Berakhirnya Suatu Sandiwara Yang Menyerlahkan Heronya
KUALA LUMPUR 17 Jan. – Peguam yang menimbulkan kontroversi kerana mempertikaikan azan, Ng Kian Nam hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini di atas kesilapannya itu. Katanya, perkara itu terjadi kerana beliau sebenarnya tidak tahu membezakan antara laungan azan dengan ceramah ataupun kuliah subuh. “Saya perlu jelaskan saya tidak pernah meminta ataupun berniat untuk menghentikan atau mempertikaikan azan yang merupakan elemen yang begitu penting dalam sembahyang umat Islam. “Saya perlu mengaku tiap-tiap orang ada kelemahannya termasuk saya. Sebagai seorang bukan Muslim, semasa saya tulis surat tersebut, saya langsung tidak tahu membezakan antara azan dan ceramah. “Maka saya ingin memohon maaf secara tulus ikhlas jikalau kekeliruan saya ini menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak khasnya umat Islam di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis dialog dengan dua persatuan penduduk Pantai Dalam di sini.
Sumber : Utusan Malaysia 18/01/2011
Berakhirnya Suatu Sandiwara Yang Menyerlahkan Heronya
Begitulah hebatnya permainan sandiwara “kebiadapan” seorang kafir yang begitu berani menghina azan yang merupakan salah satu dari syiar Islam. Ya, sekiranya si kafir itu tidak mahu mendengar laungan azan, dia boleh pergi kemana-mana tempat di bumi ini yang tidak ada masjid ataupun tempat di mana tidak ada umat Islam. Kesan dari provokasi sandiwara itu menyebabkan ada segelintir umat Islam yang “marah” dengan tindakan tersebut lalu mereka melakukan demontrasi dan membakar patung si peguam yang biadap itu bagi menyatakan sikap dan pendirian mereka, yang mendakwa adalah bertujuan untuk mempertahankan Islam. Tapi apa yang nyata dari sandiwara ini ialah, kita dapat melihat pemenangnya dijulang sebagai “hero”. Begitulah liciknya permainan politik sekular di saat ini. Hakikatnya Islam sebagai suatu cara hidup yang diterapkan selama lebih 1300 tahun telah membuktikan kemampuannya untuk membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada kehidupan seluruh umat manusia termasuklah kepada orang kafir. Ini adalah kerana kedatangan Islam itu adalah untuk rahmat bagi seluruh alam.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].
Orang kafir yang tinggal dan menjadi warganegara Daulah dikenal sebagai ahlul zhimmah yang mana mereka itu terikat dan wajib patuh dengan perjanjian yang telah mereka persetujui ketika mana mereka bersedia untuk menjadi warganegara Negara Islam. Sila lihat: http://hizbut-tahrir.or.id/2008/12/15/perlakukan-dan-kedudukan-non-muslim-di-dalam-daulah-islamiyyah/ dan sebahagian dari tulisan SN094 – HIDUP HARMONI HANYA DI BAWAH NAUNGAN ISLAM
Hukum Mengenai Ahlul Zhimmah
Daulah Khilafah Islamiyyah secara berkesinambungan telah memerintah selama lebih 1300 tahun dan wilayah kekuasaannya meliputi hampir dua pertiga dunia. Dalam perjalanannya yang cukup lama ini, Islam telah diterima oleh pelbagai kaum dan keadilannya telah dikecapi oleh pelbagai bangsa di dunia ini. Rahsia kejayaan Islam dalam mengembangkan sayapnya ini terletak pada aqidahnya yang benar dan bertepatan dengan fitrah manusia. Kemurnian aqidah Islam mudah diterima oleh pelbagai bangsa. Setelah menganut Islam, mereka bukan setakat meyakini, malah menjadi pengembang aqidah dan Deen ini. Bagi yang kekal dalam kekafiran, mereka membayar jizyah, sebagai ketundukan mereka kepada Daulah Islam dan mereka mengecapi keadilan Islam sebagai warganegara Daulah. Mereka ini digelar sebagai Ahlul Zhimmah atau kadangkala disebut sebagai kafir zhimmi. Asal katanya adalah azh-zhimmah yang bererti al-‘ahd atau perjanjian. Islam telah banyak menjelaskan tentang hukum Ahlul Zhimmah. Bahkan ada ulama yang menulis kitab khusus mengenai hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan Ahlul Zhimmah. Misalnya Ibn Qayyim al-Jawziyah yang menulis kitab Ahkam Ahlul Zhimmah. Hukum-hukum yang bersangkutan dengan Ahlul Zhimmah merupakan suatu subjek yang luas. Namun di sini kami ketengahkan beberapa hukum utama mengenainya:
(a) Ahlul Zhimmah tidak boleh dipaksa masuk Islam. Rasulullah SAW pernah menulis surat untuk penduduk Yemen,
“Siapa sahaja yang beragama Yahudi atau Nasrani, dia tidak boleh dipaksa meninggalkannya dan wajib atasnya jizyah” [HR Abu Ubaid].
Hukum ini berlaku untuk golongan kafir secara umumnya, termasuk yang beragama Hindu, Buddha mahupun Majusi. Mereka bebas menganut aqidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.
(b) Ahlul Zhimmah wajib membayar jizyah kepada Daulah. Jizyah dipungut dari Ahlul Zhimmah lelaki, baligh dan mampu; Abu Ubaid radhiAllahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah mengirim surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan ke atas perempuan, anak-anak dan mereka yang belum baligh. Bagi yang tidak mampu kerana cacat atau tua, Baitul Mal akan membantu pembayaran jizyah mereka. Pada saat pembayaran jizyah, Negara wajib melakukannya secara baik dan tidak boleh disertai penyiksaan atau kekerasan.
