Benarkah Riba Yang Sedikit Tidak Haram?

coinSoalan:

Ustaz, ada pendapat yang menyatakan bahawa dibolehkan bagi kita untuk mengambil riba yang sedikit, contohnya satu peratus, dengan alasan bahawa riba yang dilarang dalam Al-Quran hanyalah ‘riba yang berlipat kali ganda’ sahaja. Mohon penjelasan bagi perkara tersebut.

Jawapan:

Memang ada pendapat yang mengatakan bahawa riba yang diharamkan hanyalah riba yang banyak atau yang ‘berlipat kali ganda’ (adh’afan mudhaa’afah), manakala riba yang sedikit tidak haram. Antara yang berpegang kepada pendapat sebegini adalah Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha. Mereka berdalil dengan firman Allah SWT (yang bermaksud) : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda (adh’afan mudhaa’afah).” [TMQ Ali ‘Imran [3] : 130]. (Abdul Majid Al Muhtasib, Ittijahat Al Tafsir fi Al ‘Ashr Al Rahin, hlm. 178; Abdurrahim Faris Abu ‘Ulbah,Syawa`ib Al Tafsir, hlm. 246; Abdul Aziz Al Khayyath, Al Syarikat fi Al Syari’ah Al Islamiyyah wa Al Qanun Al Wadh’i, Juz 2 hlm. 168-173).

Jamaluddin Al-Afghani berdalil dengan ayat tersebut bagi membolehkan (menghalalkan) riba yang sedikit dengan berkata, ”Allah mengharamkan riba dengan dengan satu puncak hikmah, iaitu hendaklah jangan dimakan riba yang berlipat kali ganda, yakni yang diharamkan dalam ayat itu, dan supaya Imam (pemerintah) mempunyai jalan keluar (ketika ada tuntutan kemaslahatan) untuk membolehkan riba yang rasional (ma`quul) yang tidak memberatkan pihak yang berhutang.” (Muhammad Basya Al Makhzumi, Khathirat Jamaluddin Al Afghani, hlm. 195, dalam Abdurrahim Faris Abu ‘Ulbah,Syawa`ib Al Tafsir, hlm. 246).

Pendapat Jamaluddin Al-Afghani itu kemudiannya diikuti oleh anak-anak muridnya iaitu Rasyid Ridha dan Muhammad Abduh. Ketika menafsirkan ayat 130 surah Ali ‘Imran tersebut, Muhammad Abduh berkata,”…Ini adalah ayat dalam Al-Quran tentang pengharamannya (riba berlipat kali ganda), dan Al-Quran tidak mengharamkan selain daripada itu… Ini adalah ayat yang pertama kali turun tentang pengharaman riba, iaitu ayat tentang pengharaman riba yang dikhususkan dengan batasan ini (makhsuus bi haza al qaid), dan ini masyhur di sisi mereka.” (Muhammad Abduh, Tafsir Al Manaar, Juz 3 hlm. 133).

Berdasarkan petikan di atas, adalah jelas bahawa Jamaluddin Al-Afghani dan anak-anak muridnya telah membolehkan riba yang tidak berlipat kali ganda menggunakan surah Ali ‘Imran ayat 130 dengan beberapa wajhul istidlal (cara pengambilan hukum daripada dalil). Antaranya adalah dengan mentakhsiis (mengkhususkan/mengecualikan) keumuman ayat yang mengharamkan riba, atau mentaqyiid (memberi batasan/syarat) daripada kemutlakan ayat yang mengharamkan riba, atau menarik mafhum mukhalafah (pengertian yang di sebaliknya) daripada ayat yang melarang riba yang berlipat kali ganda.

Semua wajhul istidlal tersebut adalah batil dan hukum yang dikeluarkan mereka (membolehkan riba yang sedikit) juga adalah ijtihad yang batil. Ini adalah berdasarkan kepada dua perkara:

Pertama: Tidak boleh diterima proses penarikan mafhum mukhalafah (pengertian yang di sebaliknya) daripada ayat 130 surah Ali ‘Imran atau menjadikan ayat itu sebagai takhsiis (pengkhususan) atau taqyiid (pembatasan) daripada keumuman atau kemutlakan ayat yang telah mengharamkan riba (rujuk surah Al-Baqarah, ayat 275). Dalam perkara ini, Imam Ibnu Hayyan Al-Andalusi berkata, ”Riba sudah diharamkan dalam segala jenisnya, maka oleh itu, haal yang terdapat dalam ayat itu (iaitu larangan memakan riba yang berlipat kali ganda (adh’afan mudhaa’afah) tidak dapat diambil mafhum mukahalafahnya dan tidak dapat pula menjadi qaid (batasan) dalam larangan riba…” (Ibnu Hayyan Al Andalusi, Tafsir Al Bahrul Muhith, Juz 3 hlm. 54; Imam Syaukani, Fathul Qadir, Juz 1 hlm. 380).

Kedua: Tidak boleh diterima dengan menjadikan ayat 130 surah Ali ‘Imran sebagai takhsiis (pengkhususan) daripada keumuman ayat pengharaman riba (surah Al-Baqarah ayat 275). Dalam ilmu usul fiqih, dalil takhsiis sepatutnya turun ke belakang (muta akhkhir) daripada dalil umum. Kalau pun ia turun terlebih dahulu (mutaqaddim), sepatutnya takhsiis itu bersambungan (muttasil) dengan dalil umumnya dalam satu rangkaian ayat. (Saifuddin Al Amidi, Al Ihkam fi Usul Al Ahkam, Juz IV). Syarat tersebut tidak ada dalam pendapat Jamaluddin Al-Afghani, kerana secara faktanya ayat 130 surah Ali ‘Imran itu turun terlebih dahulu dan kemudian baru turunnya ayat 275 surah Al-Baqarah yang mana ia mengharamkan riba secara total. Tambahan pula, kedua-dua ayat tersebut tidak terletak dalam satu rangkaian ayat yang muttasil (bersambungan).

Justeru, pendapat yang membolehkan (menghalalkan) riba yang sedikit adalah ijtihad yang batil sama sekali dan ia haram untuk diikuti atau diamalkan oleh kaum Muslimin kerana menyalahi nas-nas yang qat’ie (pasti) yang telah mengharamkan segala jenis dan bentuk riba, sama ada sedikit mahu pun banyak. Wallahua’lam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.