Ada yang mengatakan bahawa ia adalah angkara pihak berkuasa sendiri kerana ingin menunjukkan bahawa kehadiran mereka masih penting di wilayah bergolak itu untuk memantau keselamatan di sana. Ada juga yang mengatakan ianya adalah angkara kumpulan pengedar dadah yang ingin menyampaikan mesej tertentu kepada pihak polis yang pada ketika ini sedang giat membanteras kegiatan mereka. Apa yang penting, tiada pihak yang tampil untuk mengaku terlibat di dalam letupan bom di Hotel tersebut.
Jika kita mendalami apa yang berlaku di sana, pastinya ada sebab yang menyebabkan masalah ini berlaku. Sikap para pemimpin Thailand yang sering menindas umat Islam di Selatan Thailand sudah terlalu jelas dan tidak boleh dinafikan. Walaupun kita lihat para pemimpin mereka sering turun untuk menziarahi umat Islam di sana, ia tidak lebih sekadar untuk mengambil hati para umat Islam.
Hakikatnya, mereka melihat umat Islam di wilayah selatan Thailand seperti warganegara kelas kedua, malah keperluan asas mereka juga banyak yang terabai. Selain itu, hak mereka untuk mendapatkan pendidikan serta peluang pekerjaan turut tersekat oleh kerajaan Thailand. Jika kita mempelajari catatan sejarah, kita akan memahami bahawa wilayah Selatan Thailand adalah satu-satunya wilayah tanah melayu yang masih terjajah, warisan daripada kerajaan Siam. Penentangan hebat yang berterusan daripada umat Islam wilayah Pattani merupakan titik tolak kepada siri perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penguasaan Siam (kini: Thailand).
Penjajahan ke atas wilayah-wilayah selatan Thailand itu adalah hasil daripada rundingan British dengan Kerajaan Siam suatu ketika dahulu yang meletakkan selatan Thailand yang majoritinya adalah umat Islam di bawah kekuasaan kerajaan Siam (Buddha) melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Ianya adalah sebahagian daripada usaha British untuk memecah-belahkan wilayah Pantai Timur Tanah Melayu yang pada ketika itu merupakan negeri-negeri yang kuat berpegang dengan ajaran Islam dan bagi memastikan keadaan di situ sentiasa bergolak dan pastinya ini akan menguntungkan para penjajah bagi memastikan mereka mempunyai alasan untuk campur tangan bila-bila keadaan memerlukan. Ini juga persis dengan apa yang berlaku terhadap kawasan Kashmir yang sengaja diletakkan di bawah kekuasaan India, di mana keadaannya terus bergolak sehinggalah sekarang.
Oleh itu, penyelesaian kepada isu selatan Thailand mahupun kawasan- kawasan di mana umat Islam menjadi mangsa kekejaman kaum kuffar hanya akan dapat diselesaikan dengan adanya suatu bentuk kekuasaan yang berani untuk membela dan membebaskan wilayah umat yang tertindas ini. Bentuk kekuasaan itu tidak lain melainkan sebuah negara Khilafah yang akan menyelesaikan konflik ini hingga ke akar umbinya. Hanya dengan Khilafah, keamanan akan mampu diperoleh oleh seluruh umat. Wallahu a’lam.
Sumber : Utusan Online, 01/04/2012, Utusan Online, 01/04/2012