(c) Dibolehkan bagi kaum Muslimin memakan sembelihan dan bagi seorang Muslim untuk menikahi wanita Ahlul Zhimmah jika mereka adalah ahlul-kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini adalah berdasarkan firman Allah,
“Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan al-Kitab halal bagimu dan makanan (sembelihan) kamu halal bagi mereka. Demikian pula wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan dari orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu” [TMQ al-Maidah(5):5].
Namun begitu, jika Ahlul Zhimmah bukannya ahlul kitab, maka sembelihan dan wanita mereka adalah haram bagi seorang Muslim. Sebagai tambahan, adalah haram bagi seorang Muslimah untuk menikahi seorang lelaki ahlul kitab.
(d) Boleh dilakukan muamalah antara kaum Muslimin dengan Ahlul Zhimmah dalam berbagai bentuknya. Ini termasuklah jual beli, sewa menyewa, persyarikatan, pajak gadai dan sebagainya. Rasulullah pernah melakukan muamalah dengan kaum Yahudi di Khaibar di mana kaum Yahudi itu mendapatkan separuh dari hasil kurmanya. Cuma yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa setiap jenis muamalah ini mestilah menurut hukum Islam, bukannya hukum kufur.
(e) Ahlul Zhimmah adalah rakyat Daulah Islamiyyah. Mereka mendapatkan hak sebagaimana rakyat lainnya yang Muslim. Mereka mendapat hak perlindungan, pendidikan, keamanan, kesihatan dan diperlakukan secara baik dalam segala bentuk muamalah. Dilarang menyakiti Ahlu Zhimmah. Kedudukan mereka sama di hadapan penguasa dan hakim. Tidak boleh wujud sebarang perbezaan apa pun antara mereka dengan rakyat yang Muslim, kecuali dalam hal yang telah dijelaskan syara’. Negara Islam wajib berlaku adil kepada mereka sepertimana ia berlaku adil kepada rakyatnya yang Muslim.
Wahai kaum Muslimin! Hukum-hakam ini telah direalisasikan selama 13 abad dan selama itu, kesejahteraan dan keharmonian hakiki telah dikecapi oleh kaum Muslimin dan kafir zhimmi. Pelbagai peristiwa di dalam sejarah telah membuktikan hakikat ini. Ketika kaum Salibiyyin Nasrani ingin menghancurkan kaum Muslimin, mereka mengharapkan dua perkara yang membantu mereka. Salah satu darinya adalah harapan bahawa golongan Nasrani yang tinggal di dalam Daulah akan membantu mereka menghancurkan kaum Muslimin. Namun apa yang berlaku adalah amat memeranjatkan mereka. Golongan Nasrani (yang ada di dalam Daulah) telah bersama-sama dengan kaum Muslimin menentang kaum Salibiyyin. Bagi golongan Nasrani ini, mereka menganggap bahawa Daulah ini adalah tanah tumpah darah mereka, mereka hidup bersama-sama kaum Muslimin dengan kesejahteraan dan keadilan Islam. Mereka yakin hanya Islam sahajalah yang dapat menjamin hak-hak mereka dan mereka benar-benar hidup harmoni bersama kaum Muslimin di bawah naungan Islam. Dalam konteks ini, al-Qurafi menyebut:
‘Adalah wajib bagi kaum Muslimin untuk melayan golongan zhimmi dengan kelembutan, membantu golongan fakir antara mereka, memberi makan bagi yang lapar antara mereka, memberi pakaian bagi yang tidak berpakaian antara mereka dan menyeru mereka dengan kata-kata yang baik. Kaum Muslimin juga harus sama-sama menanggung penderitaan jiran ahlul zhimmah mereka, meskipun sekiranya penderitaan itu berjaya diatasi; ini adalah sebahagian dari sifat pengasih yang perlu ada, bukan kerana mengagungkan mereka. Kaum Muslimin juga haruslah memberikan nasihat yang baik dalam setiap urusan kepada mereka, menghalang sesiapapun yang cuba mencederakan mereka serta menjaga harta benda, keluarga dan kemuliaan mereka. Pertahankan juga segala hak mereka dan layanilah mereka dengan penuh kemuliaan dan akhlak yang mulia’ [Daulah Islamiyyah, Taqiyuddin An-Nabhani].
Wahai kaum Muslimin! Inilah layanan yang dijanjikan Daulah Islam kepada golongan kafir zhimmi. Banyak lagi catatan-catatan sejarah yang membuktikan kemaslahatan hakiki yang dinikmati oleh orang kafir yang hidup di dalam Daulah Khilafah, termasuklah yang ditulis oleh orang kafir itu sendiri, terutamanya para orientalis. Penerapan kaffah Islam oleh Rasulullah dan para Khalifah sesudahnya benar-benar telah membawa rahmat, keharmonian dan kesejahteraan kepada umat manusia sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Inilah rahmat yang datang dari Zat Yang Mencipta manusia, alam dan kehidupan. Pencipta yang sepatutnya dan sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah ini Insya Allah, akan kembali diturunkan olehNya, apabila Khilafah memerintah dunia sekali lagi dan menerapkan segala hukum-hakamNya. Di ketika dan saat itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita. Amin ya Rabbal ’alamin.